Search This Blog

Friday, August 18, 2017

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 18

PANDANGAN HADI MERAYAP ke segenap penjuru dan pelusuk dewan yang sudah siap diatur seperti yang dirancangkan. Kertas bertulis aturcara majlis dan teks ucapan pembukaan Majlis Amal bersama Anak-Anak Yatim sudah hampir lunyai dijadikan kipas. Bagai tidak terasa angin yang ditiup penghawa dingin mengenai segenap tubuhnya. Peluh jantan sudah memenuhi dahi dan belakang leher. Entah kenapa dia mula merasa seram sejuk.

“Encik Hadi, air.” Wajah gementar Hadi membuatkan Fidzreen mahu ketawa. Namun, terpaksa ditahan demi menjaga air muka adik majikannya itu. 

“Encik Hadi jangan risau. Cik Nia mesti datang.” Yakin Fidzreen bersuara. Mengalahkan Hadi yang sudah bertahun berkawan dengan gadis itu. Riak wajah Hadi menunjukkan dia tidak pasti dengan keyakinan yang ditayangkan Fidzreen. Walaupun hakikatnya, Hadi begitu berharap yang Nia akan muncul segera. Tugasnya sebagai wakil syarikat terasa bagaikan terlalu tiba-tiba walaupun sudah menerima amanah itu dua hari lalu.

Semuanya gara-gara masalah yang tiba-tiba muncul di tapak operasi mereka di Pulau Langkawi sejak beberapa hari lepas. Mahu tidak mahu, Haqiem sendiri menawarkan dirinya untuk memeriksa dan menyelesaikan masalah itu. Hadi yang ada bersama di dalam bilik pejabatnya tika itu laju membantah. Jika Haqiem pergi, siapa yang akan mengetuai projek amal itu?

Haqiem mengukir senyum segaris. Fail rasmi projek yang elok berada di atas mejanya dicapai. Lama dia memandang Hadi sebelum menghulurkan fail yang enggan disambut adiknya. Haqiem menarik nafas panjang sebelum melepaskan keluhan yang berat.

You just have to hold on to this sampai dia balik nanti. Abang yakin dia akan datang. Tapi, kalau dia tak datang jugak, it’s yours.” 

“Ini bukan benda main-main. Adik mana pernah handle majlis besar macam ni.” Bulat mata Hadi cuba menolak. 

Tetapi, dia tahu keadaan pada masa ini begitu memaksa. Operasi projek di Pulau Langkawi di bawah seliaan Haqiem dan Bad. Tetapi, Bad awal-awal sudah ke Kuantan. Memantau operasi di kawasan pantai timur.

“Semuanya dah siap dan sedia. Your job, cuma kena tengok orang bawah buat kerja ikut schedule.” Lembut sahaja Haqiem bersuara, cuba meyakinkan Hadi yang jelas masih ragu-ragu.

“I really hope she comes back.” Ikhlas Hadi menuturkan. Dari nada suara Nia yang didengarinya di sebalik panggilan telefon kelmarin, tiada tanda rajuk gadis itu sudah berkurang. Giliran Hadi pula mengeluh.

Senyum Haqiem tawar. Dadanya tiba-tiba terasa sesak. Bahunya pula terasa berat. Semua yang berlaku salah dirinya. Kalaulah dia lebih bersabar dan mengawal egonya. Kalaulah dia cuba mendengar apa yang mahu dikatakan Nia di dalam kereta ketika itu. Kalaulah dia lebih bijak mengawal amarahnya. Kalaulah…

Fidzreen sekadar memerhati sahaja tugas Naib Pengarah Projek bertukar tangan. Sejak Nia tiba-tiba tidak lagi muncul di mesyuarat, dia tahu ada sesuatu yang telah terjadi di dalam keluarga itu. Apatah dengan keadaan Haqiem yang dilihat sering mengelamun jika bersendirian. Tetapi, dia tidak mahu gatal mulut bertanya. Dia masih sedar tempatnya. 

Hadi mengeluh panjang. Sekelip mata sahaja, hari sudah berganti hari. Sedar-sedar, sekarang dia sedang menggigil keresahan kerana perlu memberikan ucapan pembukaan majlis. Wahai Nia Atilia, muncullah kau...

