Search This Blog

Tuesday, May 30, 2017

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 14

HADI, NIA DAN HAQIEM diam memandang satu sama lain di meja makan itu. Suasana di antara mereka tegang. Tiada siapa mahu mengalah. Dalam diam, mereka cuba membaca fikiran masing-masing. Tersilap langkah, diri sendiri yang akan menanggung akibatnya.

“Satu!” 

“Dua!”

Nia berdiri laju. Dia bertukar pandang dengan Haqiem yang senyum melebar sepertinya. Hadi yang bersandar malas pada kerusi mula buat muka menyampah. Terasa permainan yang dimulakan Nia tidak adil untuknya. 

Mak Timah yang dari tadi hanya memerhati akhirnya bersuara. “Tak apa. Biar Mak Timah yang kemaskan meja makan tu. Kamu bertiga pergi berehat.”

Haqiem laju melarang. Denda tetap denda, katanya. Bukan selalu mereka dapat bermain begini. Asyik dengan kerja dan hal sendiri. Sesekali, tidak salah rasanya jikalau mereka membiarkan Mak Timah berehat dari rutin tugasnya.

“Apa kata kita pergi main bowling?” Haqiem tiba-tiba memberi cadangan. Inilah jadinya bila kerja yang dihadap berhari-hari siap juga akhirnya. Mood mahu bergembira semakin menjadi-jadi.

“Adik baru nak ajak abang pergi hantar barang kat rumah adik.” Tangan Hadi berhenti dari mencuci pinggan yang disusun bertingkat di dalam sinki. Dipandang abangnya yang masih berada di meja makan. 

“Baru teringat. Abang ada hal sikitlah hari ni.” Haqiem laju menjawab. Rancangan yang diatur dengan Rafiq tiba-tiba mengetuk ingatannya. Nyaris sahaja dia terlupa.

“Nia?” 

Nia sekadar mengangguk setuju. Memandangkan kerjanya sudah siap, dia menurut sahaja. Haqiem yang sedang memandangnya dibuat tidak endah. Bukannya dia lupa janji. Dia cuma mahu keluar mengambil angin. Terasa dirinya sudah menjadi katak yang belum sempat keluar dari bawah tempurung.


RAFIQ MEMANDANG TEMANNYA yang sedang tekun memerhati barisan cenderamata yang tersusun kemas di dalam kedai. Bukan perkara biasa-biasa bila Haqiem mengajaknya keluar mencari hadiah. Apatah lagi, jika penerimanya adalah seorang perempuan dan Puan Sri Azizah bukanlah orangnya.

“Kau rasa apa hadiah yang patut aku bagi?” 

Ekspresi wajah Haqiem jelas menunjukkan dia sudah mati akal mahu memilih hadiah yang sesuai. Baru dia sedar, masih banyak yang dia tidak tahu mengenai gadis itu. Termasuklah benda semudah warna kegemarannya.

Satu-persatu kedai di dalam kompleks itu dimasukinya. Hendak dibelikan pakaian, dia tidak tahu saiz sebenar yang dipakai Nia. Hendak dibelikan cenderahati dengan tulisan ‘Terima Kasih’, terasa terlalu formal dan tidak kena dengan jiwanya. Akhirnya, dia kembali termenung mencari pilihan yang sesuai.

“Manalah aku tahu si Nia tu suka apa. Kenapa kau tak bawa je dia? Kan lagi senang kerja kau.” Rafiq cuba berseloroh. Namun, hanya dibalas dengan pandangan serius Haqiem.

“Kau kan selalu buat kejutan untuk semua girlfriends kau. Mesti kau tahu apa yang orang perempuan suka, Romeo.” 

Mohon terasa. Sudah bertunang dengan sepupu aku pun perangai buaya tembaga tak cukup tanahnya masih tidak dibuang. Haqiem menahan ketawa. Gelaran yang diberikan Nia untuk Rafiq sedikit menggelikan hatinya.

“Tak semuanya suka benda yang sama. Kawan-kawan perempuan aku tu typical materialistic yang kau biasa jumpa dalam drama. Aku bagi contoh paling dekat. Ellyna tu sendiri lain pulak perangainya. Dia lagi suka kalau aku hadiahkan bunga matahari tu.”

Pemberitahuan. Semua gadis yang sering keluar dengannya hanya dianggap sebagai kawan. Cuma orang lain yang sering tersalah sangka. Termasuklah tunangnya sendiri. Haqiem hanya menggeleng kecil dengan penerangan Rafiq yang agak kebudak-budakkan. 

Farah Ellyna dan bunga matahari memang tidak dipisahkan. Sejak kecil lagi sepupunya itu cukup sukakan bunga matahari. Bila ditanya mengapa bunga matahari, jawapannya cuma satu. Biarpun batangnya kecil dan sering diganggu serangga, bunga matahari masih boleh berkembang dengan mekar, besar dan cantik.

“Tapi, kenapa tiba-tiba je kau nak belikan hadiah untuk Nia? Ada apa-apa yang aku tak tahu?” Soalan Rafiq mematikan ingatan zaman kanak-kanaknya. 

