Search This Blog

Tuesday, August 15, 2017

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 16

HADI DAN HAQIEM menarik nafas panjang. Pandangan dilarikan langsung dari Mak Timah yang masih lagi merenung tajam dua beradik itu. Kalau Mak Timah pun sudah begini reaksinya, apatah lagi mama yang bakal pulang dengan penerbangan pagi esok? Nampaknya mereka perlu bersedia dua kali ganda daripada apa yang dirasakan saat ini.

“Mak Timah nak abang dengan adik ceritakan apa sebenarnya yang dah jadi.” Mak Timah berpeluk tubuh, menanti jawapan dua beradik itu yang masih lagi diam. Lutfi yang berada di dapur sekadar memerhati. Jika bukan kerana bimbangkan reaksi Puan Sri Azizah esok, pasti emaknya tidak kelihatan terdesak sebegini.

Haqiem mengetap bibirnya rapat. Takkanlah dia mahu menceritakan apa sebenarnya yang sudah terjadi kepada Mak Timah. Ini bukan semata demi menutup kesalahannya yang buta-buta tersalah sangka. Tetapi, demi menjaga nama dan rahsia Nia yang dia sendiri jadikan punca pergaduhan itu.

“Tak ada apa-apalah, Mak Timah. Abang dengan Nia ada salah faham sikit.”

“Sikit? Abang nampak perkara ni kecil ke sampai Nia tinggalkan rumah macam ni?” Suara Mak Timah yang tiba-tiba meninggi mengejutkan Hadi dan Haqiem. Lutfi yang dari tadinya mencuri dengar, terus melangkah meninggalkan dapur. Bimbang sebentar lagi, dengan dirinya sekali dikaitkan dalam permasalahan itu.

Haqiem kembali terdiam. Dalam hatinya mengutuk diri sendiri yang tiba-tiba tidak betah berkata-kata. Semalam bukan main lagi lantang bersuara. Sampaikan tak beri muka langsung kepada Nia untuk menceritakan perkara sebenar. Sekarang, kau rasakan pula bagaimana perasaan Nia bila disergah semalam.

Hadi mengintai abangnya dengan hujung mata. Dia tahu Haqiem sedang disapa rasa serba salah. Namun, segalanya tidak mudah untuk dijelaskan begitu sahaja. Silap hari bulan, perkara ini akan jadi lebih besar dan sukar dibendung. Apa yang perlu sekarang adalah untuk meyakinkan Mak Timah untuk sama-sama menyembunyikan apa yang telah terjadi daripada pengetahuan mama.

“Hadi rasa, masalah ni, biar abang yang selesaikan sendiri dengan Nia. Mak Timah jangan beritahu mama, ya?” Dua pasang mata itu kini bertumpu kepadanya. Seakan mencari kepastian di sebalik cadangannya yang tiba-tiba itu.

“Okey. Tapi, abang jangan nak ambil mudah pulak bila Mak Timah kata okey ni.” Pandangan tajam Mak Timah kembali mengarah kepada Haqiem yang masih memandang Hadi dengan pandangan seribu makna. Lambat-lambat, dia mengangguk tanda faham dengan amaran Mak Timah yang pastinya mempunyai had masa. Hadi di sebelah terlebih dahulu menarik nafas lega.

“Bukan main senang kau cakap dengan Mak Timah biar abang yang pujuk Nia, kan?” Haqiem bersuara sebaik Mak Timah menghilang di balik pintu biliknya yang bertutup. Kalau sampai gadis itu tekad meninggalkan rumah sebegini, rasanya tidak semudah itu dia dapat memperbetul semula keadaan. 

Hadi menarik nafas panjang. Abang aku ni dah mula kecut perutlah tu. Masa marah tak peduli pun pasal semua ni. Bila aku kata dia ni sebenarnya cemburu, dikatakan aku ni merepek tak tentu hala seperti Rafiq. Kalau sudah dua orang berkata benda yang sama, mengarut lagikah? Apatah lagi apabila dua orang ini jarang sekali berbicara berdua. Haih, mulalah aku nak keluarkan bahasa skema jawapan kertas Bahasa Melayu SPM.

“Nanti adik tolonglah abang contact Nia tu.” Giliran Haqiem pula menarik nafas lega. Yang pasti sekarang, mereka perlukan alasan yang benar-benar kukuh yang boleh dibentangkan di hadapan mama esok. Jika tidak, masaklah jawabnya...

“Kalau macam tu, abang balik rumah dulu. Esok kita gerak sekali ambil mama dan Wanie kat airport.” Hadi sekadar mengangguk. Dia tahu Haqiem sedang celaru. Mana nak memikirkan mama, nak memikirkan Nia yang berjauh hati pula. Memang sebaiknya dia membiarkan abangnya itu berehat. Haqiem yang sedang berjalan menuju ke pintu dipandang sepi.


“NIA!”

Nia yang sedang asyik memerhati anak buahnya mengail ikan di tepi sawah berpaling. Suara yang memanggilnya cukup dikenali. Sedikit terkejut, dia membiarkan tubuhnya dipeluk Raihana. Entah bila kawan baiknya itu tiba di Malaysia, dia tidak tahu. Tetapi, apa yang pasti, matanya basah tiba-tiba.

Raihana sekadar membiarkan kawan baiknya itu menangis di bahunya. Dia tahu benar perangai Nia yang suka memendam sendiri semuanya. Dan satu-satunya teman tempat Nia bercerita adalah dia. Itupun setelah penat dipaksa atau saat Nia sudah tidak mampu bertahan. Alasannya, orang lain tak akan faham.

Tersedu-sedan Nia mengelap air matanya yang mengalir. Pandangan dibuang ke arah Farhan, anak buahnya paling kecil yang sedang bermain aci kejar dengan adik-beradik lain di tengah batas sawah. Raihana di sebelah sedang berfikir entah apa. Hujung lengan bajunya yang basah dek air mata digosok perlahan.

“Aku terkejut bila baca mesej kau lepas turun flight tadi. Patutlah semalam aku rasa tak sedap hati. Terus aku ambil tiket flight paling awal pagi tadi. Rupanya, benda nak jadi macam ni. Nasib baik aku dah minta cuti empat hari dari Mr. Yoon.”

Belakang tubuh Nia digosok perlahan. Jika dia di tempat Nia pun, pasti dia akan berasa yang sama. Tidak diberi peluang untuk membela diri dan menjelaskan perkara sebenar. Amarah Haqiem dirasakan tidak bertempat. Ditambah pula dengan tuduhan yang melulu. Raihana pula yang naik baran.

Tetapi, dia tidak juga meletak seratus peratus kesalahan pada Haqiem. Nia juga bersalah dalam hal itu. Awal-awal dulu lagi dia sudah melarang Nia dari meneruskan rancangan tidak masuk akalnya itu. Nia sendiri yang keras kepala. Namun, melihat dedikasi Nia membantu keluarga Hadi, dia sekadar membiarkan. Itupun kerana yakin niat asal Nia sudah hilang. Sehinggalah, semua ini terjadi. Terasa sesal di hati kerana tidak berkeras dengan Nia 

“Aku tak tahu kenapa aku rasa marah sangat dengan Haqiem. Padahal, aku dah jangka benda ni akan terjadi juga akhirnya. Tapi, bila aku ingat cara dia pandang aku masa tu, aku rasa kecewa. Kecewa sebab dia masih tak percayakan aku.”

Bayangan wajah berang Haqiem kembali bermain di ruang mata. Mengingatkan pandangan Haqiem yang mencerlung, membuatkan dadanya terasa sesak. Nafasnya kembali tidak teratur. Mata yang mula berkaca ditekup dengan hujung lengan baju yang sudah sedia basah.

Raihana bangun dari duduknya. Lalang yang sedikit meninggi di tepi batas sawah itu dipetiknya. Dia pun sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu memujuk Nia. Sewaktu mereka kerap dimarahi orang atasan ketika baru mula berkerja dahulu pun Nia tidak pernah menangis teresak-esak begini. Melainkan...

“Nia, kau ada perasaan ke kat Haqiem tu?”

Air mata Nia berhenti sendiri. Sedu-sedannya juga sudah tiada. Pandangannya tepat ke arah Raihana yang sibuk menguis tanah dengan batang lalang. Cuba ditafsir soalan yang diajukan Raihana sememangnya soalan atau gurauan.

“Janganlah buat muka. Aku cuma tanya sebab aku tengok kau lagi concern pasal Haqiem berbanding Hadi. Aku tahu kau dah move on dari Hadi. Tapi, mungkinkah cinta kau sebenarnya beralih arah kepada orang lain? Bukannya salah pun, kan?”

Nia menggeleng tanda tidak setuju. Dia tahu hatinya. Setidaknya, dia rasa dia masih kenal rasa hatinya. Dia tidak pernah merasakan debar dalam hatinya untuk Haqiem seperti yang dirasakan saat meluangkan masa bersama Hadi. Walaupun adakalanya, dia lebih selesa untuk bergurau senda dengan Haqiem.

Langit yang kian memerah di ufuk barat mematikan perbualan dua kawan baik itu. Berjanji untuk sama-sama pergi ke bandar pada keesokkan harinya, mereka berpisah di hujung batas sawah. Namun, antara paksa dan rela, soalan Raihana kekal dalam kotak ingatan Nia. Membuatkan gadis itu mula menyoal hati dan akalnya sendiri.



