Search This Blog

Tuesday, August 1, 2017

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 15

HADI MELETAKKAN gelas minumannya perlahan. Riak wajah Haqiem yang sedang duduk berhadapan dengannya tidak mampu dibaca. Mungkin sedikit kesal dengan salah faham yang direkanya sendiri. Mungkin masih keliru dan cuba mencari kepastian.

“Adik dah jelaskan semua yang jadi semalam. Adik sengaja tak nak bincang kat rumah. Nia dah cukup penat dengan segala kerja yang kita beri pada dia. Adik tak nak dia lebih terganggu. She really need a good rest.” Haqiem yang masih diam, dipandang lama.

Terkejut Hadi bila Mak Timah ceritakan mengenai perang mulut yang terjadi antara Nia dan abangnya semasa dia sampai di rumah mama malam semalam. Sudahlah dia keliru dengan apa yang terjadi di rumahnya. Dia pulang selepas siap mengemas malam itu pun demi mendapatkan penjelasan dari Haqiem dan Nia. 

Kata Mak Timah, itu pertama kali dia melihat Nia meninggikan suara di hadapan orang lain. Abang pun nampaknya marah benar. Sampaikan langsung terus keluar meninggalkan rumah mama tanpa menegur Mak Timah yang sedang menyiram pokok bunga di laman. Sedangkan sudah bertentang empat mata.

“Sekarang giliran abang pulak untuk jelaskan apa yang abang cakap semalam. Adik cuba dapatkan penjelasan dari Nia. Tapi, dari semalam dia asyik lari dari jumpa adik. Apa yang Nia dah janji dengan abang? Dia tipu pasal apa?” 

Hadi bertanya tanpa berdalih. Soalan yang sama sudah berada dalam fikirannya lebih dua belas jam yang lalu. Perasaan ingin tahunya membuak-buak. Apa rahsia yang cuba disembunyikan Haqiem yang masih senyap tanpa reaksi di hadapannya? Apa perjanjian yang dimeterai oleh Nia dan Haqiem tanpa pengetahuannya? Penipuan apa yang dilakukan Nia selama ini?

“Tak ada apa. Abang ikutkan sangat perasaan semalam sampai tersebut benda bukan-bukan.” Cawan milo panas dibawa rapat ke mulut. Pandangannya dilarikan dari bertembung dengan Hadi yang tidak puas hati dengan jawapannya.

“Adik dah tahu banyak. Just a few words more to complete the puzzle.”

Haqiem mengeluh panjang. Satu kelemahan dia yang tidak dapat dikawal. Senang mengikut kata hati ketika marah. Sudahnya, dia terjebak dalam keadaan yang rumit sebegini. Rasa bersalah kepada Nia serentak datang menerpa. Satu-satunya orang yang mungkir janji dalam konflik ini adalah dia sendiri. Bukan Nia.

Berkali didesak, akhirnya Haqiem mengalah juga. Cerita mengenai Nia yang kembali dari Korea hanya kerana berencana mahu merosakkan hari bahagia Hadi dan perjanjian yang direka antara mereka berdua. Perihal Raihana juga diceritakan tanpa dipinta. Bagaimana Nia hanya mereka sebuah kisah demi meraih simpati Hadi.


NIA MENGANGKAT BAGASI MENURUNI TANGGA dengan nafas yang agak tersekat-sekat. Diintai dapur yang sunyi. Bimbang Mak Timah ada di dapur. Sebolehnya, dia mahu meninggalkan rumah ini tanpa pengetahuan sesiapa pun. Selepas apa yang telah terjadi semalam, dia masih belum punyai kekuatan untuk berhadapan dengan Hadi dan Haqiem. 

Ruang tamu yang kosong dilewati perlahan. Entah kenapa tiba-tiba sahaja dia teringat pada malam dia dan Haqiem mencuri tonton siaran ulang tayang drama lewat petang bersama-sama. Dengan popcorn yang dimasaknya sendiri, mereka sama-sama berhujah di hadapan televisyen dengan suara perlahan. Gara-gara tidak mahu mengganggu lena Hadi dan Puan Sri Azizah.

Pintu utama rumah agam dibuka perlahan. Masih tiada bayang tubuh Mak Timah di mana-mana. Mungkin wanita itu berada di belakang rumah. Nia menarik nafas panjang. Hatinya terasa berat. Tetapi, dia yakin dia harus pergi. Dia tidak layak untuk terus berada di sini. Tiba saat nanti Haqiem menceritakan segalanya, pasti Hadi dan Puan Sri Azizah akan rasa dikhianati.

