Search This Blog

Saturday, September 23, 2017

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 19

ELOK SAHAJA NIA HENDAK KELUAR, namanya dipanggil si kakak yang muncul dari pintu dapur dengan dulang berisi sepinggan cucur bilis dan tiga cawan teh susu di tangan. Terus terhenti niatnya hendak menyarung selipar. Kakak ni macam tahu-tahu je aku nak keluar. Baru berniat nak seludup anak-anaknya ke kedai Ah Seng hujung jalan sana tu.

“Nia nak ke mana tu?” Encik Rahim yang sedia bersila di atas pangkin menegur. 

Asal ditanya, jawabnya bosan. Tup-tup, sedar-sedar sahaja, Myvinya sudah hilang di garaj. Tapi, dia tahu Nia tidak ke mana-mana. Pusing-pusing kampung sambil melawat saudara-mara yang tinggal berhampiran sahaja. Jika ke bandar, Nia pasti meminta izinnya terlebih dahulu.

“Nak bawa budak-budak ni ke kedai. Nampak bosan je terperap dalam rumah.” Nia tersengih sendiri. Selamba dia ‘menjual’ nama anak-anak buahnya yang dipaksa keluar mengekorinya tadi. Itu pun selepas puas dia mendesak dan berjanji akan memberikan apa yang dimahukan mereka, barulah mereka bersetuju.

“Biar along je yang bawa. Adik mari ke sini. Kita minum petang sama-sama.” Mahu tidak mahu, Nia menurut juga. Arahan kakaknya mesti dituruti. Ayah pun nampaknya seperti ada perkara yang nak dibincangkan. Dihulur not RM 20 kepada Shafi’ie yang sudah sedia menunggang basikalnya.

Entah kenapa, hatinya berdebar sendiri. Mungkinkah kakak dan ayah hendak bertanya kenapa dia pulang ke Malaysia tanpa memberitahu terlebih dahulu? Mungkinkah mereka sudah tahu tujuan asal dia pulang ke mari? Mungkinkah...

Kerana kerisauan inilah, dia jadi tidak lekat di rumah. Dia tidak punya jawapan yang cukup sempurna untuk diberikan kepada kakak dan ayahnya. Ada saja alasan yang digunakannya untuk keluar. Habis nama anak-anak buahnya dipakai, dia gunakan pula nama Raihana. Tidak semena-mena, Raihana terlibat sekali dalam sindiket yang direncananya. 

“Adik bila nak balik KL? Cuti lama-lama ni, Puan Sri tak marah ke?” Encik Rahim bertanya sebaik Nia melabuhkan duduk di sebelahnya. 

“Puan Sri?” Nia pamer wajah keliru. Bukan disengajakan. Tapi, dia benar-benar keliru apabila nama ibu angkatnya tiba-tiba muncul dalam perbualan mereka. Rasanya belum pernah sekali dia terlepas kata. Atau, mungkinkah dia ada menyebut nama keluarga itu dalam lena mimpinya? Dipandang Safiya dan Encik Rahim yang saling berpandangan silih berganti.

“Macam mana kakak dengan ayah tahu yang adik kerja dengan Puan Sri kat KL?” Diberanikan dirinya untuk bertanya. Sebelum dia terlepas kata yang entah apa-apa. Dari tak tahu, nanti jadi tahu pula.

“Sebenarnya hari tu, Hadi ada datang ke mari. Nak jemput kami ke kenduri dia. Sebelum balik tu, abang dia yang beritahu ayah, kamu ada di sana, bekerja dengan Puan Seri untuk sementara waktu ni.” Penerangan Encik Rahim membuatkan hati Nia hampir-hampir sahaja berhenti. 

Haqiem dan Hadi datang ke rumah ayah tanpa pengetahuannya! Patutlah ayah dan kakak langsung tak bertanya apa-apa walaupun dia tiba-tiba muncul di pintu rumah dengan bagasi besarnya tempoh hari. Agaknya, jika dia tidak pulang ke kampung minggu ini, sampai ke hari majlis resepsi Hadi nanti, dia tidak tahu tentang hal ini. Tapi, dia pulang pun kerana...

“Tengoklah nanti. Achik nak rehat lagi. Banyak sangat kerja kat KL tu.” Alasan lagi! Berapa banyak lagi penipuan kau nak buat, Nia? Bukan semata dengan keluarga Hadi, keluarga kau sendiri pun kau nak tipu jugak? Nia menempelak dirinya sendiri. 

“Tak apalah kalau macam tu. Ni ayah nak ke dewan kejap. Ada mesyuarat tergempar. Lepas Isyak baru ayah balik.” Encik Rahim sekadar menerima alasan yang diberikan Nia. 

Kalau sudah anaknya berkata begitu, takkanlah dia hendak berlebih-lebih bertanya. Mungkin Nia betul-betul diberi peluang untuk berehat seketika. Bukan dia tak tahu betapa sayangnya Puan Sri Azizah kepada Nia. Mengalahkan dirinya sendiri sebagai bapa. Walaupun kadang-kadang dia berasa malu kerana terlalu banyak berhutang budi dengan wanita itu.

