Search This Blog

Wednesday, August 16, 2017

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 17

BARISAN BAJU kanak-kanak yang elok bersusun di dalam kedai itu diperhati satu persatu. Jarang dia dapat membeli-belah hadiah untuk anak-anak saudaranya. Diambil lalu dibandingkan beberapa helai ke tubuh Adam yang setia mengekorinya ke sana dan ke mari. Dipilih dalam beberapa pilihan warna yang berbeza. Untuk Zara dan Alya, anak kembar abang Ngah yang sebaya dengan Adam, katanya.

“So, lepas ni apa rancangan kau? Nak stay sini atau balik semula ke Hongdae? Kau tahu yang Mr. Yoon akan terima kau semula, kan?” Raihana memulakan perbualan sebaik dia dan Nia duduk di salah satu meja di luar Subway itu. 

Sesekali dia membuang pandang ke seluruh kawasan yang berada berhampiran. Sudah habis semua kedai di dalam bangunan empat tingkat itu diteroka satu persatu. Empat tahun mereka di luar negara. Terlalu banyak perubahan pada bangunan itu. Mungkin ada beberapa kedai yang masih berada di situ. Yang lainnya, ada yang sudah berubah.

“Aku belum buat keputusan apa-apa lagi. Entahlah. Mungkin buat masa ni, aku ingat nak stay dulu kat Ipoh ni. Nak tenangkan dulu fikiran sebelum buat keputusan apa-apa. Cukuplah sekali dua aku buat kerja gila. Dengan kau pun terheret sama.” Hujung straw dikuis-kuis dengan jari. Adam dan Nayla yang berkongsi sandwich dilayan tanpa jemu. Nasib baiklah anak-anak kakak sulungnya jenis yang tidak banyak ragam. Senang kerja dia dan Raihana menjaga.

“Babe, aku tak pernah menyesal pun ikut kau ke Hongdae dulu. Silap-silap, aku mungkin tak ada kerja sampai ke hari ni kalau aku tak ikut kau. Jadi, aku nak kau tahu, walau apa pun keputusan kau kali ini, aku akan sokong. Walaupun kau pilih untuk stay terus kat Malaysia.” Senyum Raihana ikhlas.

Nia menunduk memandang meja. Entah kenapa rasa bersalah itu bersarang kembali dalam hati. Dan setiap kali rasa itu muncul, riak wajah terakhir Haqiem kembali memenuhi ruang mata. Nafasnya ditarik dalam. Dipujuk hati agar bersabar dan bertahan. Mahunya banjir bangunan Ipoh Parade ni kalau dia mula melayan perasaan sebentar lagi.

“Aku sebenarnya rasa serba salah sebab tak selesaikan kerja aku sebelum balik ke sini. Tapi, aku tak rasa yang aku akan terus diperlukan bila Hadi dan Puan Sri dah tahu perkara sebenar. Mesti mereka rasa betrayed lepas tahu niat sebenar aku datang ke rumah tu.” Disuap sandwich kepingan ayam itu ke dalam mulut, cuba menahan diri dari menangis. Walaupun hakikatnya, matanya sudah basah tanpa dipaksa. 

Raihana mengubah duduk ke kerusi di sebelah kiri Nia. Perlahan suaranya memujuk Nia untuk bertahan dek memikirkan mereka masih berada di tengah khalayak ramai. Dia tahu Nia sebak dan sesal. Tapi, itu semuanya kisah dulu. Lebih sebulan yang lalu. Sekarang, Nia adalah Nia yang selalu dia kenal. Bekerja dan membantu selagi upayanya. 

Raihana tahu, Nia sudah mampu melepaskan Hadi. Dan mungkin saat ini, Hadi adalah seorang sahabat yang baik untuk Nia. Kerana itulah Nia bersungguh-sungguh mahu menjayakan hari istimewa Hadi dan Syazwani. Kerana dia yakin kini bahawa Hadi bukanlah jodoh yang tertulis untuknya. Dan, usaha yang telah dilakukannya hingga ke hari ini adalah sebagai satu doa agar hubungan kedua-duanya kekal bahagia hingga ke syurga.

“Sabar jelah, Nia. Yakin je yang Allah dah aturkan yang terbaik untuk kau.” Diusap belakang tubuh kawan baiknya lembut. Mengharap agar kata-katanya mampu menenangkan hati, walaupun hanya sebesar cubit. Melihat anak-anak buah Nia yang sudah mengelap hujung bibir dengan tisu, Raihana laju mengajak mereka kembali ke aras tiga bangunan itu. Masa untuk lepaskan geram dengan bowling!


WAJAH SUGUL Haqiem dipandang lama. Ini memang sengaja dibuat untuk ditayang di hadapan mama atau abang lupa yang hakikatnya dia tengah mennggu mama? Dilayang tangan di hadapan muka abangnya yang tampak mengelamun entah apa. Tiada respon. Okey, berangan. Dicuit pula siku Haqiem perlahan. 

“Tak payahlah tayang muka sememeh macam tu. Mama nampak nanti.” Senafas Hadi menegur. 

Dah macam orang hilang girlfriend. Ambil tu peribahasa baru keluaran Dewan Bahasa Arif Hadi. Lebih kurang sama maksudnya dengan peribahasa yang lama. Cuma yang ni versi belum rasmi jadi teman istimewa lagi dan hilangnya pun bukan jauh. Paling tidak pun lebih kurang empat jam saja perjalanannya.

“Kau dah cuba contact dia?” Hadi diam sesaat mendengar soalan Haqiem. 

Dari awal pagi tadi lagi dia sudah bersedia dengan soalan itu. Memang dah boleh diagak Haqiem akan bertanya perihal itu. Kalau aku beri jawapan ‘tidak’, mesti abang akan jadi lebih tidak senang duduk daripada sekarang. Tapi, kalau aku hendak katakan ‘ya’ sekalipun, Nia masih belum menjawab panggilan aku. Walaupun dah banyak kali aku mencuba. Hadi melepas keluh pendek sebelum akhirnya menggeleng, sebagai jawapan kepada persoalan Haqiem.

“Dahlah. Jangan tarik muka macam tu. Mama dah nak keluar ni.” Haqiem cuba tarik senyum segaris. Dipujuk hati. Keutamaannya ketika ini adalah mama. 

Lapangan terbang yang tadinya sedikit sunyi, kian riuh dan sesak dengan para penumpang dan pelancong yang baru sampai dari pelbagai destinasi. Haqiem memaksa tubuh berdiri. Cuba mencari bayang tubuh mamanya di tengah keramaian. Hadi yang berjalan sendirian ke arah balai ketibaan diekori lambat.

Melihat Hadi memeluk tubuh tua yang tiba-tiba muncul dari celah keramaian membuatkan perasaan Haqiem kembali bergelora. Dipaksa bibir mengukir senyum. Wajahnya pula sedaya upaya dimaniskan. Walhal dalam fikirannya, pelbagai soalan tiba-tiba muncul.

Bagaimana jika mama tanya di mana anak angkat kesayangannya? Bagaimana kalau mama tahu akulah puncul anak angkatnya lari dari rumah? Bagaimana kalau mama nak jumpa juga dengan anak angkat dia sekarang juga? Bagaimana itu dan bagaimana ini...

“Anak teruna mama berdua je? Mana Nia?” Haqiem menelan liur. Kelat. Lidah pula tiba-tiba menjadi kelu tanpa sebab. Kan aku dah kata. Mesti mama tanya punyalah bila tak nampak anak angkat kesayangan dia tak ada.

“Nia tak sihat. Dia balik rumah ayah dia. Doktor suruh dia banyakkan berehat.” Lancar sahaja jawapan Hadi. Tiada tanda-tanda dia kaget. Puan Sri Azizah pun nampaknya menerima dengan mudah jawapan yang diberikan Hadi. Begitu juga Syazwani yang setia berdiri di sebelahnya.

“Overworklah tu.”

Hadi, Puan Sri Azizah dan Syazwani yang berjalan beriringan dibiarkan mendahului langkahnya. Ditarik nafas sedalam-dalamnya. Perasaannya kini antara rasa lega dan rasa bersalah. Ya, mama. Anak mama memang overwork. Tapi, abanglah punca dia lari balik Ipoh tinggalkan kita semua. Dikeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket seluar. Mencari nama Nia dari senarai panggilan sebelum jarinya laju menekan ikon gagang.


TELEFON BIMBIT yang dibiarkan sepi di atas almari solek dicapai malas. Gelap. Tiada bateri barangkali. Wayar pengecas disumbat ke dalam lubangnya. Skrin telefon bimbit mula bernyala, menandakan ia mula menerima kuasa elektrik. Perlahan-lahan, skrin mula memaparkan pemuka utama. Notification yang naik di muka skrin ditekan lambat. 

12 Missed Calls – Hadi

10 Missed Calls – Mak Timah

1 Missed Call – Haqiem

Nia menarik nafas panjang. Sekali. Cukup bukti bahawa kata-kata aku tak akan bawa makna apa-apa. Nampaknya, memang tak guna kalau aku cuba nak jelaskan apa-apa. Dia tak akan ambil kisah dan tak akan ambil peduli. Sebab apa yang penting bagi dia, cuma diri dia sendiri. Cuma dia je yang betul. Dasar mamat psiko.

Nia menarik nafas panjang. Baru saja dia nak melupakan semuanya dengan menghabiskan masa bersama Raihana dan anak-anak buahnya, ketenangan itu dipecahkan dengan segaris nama Haqiem di skrin telefonnya. Dicampak telefon bimbit yang masih bergayut pada wayar pengecas ke atas katil. Lagi diingat, lagi menambah sakit hati. Lebih baik dia pergi membersihkan diri.

Baru sahaja hendak menanggalkan tudung, telefon bimbitnya berbunyi tiba-tiba. Diintai nama yang terpapar dengan hujung mata. Mak Timah. Entah kenapa hatinya terasa berat untuk mengangkat panggilan itu. Kerana kasihankan Mak Timah mungkin. Mungkin juga kerana rasa bersalah yang kini mula bersarang dalam hati. Lambat, jarinya menolak ikon hijau ke kanan.

“Assalamualaikum, Mak Timah.” Duduknya dilabuhkan sisi hujung katil. 

“Waalaikumussalam. Ya Allah, Nia. Kenapa tak angkat call satu hari ni, nak? Risau hati Mak Timah. Nia okey?” Nia menunduk sendiri. Tidak perlu diberitahu pun, dia dapat merasakan kerisauan Mak Timah di sebalik suara tua yang berada di hujung talian. Nafasnya ditarik panjang, lagi.

“Nia okey, Mak Timah. Satu hari ni keluar dengan family. Terlupa nak bawak telefon. Mak Timah okey?” Suaranya sedikit tersekat-sekat. Tekaknya pahit. Pipi dan matanya terasa panas tiba-tiba. Ditahan dirinya dari banyak bicara.

Mendengar suara Mak Timah yang mengadu kerisauan kerana panggilannya tidak berjawab, mata Nia mula berkaca. Bagai terbayang wajah risau Mak Timah di ruang matanya. Bukan sengaja dia hendak membebankan hati tua itu. Tapi, dia yakin benar keputusan yang diambilnya kini adalah yang terbaik untuk semua.

