[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 25

"CUBA ABANG JUJUR je la. Abang sebenarnya ada hati dengan Nia, kan?" Dipandang Haqiem lama. Cuba memerangkap abangnya yang masih diam tanpa kata-kata. Takkanlah semata disebabkan rasa bersalah dan rasa kasihan pada mama, menjadi punca mengapa dia bersungguh-sungguh mahu menghilangkan keruh di antara mereka berdua. Macam ada kisah yang masih dirungkaikan sepenuhnya. Gelang tu. Apa maksud sebenarnya disebalik kewujudannya?

"Kau tahu kan yang abang belum terfikir pasal any kind of relationship selain daripada di dalam keluarga kita?" 

"Tapi, tengok jugalah abang pandang Nia sebagai apa." Hadi mengacau perlahan teh ais di dalam gelas dengan straw, berpura-pura tidak memerhati Haqiem dengan hujung mata. 

"Nak pandang sebagai apa lagi? Kau orang berdua adik abanglah." 

"Oh, really?" 

Nada suara Hadi berubah. Telefon bimbit yang terang bernyala bertukar tangan tanpa rela. Bulat mata Haqiem melihat gambar yang jelas mempamerkan dua bentuk tubuh yang langsung tidak sedar pergerakan mereka dirakam dari belakang. 

"How did you...?" 

"Tempat jual air tu bukan jauh sangat pun. Sempatlah kita orang nampak gelang and senyum manis pasangan bahagia tu." 

"Bahagia ke?" Suara Haqiem yang kembali merendah pantas mengetuk gegendang telinganya. 

"Does she know?" Geleng. 

"Bila nak bagitahu dia?" Bahunya dijungkitkan kecil. 

"Dah tu, nak buat diam je? Bukannya Nia tu jauh pun." Suara Hadi ikut merendah. Dia tahu apa yang bermain di fikiran abangnya itu. Takut perasaannya tidak mencapai frekuensi yang sama dengan hati Nia. Tapi, belum cuba belum tahu! 


"KAK NIA TAK RETILAH nak bergaya sakan ni." Syazwani yang masih tekun menilik barisan baju yang tergantung pada rak, tersenyum sendiri. 

Nia menala pandangannya ke seluruh penjuru butik. Entah macam mana dia boleh terlupa mengenai hal yang satu itu. Sudahnya, pengantin sendiri turun padang pilihkan baju pengapit. Tapi, kenapa dia? 

Dah berpuluh hujah dikeluarkan demi mahu mengelak dari memegang tugas yang satu itu. Biarlah dia menjadi wedding planner tak bertauliah dari sekali lagi perlu duduk di hadapan semua orang, walaupun itu bukan hari istimewanya. 

"Kan abang Hadi dah cakap yang dia nak semua orang yang dia sayang ada dengan dia atas pentas pelamin tu." 

"Nanti part photographer ambil gambar kawan diploma, Kak Nia naiklah." Syazwani menjeling. Dia buat ayat tak berapa cemerlang pulak. 

Juling mata Nia cuba memikirkan alasan yang terbaik bagi memangkah kata-kata bakal pengantin tu. Dia belum bersedia lagi untuk berhadapan dengan si pengapit lelaki yang sudah banyak kali cuba menghubunginya. Kalau telefon bolehlah dielak. Kalau dah berdepan, ada jugak drama murahan kat atas pentas pelamin tu nanti. 

Dia pun tak tahu mengapa dia cuba mengelak dari bertemu empat mata dengan Haqiem. Hendak dikatakan keadaan antara mereka masih dingin, segala sudah beransur pulih sejak pertemuan semula di Langkawi. Tetapi, ada rasa lain yang cuba dielakkan sekarang. Rasa aneh yang hanya muncul apabila Haqiem berada di dalam radius kilometer yang sama. Semuanya Anis punya pasal!

0 pendapat bernas .