Search This Blog

Monday, August 27, 2018

Kisah Wanita berkebaya merah di Genting Highlands

Assalamualaikum w.b.t. Bila sebut mengenai wanita berkebaya merah, pasti ramai sedia maklum dengan topik ini. Apatah lagi selepas kes yang pernah viral dulu. Tapi, penyudahnya, kisah itu hanya berlalu bagai angin bila akhirnya dikhabarkan bahawa video yang sedang viral ketika itu hanyalah lakonan semata dan ada yang mengaitkannya sebagai marketing strategi bagi mempromosikan filem Dukun yang ketika itu bakal ditayangkan. Tapi, percayalah. Kisah wanita berkebaya merah yang Mya nak sajikan ini, adalah kisah benar dari insan yang mengalaminya sendiri.

Kisah seram di dalam kawasan Genting Highlands ni bukan sekadar satu atau dua tempat sahaja. Mungkin ramai yang biasa dengar kisah misteri di Amber Court. Atau mungkin kisah seram di kawasan Batu Berayun. Tapi, sebenarnya, hampir seluruh kawasan Genting Highlands dari bawah membawa ke kawasan percutian dikhabarkan ada kisah seram tersendiri. Ini bukan hanya omong kosong untuk menakutkan. Tapi, kisah ini disampaikan oleh mereka yang menetap di kawasan Genting Highlands ini sendiri.
Mei 2018. Lokasi kejadian, biarlah hanya Mya dan si pencerita saja yang tahu. Waktu kejadian berlaku pun dah menjengah tengah malam. Entah pukul berapa, tuan empunya badan sendiri tidak tahu. Apa yang pasti, telinganya dapat menangkap suara halus di depan kaki. Fikirannya sedikit mengamati, walaupun hatinya tidak mau ambil peduli. Dia yakin, suara halus itu sedang menangis di hujung katil.

Sengaja dibuat tidak ambil peduli. Sekadar membiarkan. Tidak mahu berteka teki. Tidak mahu berburuk sangka. Apatah lagi bila pandangannya terbatas dengan langsir yang sedia terpasang. Cuma, bukan perkara luar biasa jika ada perempuan di dalam biliknya. Masing-masing lebih gemar amal sikap tak ambil peduli. Katil kau, kawasan kau. Katil aku, kawasan aku.

Dia bangun dalam mamai yang masih bersisa. Langkahnya diatur menuju ke toilet. Sempat dia mengintai ke katil roomate-nya yang kosong tidak berpenghuni seperti fikirannya tika itu. Tidak sempat hendak berfikir apabila bladder-nya minta dikosongkan tika itu juga. Selesai urusannya, dia kembali ke bilik. Kosong. Hanya ada dia bersendirian. 

Dalam rasa mengantuk yang masih bersisa, dia kembali ke katil. Saat hendak menarik langsir di hujung katil, ada susuk tubuh berkebaya merah melintas di hadapannya tanpa menoleh, merapati tingkap dan terus menghilang. Terkesima dia seketika. Ditahan rasa dalam hati sambil tubuhnya dibaringkan. Matanya dipejamkan. Membuang bayangan yang pastinya bukan mimpi.

Well, begitulah kisahnya. Mungkin ada yang kata itu mainan perasaan. Mungkin juga mimpi. Dia sebenarnya mungkin tak pernah bangun pun malam itu. Semuanya berlaku dalam mimpi. Tapi, kata si empunya diri, dia yakin dengan apa yang dah jadi itu bukan mimpi. Sebab bukan hanya sekali. Tetapi, tiga kali si susuk tubuh berkebaya merah itu muncul, melintas di depannya. Menangis dan akhirnya menghilang.

2 comments: