Search This Blog

Sunday, December 2, 2018

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 24

NIA MEMBACA SENARAI di dalam telefon bimbitnya berkali-kali. Ke butik sudah. Ke kedai bunga sudah. Berjumpa dengan pihak yang menguruskan pelamin pun sudah. Bunga dan riben untuk corsage pun sudah dibelinya. Gambar contoh untuk kek pengantin pun sudah dihantar kepada Anis yang jelas terkejut dengan ketibaannya di pintu kafe, menggantikan Hadi yang tiba-tiba perlu ikut serta dalam mesyuarat petang itu. 

Tersenyum sendiri Nia bila teringatkan reaksi Anis yang agak terlopong bila melihatnya tadi. Reaksi itu sudah diduganya kerana dia sendiri meminta Hadi supaya tidak memaklumkan kepada Anis kehadirannya. Bekas teman serumahnya itu terus meninggalkan kerja menyusun kek di dalam peti sejuk kepada staf yang sedang membantunya. 

“Kenapa tak beritahu pun yang kau dah balik Malaysia? Are you back for good?” 

Nia mengangkat bahunya perlahan, tanda dia sendiri pun masih belum pasti. Sejak mereka sekeluarga pulang semula ke Kuala Lumpur dari Langkawi awal minggu itu, dia langsung hatta sekali pun berfikir mengenai bagaimana perancangan hidupnya di masa akan dating, sebaik selesai majlis resepsi Hadi awal bulan depan. Apa yang dia tahu, amanah yang diletakkan ke atas bahunya, mahu disempurnakan dengan sebaiknya. 

“Kerja kau kat Korea tu memang dah habis ke? Kira kau balik ni untuk tolong Hadi semata-mata jelah, ya? Kiranya juga, memang betullah yang kau dengan Hadi memang tak ada apa-apa hubungan dari dulu? Or, betullah juga dulu kau kata kau tak ada apa-apa perasaan pada Hadi, kan?” 

Soalan Anis keluar bertalu-talu tanpa sedar. Berkerut dahi Nia cuba memahami apa yang cuba disampaikan Anis. Bukan dia tidak faham. Tetapi, dia lebih suka berpura-pura tidak memahami kata-kata Anis. Biarlah apa yang hendak difikirkan Anis dari dulu berlalu begitu sahaja. Biarlah kebenarannya hanya dia dan pemilik hati Yang Maha Utama saja yang tahu. 

“Tapi, kira memang betullah yang kau dengan Hadi memang tak ada apa-apa dari dulu. Aku jelah yang selama ni salah faham rupanya.” 

Nia cuba menahan wajahnya dari berubah riak. Rimas pula rasanya bila Anis asyik bertanyakan soalan yang sama. Soalan yang cuba dielaknya dari mula tadi. Soalan yang pada akhirnya akan memutuskan hubungan dia dengan keluarga itu, seandai ianya diungkit kembali. Terkadang, berharap juga dalam diam kalau-kalau dia memiliki kuasa untuk menghapuskan ingatan. Mungkin soalan itu tidak lagi akan didengarinya.

Dalam nafas yang cuba diredakan, Nia bertanya. Sekadar mahu berinteraksi. Manalah tahu kalau-kalau boleh menghentikan rasa ingin tahu Anis yang seakan-akan tidak mahu putus. 

“Kau dah kenapa tanya soalan pelik-pelik ni? Takkanlah aku nak tipu selama ni.” Katalog kek yang tadinya terbiar, ditarik rapat. Diselak helaian kertas perlahan, tanpa perasaan.

“Yalah. Kalau dah sepanjang masa kau dengan Hadi je, memanglah aku salah faham. Memanglah at times, Hadi tu ada kekasih. Berganti-ganti. Tetapi, semuanya tak lama. Sebabnya, cemburu dengan kau. Paling aku ingat, girlfriend Hadi yang muda setahun daripada kita tu. Dia punyalah cemburu sampaikan dia jumpa aku untuk siasat pasal kau. Nak tanya kau secara berdepan, mungkin tak berani.”

Nia hanya tersenyum senget mendengar kenyataan Anis. Semua girlfriend Hadi memang dia kenal sangat. Mana tidaknya? Hadi sendiri yang perkenal kepada dia tanpa dipinta. Kononnya lebih senang kalau teman wanitanya kenal kawan baiknya. Apa-apa sajalah. Yang penting, semua melepas. Termasuklah diri sendiri. Nia ketawa kecil. Terasa lucu memikirkan kenyataan yang disebutnya sendiri di dalam hati.

Sreeet! Sreeet!