Melihat si ayah yang sudah bergerak ke dewan dengan Honda C70nya, Safiya mencuit lutut adiknya yang sedang termenung mengenang entah apa. Sekali-sekala ada teman bergosip, apa salahnya dia mencuba bakat menjadi Piah Gosip? Manalah tahu dia mampu menggantikan Cik Leha Zass, juara gossip kampung mereka. Safiya ketawa dalam hati. Mengarut betul.

“Adik, abang si Hadi tu, okey ke orangnya?” Safiya separa berbisik bertanya. Nia menoleh. Tingkah Safiya dipandang pelik. Ini soalan luar alam ni. Jawapannya tak nampak depan mata. Terlalu subjektif untuk dibahaskan.

“Hai, kak. Lain macam je gaya bertanya tu. Berkenan ke?” Soalan cepu emas dipulangkan semula kepada kakaknya yang nampak benar-benar ingin tahu. Takkanlah baru sekali berjumpa dah terpaut hati? Eh, dah kenapa aku nak sakit hati? Nia bertanya sendiri.

“Kalau ya pun, apa salahnya? Adik jugak yang akan dapat abang ipar baru. Ke, dah ada yang punya?” Dikerling Safiya yang asyik tersengih dengan hujung mata. Biar betul kakak aku ni. Eh, betul ke kakak aku ni? Gatal lain macam je. Ah, apa-apalah! Bukan hal aku.

“Entahlah, kak. Adik bukan ambil tahu sangat pasal dia.” Bukan dia tak tahu jawapannya. Haqiem sendiri sudah mengesahkannya semasa mereka melarikan diri dari entah siapa di pejabat tempoh hari. Tapi, entah kenapa, dia terasa malas hendak berbicara tentang hal ini. Dibuang pandang ke arah pokok rambutan yang buahnya baru menguning.

“Eh, berapa punya segak si abang tu pun kamu tak ambil peduli?” Wajah beku adiknya diperhati lama. Tak beriak langsung sepanjang dia membuka bicara mengenai Haqiem. Mungkin topik perbincangan mereka petang ini tidak cukup menarik minat adiknya.

“Lain macam je kakak ni. Betul-betul berkenan ke?” 

Tanpa sedar, suara Nia naik satu nada lebih tinggi. Bukannya disengajakan. Cuma dia sudah bosan dan rimas apabila Safiya asyik berbicara mengenai Haqiem. Lebih sanggup dia melayan kalau kakaknya membuka topik mengenai musim padi yang sudah bermula atau mengenai anak-anak kampung yang bermacam ragamnya. Asalkan bukan mengenai Haqiem.

“Kalau kakak berkenan pun, bukan untuk kakak. Untuk Nia.” 

Pandangan Nia tiba-tiba tajam kepadanya. Nampak benci betul bila namanya yang dikaitkan dengan Haqiem. Lagilah sengaja Safiya mengukir senyum penuh makna kepada adik bongsunya itu. Bab menyakat, itu kepakaran aku. Safiya ketawa besar dalam hati.

“Apa kaitan dengan Nia pulak?”

“Kakak main-main je. Kakak tengok yang dia tu macam baik orangnya. Masa dia orang nak balik tu, beriya-iya dia beritahu ayah yang adik kerja dengan mama dia. Siap berjanji yang dia akan suruh adik balik ke kampung. Itu yang kami tak terkejut Nia balik ni. Anggap dia tunai janji.”

Bunyi ketukan di pintu mematikan ingatan Nia akan perbualannya dengan Safiya di pangkin di hadapan rumah ayahnya dua hari yang lalu. Perlahan kotak di tangan diletakkan di atas almari solek. Lambat-lambat dia menyarung tudung yang sedia tergantung di belakang pintu bilik. Wajah Hadi yang tersenyum halus di sebalik pintu yang baru dibuka menyapa pandangan.

“Sorry kacau kau. Aku cuma nak ajak kau lunch sekali tengah hari esok.” Suara Hadi antara dengar tak dengar menyapa saat Nia menutup pintu bilik di belakangnya.

“Mama macam mana?” Mata Nia sedikit membulat. Tubuh yang tadinya bersandar pada pintu bilik ditegakkan. Takkanlah hendak ditinggalkan mama kesayangan mereka makan tengah hari seorang diri di rumah? 

“Esok mama kena pergi meeting ganti abang. Jadi, tinggal kau seorang kat rumah. So, better kita lunch kat luar. Lagipun, aku ada benda nak cakap dengan kau.” Riak wajah Hadi berubah serius tiba-tiba. Kerana janjinya dengan Haqiem yang dia akan sama-sama membantu abangnya berbaik semula dengan Nia, dikeraskan juga hati untuk mengetuk pintu bilik Nia malam ini.

“Cakaplah.” 