BALA. BALA.

Rafiq mengeluh sendiri. Masalah dia dan Ellyna dah selesai. Sekarang timbul masalah antara Haqiem dan Nia pula. Itu tak mengapa lagi. Dia yakin, pasti masalah itu akan selesai secepat mungkin. Haqiem punya Hadi, kawan baik kepada Nia, dan Puan Sri Azizah, ibu angkat kesayangan yang menjadi ganti tempat Nia menumpang kasih seorang emak. Itulah kekuatan dan itulah kelemahan yang dikongsi mereka berdua.

Tetapi, bala yang dimaksudkannya sekarang ni memang tak tahu dengan cara apa lagi yang boleh digunakan untuk menyelesaikannya. Akhirnya, dia menggeleng kecil dalam ketawa halus yang hanya boleh didengari telinganya sendiri. Aku rasa memang ada orang yang nak kena halau macam anjing kurap, baru dia faham yang kehadirannya tak diperlukan di rumah ni.

“Hei. I tanya ni. Mana Haqiem?” 

Rafiq menggaru kepalanya yang tidak gatal entah buat kali ke berapa, dia sendiri tidak tahu. Sudah penat mulutnya mengulang jawapan yang sama di hadapan muka Kyra. Masih, soalan yang sama juga diulang semula berkali-kali.

“You tak payah cakap sepatah-sepatah pun I boleh dengar dengan jelaslah soalan you tu. Tapi, kan I dah cakap tadi. Dia balik rumah mama dia.” Rafiq menjawab sepatah-sepatah. Ini kalau tak faham juga ni, rasanya kena mengeja pula kut. Kalau mengeja pun tak faham, eloklah dihantar ke kelas pemulihan. Boleh sekalikan dengan pemulihan akhlak, mungkin.

“You tak payah nak tipulah. I tahu yang Puan Sri pergi Bali dengan bakal menantu dia. Jadi, tak ada sebab dia nak balik rumah tu.” Ujar Kyra yakin. 

“Manalah tahu kot Puan Sri ada bakal menantu lain kat rumah tu.” Senyum Rafiq sinis apabila melihat wajah Kyra yang tiba-tiba memerah. Sekali-sekala bakar hati orang pun seronok jugak. Bukannya perempuan ni tahu cemburu pun. Tercabar? Ya, mungkin. Sebab ada orang lain yang berjaya cairkan hati CEO AH Holdings yang keras tu.

“You jangan nak mengarut ya. I cili mulut you baru tau.” Ugutan Kyra sedikit pun tidak menduga hatinya. Ingat rumah ni tak ada cili ke nak buat lawan laga siapa yang rasa pedas dulu? Tak padan dengan gaya dress-up langsung, main ugut dengan cili. Rafiq gelak besar dalam hati.

“Terserah pada youlah samada nak percaya atau tak.”

Lampu kereta yang tiba-tiba tersuluh tinggi ke arah mereka berdua mematikan kata-kata Kyra yang semakin terbakar dengan ayat terakhir Rafiq. Tak perlu diperhati lama pun mereka sudah dapat mengagak siapa empunya kereta Nissan Murano yang berhenti di seberang jalan hadapan rumah tu.

“Macam mana?” Rafiq terus bertanya sebaik melihat Haqiem merapati rumah sewa mereka. Haqiem sekadar menggeleng. Tanpa jawapan pun, Rafiq sudah boleh mengagak dari wajah sugul Haqiem yang jelas ditayang.

“Haqiem, you pergi mana? Penat I cari you satu hari ni.” Lengan baju yang ditarik Kyra langsung tidak dipedulikan. Kalau diikutkan hati, mungkin saja ada yang dilempang tanpa perlukan kata-kata pendahuluan. Kepala tengah serabut, dia datang menempel pulak kat sini. 

“Fiq, aku nak masuk rehat dulu. Serabutlah kepala aku.” Pagar dibuka kecil, semata membenarkan Haqiem masuk. Dengan wajah dan gaya rambut yang entah apa-apa, sahabat baiknya itu memang nampak serabai sungguh. Hendak bertanya lebih lanjut, ada langau yang tak reti-reti hendak balik, walaupun sudah penat mulut menghalau

“You tak faham ke atau you ni sebenarnya pekak? Kan dia dah cakap. Dia penat, kepala dia serabut. You pergi baliklah. I pun dah tak larat nak layan you.” Tolonglah terasa dengan kata-kata aku. Takkanlah nak kena hayun dengan penyapu lidi hak milik rumah Kak Tina sebelah ni baru nak faham? Aku guna bahasa manusia kut. Bukan bahasa alien.


No comments:

Post a Comment