Bagasinya yang berat dimasukkan ke dalam but teksi. Dihumban diri masuk ke dalam perut teksi yang sedia menantinya dari tadi. Gazebo kayu di tepi rumah pula menyapa pandangan. Wajah Haqiem yang memberi kata semangat untuk dia menerima jawatan Pengarah Projek singgah tepat di hadapan mata sebelum berganti dengan wajah berang yang terakhir sekali dihadapnya petang semalam. Nia tekad. Dia mesti pergi sekarang!

“Nia.” 

Cermin tingkap teksi di sisinya diketuk dari luar. Suara lembut Mak Timah yang memanggil namanya sedikit mematahkan tekad. Bagaimana dengan Mak Timah selepas dia pergi nanti? Pasti tugasnya bertambah semula. Dan yang pasti, tiada lagi tempat dia menumpang kasih sayang seorang ibu. 

“Nia nak pergi mana dengan semua barang ni? Nia merajuk dengan abang, ya?”

Terasa mahu sahaja dia menangis di bahu Mak Timah tika itu juga. Tetapi, dia harus pergi. Sebelum Hadi dan Haqiem kembali. Sebelum Puan Sri Azizah dan Syazwani pulang dari seberang. Insan yang bakal terluka dengan kebenaran itu bukan dia seorang sahaja.

“Mak Timah tolong beritahu Hadi yang Nia minta maaf. Nia dah beritahu abang yang Nia nak balik kampung. Mak Timah jaga diri, ya? Jangan buat kerja berat.” Dipeluk erat tubuh tua yang jelas tidak mengerti maksud sebenar kata-kata Nia. Jika sekadar mahu pulang ke kampung, mengapa ucapannya seperti mahu pergi terus dari rumah itu? Suara Nia yang sedikit serak mengganggu fikirannya.

Tanpa menunggu lebih lama, Nia terus masuk semula ke dalam teksi yang masih menunggu. Mak Timah yang hanya memandang dari luar pintu membuatkan hatinya menjadi sayu. Maafkan Nia, Mak Timah. Nia bersalah. Tetapi, Nia tak mampu nak luahkan. Biarlah setidaknya ada seorang yang masih sayangkan Nia.


GELAS JUS OREN yang tadinya penuh, hanya tinggal ais. Segala apa yang perlu diketahui, selamat dihadam dan dicerna oleh akalnya. Hadi memandang Haqiem yang masih sugul. Dihantui suatu perasaan yang tidak dapat dijelaskan dengan perkataan. Dia memberi ruang untuk Haqiem meluahkan apa yang tersirat dalam hati. Hadi yakin, itulah sebenarnya apa yang Haqiem perlukan. Teman untuk bercerita.

“Abang tahu, dia tak pernah sekali pun langgar janji dia dengan abang. Abang simpan rahsia dia pasal kerja di Korea dan kawan dia pun sebab nak jaga hati mama. Tapi, bila abang tengok kau orang berdua-duaan dalam rumah semalam, I totally lost it. Abang pun tak tahu kenapa abang nak marah sangat sampai tak beri peluang untuk dia jelaskan.” 

“Actually, semua ni salah adik. Adik yang macam bagi harapan pada dia. Adik memang sayangkan dia. Tapi, setakat seorang kawan. Sekarang ni, macam adik-beradik. Tapi, adik nak abang tahu yang Nia tak ada buat salah apa-apa. Mungkinlah dia datang ke rumah kita dengan menipu. But sincerely, I don’t think she did any harm since the day she first came. Adik suka rumah kita yang sekarang. Semua orang berkumpul, berbincang dan bergaduh macam keluarga sebenar. Dulu, nak nampak muka pun payah.”

Haqiem mengangguk setuju. Dia akui. Keluarganya bukanlah berantakan. Cuma, masa yang diluangkan untuk keluarga tidak mencukupi. Mama lebih banyak bersendirian dengan Mak Timah sahaja di rumah. Hadi dengan kerja dan Wanie. Dia sendiri tinggal berasingan bersama Rafiq.

Sejak Nia ada, mama punya teman bertukar cerita. Waktu makan malam selalunya dihabiskan di rumah mama demi membincangkan persediaan majlis penting Hadi. Tugas Mak Timah pun dibahagi dua dengan Nia yang berkeras mahu membantu. Dia sendiri, terasa dunianya berubah menjadi lebih baik. Tidak lagi membosankan seperti selalu.

