Search This Blog

Sunday, March 24, 2019

# personal # programmer

Kisah PHP (Paling Haru Programmer) Bahagian Dua

Assalamualaikum w.b.t. Jadinya, petang ni Mya nak sambung episod kedua bagi kisah paling haru para programmer baik yang sudah bekerja atau yang masih belajar. Biasanya masa zaman belajar lagi banyak benda tragis sebab masa ni baru nak belajar hidup dengan programming. Kalau nasib baik, kalau program berjalan dengan baik, markah pun dapat, lecturer pun berkenan. Dua kisah hari ni, Mya nak share pengalaman Mya dan kawan baik Mya semasa dalam zaman degree dulu.

Kisah #3

Keluar dari bilik lecturer hari ni, muka masih dengan riak serabut. Tarikh hantar bahagian akhir report thesis dah dekat. Projek FYP yang aku buat pulak ada masalah tiba-tiba. Nasiblah lecturer merangkap supervisor aku sangatlah sempoi. Beliau tak marah, langsung hanya minta aku bertenang dan cuba cari penyelesaian secepat mungkin. Aku buat-buat tersenyum. Walhal dalam hati dah macam ada puting beliung. 

Bukan aku tak nak minta tolong kawan-kawan. Tapi, aku tengok semuanya sibuk dengan projek masing-masing. Tak sampai hati pulak aku dibuatnya. Aku tarik nafas panjang lagi. Kereta kesayangan aku pandu ke rumah kawan baik yang kini menjadi port rasmi untuk menyiapkan report. 

“Macam mana? Lecturer kau kata apa?”

Aku sekadar mengimbas semula kejadian dari pagi. Kawan yang masih dengan rasa mengantuk yang berbisa hanya mendengar dengan pandangan kosong. Barangkali dia juga masih kepenatan kerana semalaman cuba menyiapkan report yang masih bersisa.

“Kalau dah susah sangat, kau tak nak cuba tanya si dia?”

Aku diam. Bukan tidak mahu meminta pertolongan si dia, tapi aku tahu dia pun sedang sibuk dengan projek dan report sendiri. Takkanlah nak ditambah dengan masalah aku pulak?

“Kalau kau segan nak cakap, aku boleh cakapkan.” Suara dari dalam dapur kedengaran samar-samar tapi masih boleh ditangkap telinga.

“Ya. Nanti aku tanya dia sendiri.”

Esoknya, aku luangkan sedikit masa untuk menghadap code yang dah lebih seminggu tergantung. Project berasakan statistik ini sepatutnya sudah hampir siap. Tapi, entah di mana salahnya, kerja aku tergantung sepi begitu saja. Sudahnya, aku fokuskan kepada bahagian report. Tapi, sekarang dah masuk bahagian 'user testing'. Mahu tak mahu, sistem perlu berjalan untuk diuji oleh orang lain. Otak dan tubuh seawalnya telah bersedia untuk menghadap masalah ini selama mana perlu. Walaupun sebenarnya, si dia yang bakal meneliti dan mencari punca kesalahan untuk aku perbetul. Yang penting, perlu siap!

Selepas beberapa jam...

Separuh hari si dia menghadap code, separuh minit je penyelesaiannya. Aku pun tak tahulah apa yang patut aku rasa sekarang. Entahkan lega entahkan kecewa. Dah selesai masalah pun rasa kecewa. Mana tidaknya. The only problem cumalah ‘semi-colon’. Benarlah kata pepatah para programmer. Kerana semi-colon setitik, habis program satu semester. Terasa ‘kepandaian’nya kat situ.


Kisah #4

Kisah ni masa zaman belajar dulu. Masa hidup masih lagi dipenuhi dengan assignment dan projek berkumpulan. Benda biasa bila buat kerja, ada orang siapkan code, ada yang buatkan report, ada jugak pakar presentation, dan ada juga yang tukang sedekah nama. Tapi biasalah, masa ni, apa yang penting cumalah markah dan hasil penilaian dari pihak pensyarah.

“Untuk group project kali ni, saya akan upload di portal. Siapkan dan hantar dua minggu lagi. Presentation on submission day.”

Semua orang mengeluh dalam diam. Masuk project yang ni, ada tiga project yg perlu disubmit dalam tempoh dua minggu. Tapi, biasalah. Makin naik semester, makin banyak project yang diberi. Dan aku, seperti biasa, yang menyempurnakan bahagian code sebelum diserahkan kepada pakar penulisan untuk bahagian report. 

Moving forward, whatsapp group chat mula kecoh dengan cerita project assignment yang pensyarah beri sebenarnya diambil dari sebuah laman web online. Aku buat tidak tahu sehinggalah pada malam terakhir sebelum submission day. Itupun sebab aku dah hampir give up dengan project development yg tergantung separuh jalan. Malam tu, aku dengan kawan-kawan sekelas bermalam di KFC demi menyiapkan juga projek yang dihantar keesokan harinya.

Pukul 1 pagi...

Dari jawapan yang aku dapat dari Internet, aku cuba olah supaya kena dengan kriteria dan kehendak yang diminta pensyarah. Tapi, makin aku cuba, makin tidak menjadi. Berkali jugak aku padam dan betulkan semula cebisan yang mungkin menjadi punca, tapi masih gagal.

Sudahnya, aku padam semua function code dan hanya membiarkan kod untuk pemuka sahaja yang tinggal kerana aku tidak mahu menghabiskan lebih banyak masa menghadap bahagian yang kurang penting. Nafas panjang ditarik, tanda memberi persediaan kepada mental untuk bermula dari kosong semula. Kod yang aku jumpa di Internet, aku endahkan.

Pukul 12 tengah hari...

Aku dan kumpulan sudah bersedia hendak mempersembah hasil projek bila pensyarah tiba-tiba mengumumkan beliau akan memotong separuh markah bagi kebanyakan kumpulan kerana mendapati hampir semua kumpulan mengambil jawapan daripada internet. Masa ni, aku dah rasa ‘kepandaian’ tahap melampau. Banyak soalan yang bermain di kepala. Kenapa aku abaikan bahagian pemuka semalam? Kenapa aku malas nak berhabis masa menukar papar pemuka? Kenapa aku mengantuk sangat nak hadap projek ni sampai selesai?

Elok sahaja projek aku terpampang, tanpa sempat aku memberi penjelasan, terus sahaja pensyarah mengumumkan markah kumpulan aku dipotong kerana disyaki mengammbil jawapan dari sumber yang sama. Berkali aku nyatakan hanya paparan sahaja yang sama, tapi function code dibelakangnya sangat berbeza. Melihat wajah keras pensyarah, aku hanya mengakhiri presentation dengan sebaris ayat: “Encik boleh semak di dalam DVD yang kami sertakan untuk penilaian akhir nanti.”

The rest is history. Apa yang penting, aku dah beri yang terbaik untuk group project kali ni. Sama ada beliau hendak percaya dengan kata-kata aku ataupun tidak, keputusan di tangan beliau. Mujur beliau tak gagalkan kumpulan aku untuk group project yang pertama ni. 

No comments:

Post a Comment