Search This Blog

Wednesday, February 21, 2018

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 22

Nia melintasi kawasan pinggan mangkuk yang pelbagai warna dan corak itu dengan wajah tanpa perasan. Bukan dia tidak suka dengan benda-benda sebegini. Dia juga seorang wanita. Teringin juga melihat set pinggan mangkuk yang lengkap sebegini tersusun cantik menghiasi dapur rumahnya. Tapi, kedatangannya ke sini hari ini bukan untuk dirinya sendiri. Tugasnya adalah membantu pasangan bakal pengantin yang sedang berjalan beriring di hadapannya memilih barang kelengkapan rumah baru mereka.

“Kalau corak bunga dengan emas macam ni, okey tak kak Nia?” Suara Syazwani yang bertanya, mengembalikan perhatiannya kepada tiga pasang mata yang sedang memandangnya. Pinggan makan dengan corak ros merah hati dengan garisan emas yang berada dalam tangan Hadi dan Haqiem dipandang lama. Cuba ditahan riak wajahnya daripada menunjukkan perasaan sebenarnya.

“I think, corak tu lebih sesuai dengan orang tua.”

Bunyi pinggan diletakkan semula pada tempatnya mematikan ayat Nia yang masih berbaki. Haqiem dan Hadi terus melangkah menuju ke set pinggan mangkuk seterusnya tanpa menoleh. Nia menarik nafas panjang. Jujur salah. Tak jujur lagilah salah. Dipandang Syazwani yang sedang memandangnya. Dia tahu gadis itu sependapat dengannya.

“Guys, please. Corak tu tak sesuai dengan suasana rumah yang berkonsepkan minimal. Lebih sesuai kalau pilih set berwarna macam yang kat depan tadi atau set putih dengan corak garisan mudah macam ni.” Takkanlah aku nak kena keluarkan bahasa designer baru nak faham? Aku pereka fesyenlah. Bukan jurureka hiasan dalaman. Belum ada niat lagi nak ubah bidang. Bezanya pun jauh betul. Nia mengeluh pendek.

Serentak dua beradik itu mengangkat tangan kanan di hadapan Nia dengan ibu jari yang ditegakkan. Hadi dan Haqiem terus mengangguk setuju. Penerangan yang mudah dan tidak perlu disangkal. Sengaja hendak mengusik Nia yang kelihatan seperti minda dan jiwanya tidak bersama mereka. 

Nia menggeleng dengan senyum nipis bergaris di bibirnya. Ada sajalah idea anak-anak teruna Puan Sri Azizah mahu mengenakannya. Dan dia, masih terkena di setiap kali jerat dilemparkan kepadanya, bagai setiap satunya adalah kali pertama. Tetapi, sedikit pun dia tidak terasa hati. Dahulu, waktu dia dan Haqiem masih dalam proses saling mengenali, mungkin setiap usikan lelaki itu tidak kena pada pandangannya. Hingga terlekat gelaran mamat psiko pada Haqiem, walaupun panggilan itu hanya di dalam hatinya.

Nia menarik nafas lega tanpa sedar. Lega kerana perselisihan faham antara dia dan Haqiem kini berakhir. Lega kerana dia masih diterima lagi di dalam keluarga itu. Lega dengan janji yang dilafaz Hadi dan Haqiem bahawa rahsia antara mereka kekal rahsia. Apa yang penting kini adalah majlis pernikahan dan resepsi Hadi dan Syazwani yang tinggal lebih kurang sebulan sahaja lagi. Tiada lagi hal yang mengganggu ketenteraman keluarga mereka kini.

“Eh, encik Haqiem! Masih ada di sini?”

Suara yang lembut menyapa Haqiem mematikan pergerakan Nia yang sedang membantu Syazwani memilih set pinggan mangkuk untuk rumah barunya. Dipandang adik angkatnya yang jelas sedang memikirkan perkara yang sama. Siapakah gerangannya si gadis yang sedang berbalas senyuman mesra dengan abang sulung mereka?

“Bawa adik-adik saya beli barang kat sini. Yana, kan saya dah pesan. Luar waktu kerja, tak perlulah nak berencik-encik dengan saya. Bukannya kita baru kenal semalam.” 

Liyana menayang barisan gigi putihnya dalam senyuman yang tidak ditahan. Bukan dia tidak ingat pesanan Haqiem pada malam mereka berbual di tepi laut tempoh hari. Bahkan, reaksi Haqiem seperti sudah dapat ditebaknya dari awal. Cuma, dia sendiri yang berasa tidak selesa dengan hakikat yang Haqiem kini berpangkat majikannya. Lagi pula, perkenalan antara mereka bukanlah bermula sebaik mana.

Nia mengangguk kecil saat dirinya diperkenal kepada gadis yang bergaya anggun di hadapannya. Masih terasa aura profesional walaupun pemakaiannya ringkas sahaja. Sekadar kemeja-T putih berbelang hitam halus yng dipadankan dengan seluar jeans berwarna biru. Isi perbualan yang kian asing membuatkan Nia merasa canggung. Laju dia mengalihkan perhatian kepada barisan perkakasan dapur yang tersusun elok berhampirannya.