“Adik rasa dia boleh maafkan abang tak?” Hadi mengangkat bahunya tanda tidak tahu. Hati Nia bukannya mudah untuk dibaca. Dari zaman belajar di universiti lagi, ramai yang menggelar Nia sebagai Joker. Riak wajah dan perasaan dalam hatinya adakalanya tidak sekata.

“Jom kita balik dan minta maaf dengan dia sama-sama.” Hadi memberi cadangan. 


RAFIQ MEMBACA MESEJ yang baru diterimanya dengan senyuman segaris di bibir. Laju gerak jemarinya menaip balasan. Ada-ada sajalah yang tidak kena dengan kawan baiknya itu. Sesekali dia mengerling ke arah Ellyna yang sedang duduk dihadapannya. 

Ellyna yang perasan dengan tingkah aneh tunangnya itu sekadar buat tidak ambil peduli. Jelas, mesej itu bukan dihantar oleh mana-mana kawan perempuan Rafiq. Jika tidak, tak mungkin dia berani senyum sebegitu selepas bermatian dia memujuk Ellyna selama hampir dua minggu.

“Semacam je senyum? Tak nak kongsi ke, brother?” Ellyna bertanya dengan wajah selamba. Tangannya masih ligat bermain di atas skrin telefon bimbitnya. Matanya masih lagi menikmati gambar pemandangan yang dikongsi teman sepejabatnya di Instagram.

“Tak ada apalah, sister. Fiq cuma terfikir yang betullah El dengan Haqiem ni sepupu. Perangai lebih kurang je. Level of jealousy pun.” Pergerakan Ellyna terhenti. Cuba mentafsir kata-kata Rafiq yang tidak mampu dikenalpasti hujung pangkalnya. Rafiq yang tersenyum sinis dipandang lama.

Telefon yang masih memaparkan teks perbualan antara dia dan Haqiem dihulurkan kepada Ellyna yang lambat-lambat mengambilnya. Jenuh dia membaca setiap satu perbualan, dari atas ke bawah, semata mahu memahami jalan cerita dan punca tunangnya berkata sebegitu. Tiba dibaris ayat yang terakhir, dia kembali memandang Rafiq yang sedang merenungnya.

“Jadi, memandangkan Fiq ada pengalaman memujuk orang merajuk, apa yang patut pakcik tu buat sekarang?”

Rafiq memperbetul duduk. Tubuhnya disandarkan pada kerusi dengan mata yang masih memandang Ellyna. Gelas plastik berisi iced Americano dibawa rapat ke mulut. Diketuk straw penyedut dengan hujung jari. Bahunya dijungkit perlahan.

“Just wait and see. Kalau bernasib baik, orang tu akan datang balik. Kalau tidak, terlepas macam tu sajalah.” Ellyna sedikit terpempan. Cadangan Rafiq tidak mampu diterima dek akalnya.

“Apa jenis cadangan macam tu?” Green Tea Crème Frappucino disedut lambat-lambat. Wajah encik tunang yang asyik merenungnya direnung semula. Hello, brother! Sepupu kesayangan saya sedang ada krisis, awak boleh buat lawak hambar? Macam ini ke kononnya kawan baik dunia akhirat?

Rafiq mengangkat kening double jerk bersahaja. Dia tahu jawapan tidak memuaskan hati Ellyna yang mendengar. Bukan dia tidak mahu membantu. Tetapi, masalah itu perlu diselesaikan sendiri oleh Haqiem. Satu-satunya jalan yang ada hanyalah dengan memohon maaf daripada Nia sendiri.

“Sayang ingat tak apa yang sayang selalu cakap? ‘Berani buat beranilah tanggung.’” Wajah Rafiq berubah serius. Jari telunjuk dan jari tengah kedua-dua belah tangan digerakkan di hadapan mukanya.

Ellyna jadi terdiam. Sekali sekala dia melihat sisi itu pada tunangnya yang sering berkelakuan gila-gila. Namun, apabila difikirkan semula, memang ada benarnya. Salah Haqiem juga kerana memarahi tanpa usul periksa. Ellyna membaca ayat terakhir yang dihantar Haqiem kepada Rafiq sekali lagi.

‘Aku sakit hati bila teringat aku dah sakitkan hati dia.’


No comments:

Post a Comment