Telefon yang bergegar tanpa bunyi di atas meja makan itu diambil. Dibaca mesej dari Haqiem yang meminta dia membelikan sekotak tart cheese dan sekuntum bunga matahari untuk disampaikan kepada Puan Sri Azizah bagi pihaknya. Senyum nipis terukir tanpa sedar di bibir Nia. Tahu pula anak sulung ibu angkatnya itu mahu memujuk hati. Ha, lain kali, jangan balik rumah terus. Eh, aku pulak yang over? Diletak semula telefon di sisi pinggan.

"Tapi..." Nia menarik nafas panjang. Sepatah ayat yang keluar dari mulut Anis tu pun cukup membuatkan dia berasa rengsa. Apalah lagi yang hendak ditapikan, Cik Anis Ainina oi?

"Dah alang-alang kau rapat dengan keluarga tu, apa salahnya kalau kau terus jadi menantu? Puan Sri tu pun dah lama approve kau jadi anak dia. Siap pinjamkan kereta lagi. Dan kalau tak silap, masa aku ke rumah tu last time, Hadi siap bagi aku tumpang bilik kau. Amboi. Siap ada bilik khas lagi."

Pandangan Nia sedikit mencerlung. Ada juga yang makan kek guna hidung nanti. Sikit-sikit sabar aku dicabarnya. Tak pasal-pasal nanti keluar berita 'Dua sekawan bergaduh guna icing'. Baru betul lain dari yang lain. Terus mak popular nanti, nok!

"Kau kalau bercakap, kadang-kadang macam terlebih ambil insuran. Nak je aku telangkupkan kek red velvet ni atas kepala kau. In case kau lupa. Aku datang sini hari ni, nak tempah kek untuk majlis resepsi Encik Alif Hadi. Tugas aku sepatutnya sebagai wedding planner, bukannya wedding wrecker.  Ini projek puluhan ribu, tahu?"

Anis menggosok belakang bahu Nia dengan dua jari, tanda memberitahu yang dia hanya bergurau. Angin anak dara yang seorang ini bukkannya dia tak kenal. Sudah terlebih kenal, sampaikan dia seorang sajalah dulu yang berani hendak menegur Nia setiap kali dia melihat kawan serumahnya itu balik dengan muka masam selepas bahan projeknya ditolak oleh pensyarah. Yang lainnya, hanya membiarkan Nia yang mula berperang di dapur, cuba meredakan sakit hati.

Dia bukan bermaksud mahu menyuruh Nia merosakkan hubungan antara Hadi dan tunangnya. Sekadar mahu mengusik Nia seraya mencadangkan agar Nia berbaik dengan si abang pula. Apa boleh buat? Dengan si adik dah terlepas peluang. Tambah-tambah lagi bila hati si ibu dah lama berjaya ditawan. Kan lagi memudahkan kerja kalau begitu? Senyum nakalnya langsung tidak ditahan-tahan. Bibirnya mengaduh kecil bila bahunya pula ditampar Nia.

"Aku dengan Haqiim tu dah macam adik beradiklah. Dia dah anggap aku macam adik dia, dan aku pun dah anggap dia macam abang aku. Jadinya, jangan berangan benda yang merepek. Kalau kau yang berminat, aku boleh tolong."

Anis menggeleng. Nehi. Nehi mere dosti (Tidak. Tidak, kawanku.) Kita hanya mampu berkata dan merancang untuk hari ini dan saat ini. Tiada apa yang berada dalam genggaman kita walaupun untuk sesaat lagi. Tuhan yang tentukan hati dan perasaan yang sentiasa berbolak-balik. Siapa tahu kalau tika ini mulut lantang berkata tidak, namun di depan nanti, jawapan yang datang berlawanan pula?

"Fine. Katakanlah masin mulut kau ni, apa yang kau nak aku bagi kat kau?" Nia dengan yakin bersuara. Pastinya dia lebih tahu di mana dan ke mana getar hatinya. Langsung tiada gentar mencabar bicara Anis tika ini.

"Aku tak minta banyak, babe. Cukuplah sekadar aku jadi orang pertama yang terima jemputan ke majlis kau orang nanti. Wajib aku jadi yang paling pertama." Anis seraya mengucapkan aamin di dalam hati. Dalam bercanda, terdetik dalam hatinya. Meminta kata-katanya menjadi, andai itulah yang terbaik buat bekas teman serumah yang kini sedang duduk dengan muka bangga di hadapannya. Yakin bahawa pendirian dan perasaannya tidak akan berubah. Tetapi, sampai bila?

No comments:

Post a Comment