“Memandangkan kita dah berjumpa di sini dan kami pun dah nak balik esok, apa kata awak join kami untuk makan tengah hari ni?”

Kedua belah tangan Liyana naik laju. Terawang-awang, cuba menolak pelawaan Haqiem yang jelas disokong Hadi. Dipandang dua beradik itu berselang-seli. Rasa segan yang mula bertandang dalam hati cuba ditahan dari jelas terpapar di wajahnya. Inilah yang terjadi bila ada majikan yang ramah dan baik hati macam mereka berdua ini. Diri sendiri yang rasa macam nak cari tempat menyorok.

“No excuses. Kita jumpa di restoran tepi pantai tempoh hari dalam masa lebih kurang sejam lagi, okey?” Soalan Haqiem berbaur arahan. Dalam senyum kelat, Liyana akhirnya mengangguk setuju.


SAFIYA MENGINTAI ANAK BONGSU dan anak sulungnya yang sedang membetulkan rantai basikal di bawah garaj dari celahan tingkap. Anak keduanya sedang ralit menonton rancangan entah apa yang sedang ditayangkan di televisyen. Biasanya begitulah suasana di rumah kampung itu di hujung minggu. Usai sahaja anak-anaknya menyiapkan kerja sekolah yang diberikan guru, dibenarkan anaknya bebas dengan aktiviti sendiri. Asalkan tidak menganggu orang di sekeliling.

Baru sahaja hendak melangkah kembali ke dapur untuk menyediakan hidangan makan tengah hari, mata Safiya menangkap bentuk tubuh si ayah yang merenung jauh di pangkal tangga. Sesekali ada motosikal yang lalu lalang, menegur hanya dengan bunyi hon pendek. Encik Rahim sekadar menyambut dengan laungan pendek. Sudahnya, dia kembali merenung langit yang kian terik. Entah apa yang difikirkan, tiada siapa dapat mengagak. Safiya menarik nafas panjang lalu digagahkan hati untuk bertanya.

“Ayah fikir apa tu?”

Perlahan disentuh bahu Encik Rahim yang sedikit tersentak dengan tegurannya. Namun, soalannya hanya dibalas dengan gelengan si ayah nampak kosong pada pandangan matanya. Seperti sedang menyembunyikan sesuatu dalam helaan nafas yang dalam. Safiya menunduk sebelum mengambil tempat di sebelah ayahnya. Hati dan fikirannya sudah dapat meneka.

“Ayah risaukan adik, ya?”

Soalannya dibiarkan tergantung tanpa jawapan. Tapi, Safiya tahu soalannya mengena. Jiwa tua ayahnya sudah dia faham benar. Sejak ketiadaan ibu, dialah memikul tugas murni itu. Malah, selepas berkahwin pun, berusaha dia memujuk arwah suaminya untuk terus tinggal di rumah ayah. Demi ayah dan adik-adik katanya. Mujur, arwah suaminya sangat memahami dan menyokong niatnya itu.

Bertahun Nia di negara orang, dialah yang menjadi penghubung dua beranak itu. Sesekali, ayah pasti bertanya keadaan dan kesihatan adiknya itu yang jelas berada jauh dari mata. Tetapi, jarang dia melihat ayah segusar ini. Bagaikan ada suatu kerisauan yang sukar dilepaskan, mahupun diluahkan. Padahal, tidak sampai seminggu pun Nia pulang semula ke Kuala Lumpur.

“Kamu tahu perangai adik kamu tu. Suka bertindak ikut hati. Masa dia di negara orang, dia hidup sendiri. Buat hal sendiri. Apa saja tindakannya, dia sendiri yang tanggung. Sekarang ni, dia menumpang di rumah orang. Tersalah percaturan, tidak hanya melibatkan dirinya sahaja. Air muka Puan Sri pun perlu dijaga. Kita kena ingat kedudukan kita. Banyak dah kita berhutang budi dengan Puan Sri tu.”

Safiya hanya diam di sisi ayahnya yang kembali merenung di kejauhan. Setiap bait kata Encik Rahim ada benarnya. Ayahnya tersepit antara rasa serba salah dan rasa terhutang budi. Hendak menyuruh anak daranya yang seorang itu kembali ke kampung, jasa Puan Sri perlu dibayar terlebih dahulu. Mereka bukan punya banyak harta kalau hendak membayar semula semuanya.

“Nanti kakak ingatkan adik tu supaya jaga diri dan tingkah laku dengan orang lain. Terutamanya keluarga Puan Sri. Ayah tak nak nanti kita dikata tak kenang budi.” Encik Rahim menyambung dalam suara rendah. Namun, jelas menampar gegendang telinga Safiya yang terangguk-angguk menerima arahannya. Hatinya masih tidak tenang. Tetapi, tidak mahu ditunjukkan dengan jelas di hadapan anak sulungnya itu.

3 comments:

  1. alamak dah bab 22 pulak.. nak kena baca dari bab 1 nie..

    ReplyDelete
  2. Macam best jugacerita ni.. tapi ni dah bab 22, kena back Dari bab 1 ni..

    ReplyDelete
  3. jemput la join n meriahkan segmen GA kt sini

    http://www.raydahalhabsyi.com/2018/02/wonderful-march-giveaway-by-raydah.html

    ReplyDelete