You guys kutuk I ke?” 

Serentak Hadi dan Fidzreen menoleh. Fidzreen laju mengukir senyum. Wajah gadis berselendang biru muda itu dipandang Fidzreen penuh makna sebelum akhirnya dia berlalu meninggalkan Hadi yang masih diam tanpa kata di sebelahnya. Dia perlu menemui pengacara majlis demi memaklumkan perubahan akhir pada teks aturcara majlis malam itu.

“Kenapa muka macam nak menangis ni?” Nia berpura-pura bertanya. Bukan dia tidak kenal dengan perangai Hadi yang cukup tidak gemar untuk berucap di hadapan orang ramai. Nasib baik sahajalah dia tidak membawa perangai yang satu tu dalam etika kerjanya.

“Kau ingat lawak ke buat macam ni? Aku mesej kau sejak dua hari lepas, tanya pasal majlis ni, sampai sekarang tak berjawab. Tiba-tiba muncul dengan muka tak bersalah.” 

Nia ketawa kecil mendengar rungutan Hadi. Dah muncul depan mata pun lagi banyak bunyi. Kalau tak muncul langsung malam ni? Mungkin headline surat khabar pagi esok memaparkan ‘CMO AH Holdings mengalami kecelaruan fikiran selepas menguruskan majlis amal syarikat’. Funny enough.

“Sejujurnya, aku memang tak berniat nak datang. Tapi, something happened that made me change my mind. Tapi, kalau aku tak datang pun, orang lain kan ada.” Nia cuba berkias. Bukannya Hadi tidak faham siapa yang dimaksudkan. Sudah terang tak perlu guna spotlight. Peribahasa apa kau guna ni, Nia?

“If ‘orang lain’ tu kau cuba maksudkan abang, abang tak ada. Dia outstation.” Hadi sengaja menekan suaranya ketika menyebut perkataan orang lain. Diperhati riak wajah Nia yang masih tidak berubah.

Biar betul time majlis penting macam ni pun dia sempat outstation? Ke semata-mata alasan sebab nak lari dari jumpa aku? Eh, aku pun dah bersedia sangat ke nak menghadap muka dia? Nia kembali menyoal hati. Anak matanya sesekali menjeling ke kiri dan kanan. Mahu memastikan insan yang dimaksudkan betul-betul tiada. 

“Kau cari siapa? Kan aku dah cakap tadi, abang tak ada.” Hadi yang dapat menangkap perbuatan Nia laju bertanya. 

“Mana ada aku cari sesiapa. Dahlah. Aku nak pergi backstage, tengok apa yang patut.” Nia terus berlalu meninggalkan Hadi yang berterusan memandangnya dengan seribu makna. Pipinya terasa panas tiba-tiba. Kalau buat kerja tak kantoi, tak sahlah kau ni Nia. Hadi mengukir senyum sinis di belakangnya. Dah kantoi depan mata aku pun lagi nak cover. 

Hadi menarik nafas panjang tanda lega. Apa lagi yang dia mahu? Nia muncul dan kembali mengambil alih tugas sebagai Pengarah Projek seperti sepatutnya. Majlis pun sudah separuh jalan hendak sampai ke penghujung. Yang tinggal, cumalah majlis penyampaian sumbangan dan cenderahati kepada mama dan bakal bapa mertuanya sebagai penyumbang terbesar dan penganjur majlis.

Puan Sri Azizah yang sedang berbual dengan Puan Yasmin dirapati perlahan. Adik mamanya itu masih tidak habis-habis memuji kelainan majlis yang dianjurkan. Terasa lebih santai dan mesra katanya. Mama yang mendengar sekadar membalas dengan senyuman lebar. Mungkin bangga kerana majlis yang dianjurkan syarikatnya dipuji. Mungkin juga gembira kerana tidak salah memilih ketua.

“Encik Hadi.” Langkah Hadi mati. Fidzreen dan Anita yang sedang berjalan ke arahnya dipandang. Seperti ada kecemasan. 

“Ada nampak Cik Nia?”