“Esok jelah.” Melihat riak wajah Hadi yang seperti serba tidak kena, Nia akhirnya mengangguk setuju. Apa ada hal kalau dua orang kawan baik nak keluar makan tengah hari berdua, kan? Bukannya orang-orang di pejabat tak tahu statusnya sebagai anak angkat Puan Sri Azizah. 


HAQIEM MEMBUANG PANDANG ke arah pantai yang meriah dengan pengunjung. Almaklumlah, ketika inilah kebanyakkan bar mini dan kafe di sepanjang pantai itu beroperasi dan dipenuhi pengunjung tak kira bangsa dan negara. Diatur langkah ke tengah pantai yang terang benderang disimbah lampu pelbagai warna. Sekadar mahu merasa angin laut malam yang bertiup sepoi-sepoi bahasa.

“Encik Haqiem?” Suara gadis itu perlahan menyapanya dari belakang. 

Haqiem sedikit tersentak. Punyalah jauh sampai ke Langkawi ni dia cuba tenangkan diri pun masih ada yang kenal ke? Lambat-lambat dia memusingkan badan ke arah pemilik suara yang masih berada di belakangnya.

“Yana, you buat apa kat sini?” Melihat gadis itu dihadapannya, nafas Haqiem mula turun naik sendiri. Dipandang ke kiri dan kanan berhati-hati. Kalau Yana ada kat sini, maknanya...

“Suppose, we will meet in the meeting room tomorrow, I think.” Yana sekadar mengagak. Tiada pula dia menerima sebarang berita mengenai kehadiran Haqiem dalam mesyuarat yang akan berlangsung esok. Sebab itulah, dia sedikit ragu-ragu ketika hendak menegur tadi. 

“Oh, ya! I lupa you wakil syarikat you untuk projek ni.” Haqiem menarik senyum serba salah. Entah bagaimana dia boleh terfikir yang berkemungkinan Kyra mengekorinya hingga ke pulau ini sebaik sahaja melihat Yana tadi. Yalah. Tingkah teman baik kepada gadis yang sedang berdiri menghadapnya itu sememangnya sukar untuk diduga.

Diperhati sahaja kelakuan Yana yang melambai ke arah dua orang lelaki berbangsa cina yang berada tidak terlalu jauh dari kedudukan mereka berdua sekarang. Dengan isyarat tangan yang entah apa-apa, dua lelaki itu terus berjalan meninggalkan mereka berdua dan masuk ke salah sebuah bar yang berada di hujung pantai. Yana di sebelahnya menarik nafas lega. Mungkin kerana dia tidak perlu mengekori mereka lagi.

“Encik Haqiem buat apa kat tengah pantai ni?” Giliran Yana pula memandang sekeliling. Hendak dikatakan Haqiem bersama seseorang, dia tidak nampak sesiapa berada berhampiran. Yang berada paling hampir di situ pun nampaknya berteman semuanya.

“Ambil angin. Sambil layan perasaan.” Perlahan suara Haqiem menjawab. Perasaan sunyi yang tadinya menghilang, muncul kembali. Namun, cuba disembunyikan sebaiknya dari pandangan Yana yang masih setia menemaninya berbual. 

“Bunyi macam tengah merindu je.” Tebak Yana tanpa teragak-agak.

Nyaris Haqiem tersedak menelan liurnya sendiri. Tekaknya terasa kelat. Adakah perasaan rindu yang sedang dirasanya kini? Atau rasa bersalah yang masih belum terpadam walaupun sudah berhari-hari dia cuba menolaknya? Yang pasti, hatinya sedikit perit bila memikirkan tiada khabar berita menandakan Nia sudah memaafkan dirinya.

“Tak call?” 

Melihat Haqiem yang hanya diam, Yana tahu tekaannya mengena. Sengaja diumpan dengan soalan lain demi mendapatkan kepastian. Satu fakta yang diperolehnya hari ini. Hati Haqiem sudah berpunya. Melepaslah kau, Kyra.

Soalan Yana mematikan perbualan dalam hati. Haqiem menggeleng lemah. Pandangannya dibuang ke arah laut yang entah di mana penghujungnya. Yang dia nampak ketika ini, hanyalah gelap. Seperti perasaan yang sedang bersarang dalam hatinya. Dipandang pula langit di atas kepalanya. Tak berbintang. Ada tanda-tanda Pantai Cenang akan dibasahi hujan malam ini.

“Belum tentu bila I call, dia nak angkat.” Suara Haqiem merendah.

“Oh, ni kes buah hati merajuklah ni? Patutlah muka sedih je.” Spontan Yana mengusik. 

Haqiem dilihat hanya senyum segaris seperti dipaksa. Terhenti niatnya untuk terus menyakat jejaka pujaan hati kawan baik merangkap teman serumahnya itu. Kalaulah perkara ini sampai ke pengetahuan Kyra, mahu terbalik rumah sewa tu nanti. No way! Lebih baik aku diamkan je. For my own safety!

No comments:

Post a Comment