“Nia. Sebenarnya ada orang nak cakap dengan Nia ni. Nia cakap dengan dia, ya?” Riak wajah Nia berubah tanpa dipaksa. Biarpun sudah dapat mengagak siapa yang dimaksudkan oleh Mak Timah, dia tetap tidak mampu berlagak tenang. Bagai terdengar di hujung talian, telefon bimbit Mak Timah kini sudah bertukar tangan.

Sunyi. 

Baik Nia atau insan di sebalik talian di hujung sana, kedua-duanya diam tidak bersuara. Bagaikan berharap, antara mereka, ada yang terlebih dahulu memulakan kata. Hendak menegur, lidah Nia terasa kelu. Akalnya mati hendak berbicara. Bimbang emosinya yang terlebih dahulu mengambil alih.

“Nia.” Suara Hadi memecahkan kesunyian.

“Emm.” Hanya sepatah kata itu sahaja yang terzahir tika ini.

“Kau marahkan aku ke?” Lembut dan rendah suara itu bertanya. Nia menggeleng sendiri, seolah-olah Hadi berada di hadapannya kini.

“Kenapa pulak aku nak marahkan kau? Sepatutnya kau yang marahkan aku. Aku tahu abang Haqiem dah ceritakan semuanya pada kau. Mungkin kau dah benci aku sekarang ni.” Dialih duduknya di atas lantai. Kaki yang dilipat di depan dada, dipeluk rapat ke tubuh. Cuba mencari kekuatan dalam diri selepas ayat terakhir itu disebutnya sendiri.

“Nia. Aku dengan Wanie dah anggap kau macam our very own blood. Tak mungkin aku benci kau hanya sebab benda kecil ni. Kita pun dah lama kenal. Kau bukan orang macam tu. And, aku tahu, apa yang abang buat kat kau semuanya tak patut. Tapi, tolong maafkan dia. He was just being protective.”

Hadi diam, cuba menunggu reaksi dari Nia di hujung talian. Sunyi. Seakan bercakap dengan diri sendiri. Tapi, dia tahu Nia masih ada di sebelah sana. Sekadar mendengar tanpa bersuara. Hadi menggaru kepala yang tidak gatal. Apa lagi yang nak diperkata demi memujuk si sahabat yang sedang terluka? Bukan kerana orang lain, tetapi abang kandungnya sendiri. Nak kutuk pun rasa serba salah.

“Macam nilah. Kita lupakan semua yang dah jadi ni. Untuk sehari dua ni kau rehat je dulu kat kampung. Tapi, jangan lama sangat. Hujung minggu ni kita ada majlis, kan?” Hadi menepuk dahinya sendiri. Apa yang kau sebut pasal kerja pulak masa-masa genting macam ni? Betullah kau ni tak pandai pujuk orang yang tengah merajuk. 

“Entahlah, Hadi. Aku tak rasa aku akan bersedia nak balik sana. Nak berdepan dengan mama, dengan semua orang. Aku rasa macam aku dah khianat orang-orang yang percayakan aku.” Suara Nia merendah. Air mata yang dari tadi ditahan, jatuh juga tanpa dipaksa. Namun, tetap terus juga ditahan kerana tidak mahu tangisannya dihidu Hadi

“Nia. Kau tak khianat sesiapa pun. Pasal mama, kau tak perlu risau. Aku dengan Mak Timah dah beritahu mama yang kau nak berehat sekejap. Please come back home again. You know how’s mama doing without you.”

Merajuk sungguh nampaknya kali ini. Gunakan nama mama pun belum tentu hatinya akan terpujuk. Balik-balik dengan alasan dia telah mengkhianati semua orang. Jelas benar yang dia betul-betul terkesan dengan kata-kata Haqiem. Hadi mengeluh dalam diam. Nampaknya, sudah tiada jalan lain lagi. Nia harus dibiarkan tenang sendiri.

“Kau berehat dulu. Nanti aku contact kau lagi.” Pesan Hadi pendek sebelum mematikan panggilan.


No comments:

Post a Comment