“Tadi dia dengan saya. Then, dia berborak dengan mama dan Dato’ Wira. Baru je lagi saya nampak dia menuju ke tandas.” Hadi berkata satu persatu. Mahu mengusik dua pekerjanya itu dengan berlengah-lengah mengatur kata. 

Anita dan Fidzreen menarik nafas lega. Mahu meneruskan usaha mengejar Nia. Macam tak cukup tanah mereka berdua mencari pengarah projek yang tidak duduk diam itu. Sudahlah acara seterusnya melibatkan Nia sendiri. Sabar sajalah.



NIA MENEPUK PIPINYA BERKALI-KALI. Mengantuk pula rasanya. Mungkin kerana dia memandu berterusan tanpa henti dari Ipoh petang tadi. Sekadar singgah sebentar untuk menukar pakaian sebelum terus menuju ke dewan itu. Sebaik sampai, dia terus menyambung tugasnya di sebalik tabir tanpa sempat berehat sekejap pun. 


Beg tangan yang tertutup rapat dibuka lambat. Biasan wajahnya yang mula tampak pucat di dalam cermin dipandang dengan tekun. Mungkin dengan sedikit olesan gincu dan sapuan bedak boleh menyegarkannya kembali. Baru sahaja tangannya hendak mengambil tisu dari dalam beg, pergerakkannya mati. 

Objek berbentuk segi empat tepat siap berbalut dibawa keluar dengan perasaan keliru yang teramat. Siapa punya hadiah pula yang berada di dalam begnya kini? Mungkinkah ada yang tersilap alamat? Atau mungkinkah dia yang tersalah mengambil beg tangan? Padahal, beg tangan itulah yang tergantung di bahunya sejak awal lagi. Tag kecil yang tergantung pada hujung riben mencuri perhatiannya. Kepada Cik Nia Atilia. Nia Atilia. Itu namanya. Tetapi, sejak bila pula hadiah itu ada di dalam begnya?

“Akhirnya. Cik Nia, you need to go onstage now.” 

Anita muncul disebalik pintu tandas yang tiba-tiba dibuka dari luar. Lega rasanya apabila menemukan Nia yang masih berada di dalam tandas. Fidzreen di sebelahnya diam tanpa suara. Nia yang masih keliru dengan hadiah misteri itu sedikit tersentak. Kelam kabut dia mengenakan gincu selepas asyik disergah Anita. Hadiah dan segala alat mekapnya dimasukkan semula ke dalam beg tanpa banyak fikir.

Fidzreen yang mengekori di belakang hanya tersenyum penuh makna. 




DUA HARI SEBELUM MAJLIS...


Haqiem mengekori langkah berat Hadi keluar dari biliknya dengan anak mata. Dalam keterpaksaan, dia melepaskan tanggungjawab sebagai pemangku pengarah projek kepada Hadi yang juga dalam keterpaksaan menerima. Dalam hatinya, dia juga seperti Hadi yang mengharap Nia untuk kembali. Tidak perlu lama. Hanya demi menyempurnakan majlis yang pada asalnya telah diamanahkan kepada Nia sendiri.

Fidzreen memandang majikannya yang kelihatan gusar dengan keputusannya sendiri. Mana tidaknya, semuanya berlaku di saat-saat akhir. Dengan ketiadaan Nia, masalah yang tiba-tiba timbul di site dan majlis amal yang tinggal dua hari sahaja lagi. Pasti fikiran Haqiem begitu bercelaru tika ini. 

“Reen, nanti you tolong Hadi handle majlis, ya?” Wanita itu mengangguk dengan senyuman lembut terpapar di wajahnya. 

One more thing, in case, just in case... kalau Nia datang, you tolong sampaikan ini.” 

Kotak segi empat tepat berbalut kertas biru muda bertukar tangan. Lama Fidzreen memandang Haqiem, cuba mendapatkan kepastian. Namun, akhirnya dia tersedar sendiri. Perlakuannya sudah melebihi batas adabnya sebagai pekerja. Akhirnya dia mengangguk sendiri sebelum meminta izin kembali ke tempatnya.


No comments:

Post a Comment