“Aku cuma nak belikan hadiah tanda penghargaan dan ucap tahniah atas kejayaan projek majlis amal nanti je.” Entah kenapa dia sendiri bagaikan tidak yakin dengan jawapannya. Wajahnya seperti teragak-agak.

Rafiq buat muka tidak percaya. Sungguh, kawan baiknya itu tidak berkelakuan seperti Haqiem yang biasa dikenalinya. Haqiem yang dia kenal tidak ambil peduli dengan perkara remeh sebegitu. Setiap perbuatan yang dilakukan harus disertakan dengan sebab yang jelas. Tetapi, hari ni dia dapat melihat Haqiem bagaikan menyembunyikan sesuatu. 

“Kau ni tak membantu langsunglah. Macam tak ada fungsi aku ajak kau temankan aku.”

Sudahlah dia tidak biasa melakukan perkara sebegini, Rafiq pula tidak habis-habis mahu mengusiknya. Kalau diikutkan hati, sekarang juga dia mahu membatalkan niatnya. Tetapi, apabila difikirkan semula, itu sahaja yang mampu dilakukannya sebagai tanda berterima kasih.

“Ala, janganlah marah. Aku bergurau saja. Aku ada cadangan untuk kau. Kebetulan semalam El ajak aku ke sini juga.”

Ditolak belakang tubuh Haqiem keluar dari kedai cenderamata itu. Langkahnya diatur mendahului Haqiem menuju ke wing kanan bangunan itu. Walaupun dia tidak tahu selera Nia, setidaknya, cadangannya mungkin boleh diterima pakai. Kedai dengan papan tanda besar bertulis TOMEI itu dimasuki tanpa berlengah.


HADI MENOLAK PINTU RUMAH SELUASNYA. Rumah yang hampir lengkap dengan segala keperluan diperhati lama. Sebulan sahaja lagi sebelum dia dan Wanie bakal berpindah masuk ke sini. Entah bila Wanie datang mengemas rumah, dia pun tidak tahu. Almaklumlah, semakin dekat dengan tarikh pernikahan mereka, semakin banyak tugas yang diberikan Haqiem kepadanya. Ganti cuti berbulan madu katanya.

“Kau tunggu sini kejap. Aku angkat yang berat dulu masuk rumah.” Sekadar menunjukkan isyarat ‘OK’ dengan jari. Matanya masih menghadap telefon bimbit yang tidak lekang dari tangan. 

“Terima kasih banyak-banyak sebab kau tolong temankan aku hari ni. Dahlah dua tiga hari ni kau sibuk dengan majlis amal mama, kau tolong buat persedian majlis nikah dan resepsi aku pula. Sampai tak cukup tidur dibuatnya. Teruk kau kena buli, kan?” Suara Hadi sekejap mendekat, sekejap menjauh dek dia sibuk memunggah barang dari dalam kereta ke dalam rumah. Nia hanya tersenyum halus.

“No biggies. Janji kau doakan giliran aku pula jumpa orang yang betul-betul sayangkan aku. Macam kau dengan Wanie. Sayang each other.” Tutur Nia ikhlas. Tiada sekelumit pun rasa terpaksa saat kata-kata itu diluahkan. Dia sedar, itu yang sepatutnya dilakukan dari awal. Bukan dia jodoh yang tertulis untuk Hadi.

“Ada tu. Entah-entah dekat je dengan kau selama ni.” Hadi mengusik. 

Riak wajah Nia berubah. Well, yang dekat tu menunggu hari menjadi suami orang. Entahlah. Malas dia hendak berfikir mengenai itu buat masa ini. Amanah demi amanah yang diberikan Puan Sri Azizah sudah cukup membantu dia melupakan tujuan asal dia kembali ke Malaysia dahulu. 

“Aku dah angkat semua barang masuk. Kau tolong kemas yang di dalam rumah. Aku nak kemas barang yang dalam kereta. Bersepah dah jadinya.” Nia hanya mengangguk mendengar permintaan Hadi. Kaki yang dirasakan kian lemah dibuat tidak endah. Lagi cepat kerjanya selesai, lagi cepat dia dapat berehat. 

Kotak bunga telur yang tadinya dibiarkan Hadi di atas sofa disusun kemas di tepi kabinet televisyen. Terbongkok-bongkok dia cuba memastikan laluan di dalam rumah itu kosong dari sebarang gangguan. Bimbang pula nanti sekiranya mereka yang akan membantu membuat persiapan akhir akan berasa tidak selesa dengan keadaan rumah yang agak bersepah.

“Nia. Tolong ambilkan aku air mineral dalam kotak kat dapur.” Hadi muncul di muka pintu dengan wajah kepenatan. Jika dia sudah sepenat ini, bagaimana dengan Nia? Soalan Hadi hanya terluah di dalam hati. 

Sama-sama kehausan, Nia bangun tanpa membantah. Entah mana silapnya, saat dia berdiri untuk ke dapur, pandangannya gelap tiba-tiba. Kakinya lemah langsung tanpa tenaga. Badannya mula rebah tanpa sedar. Dunianya terasa berpusing.

“Nia!” Pergelangan tangan Nia laju dicapai Hadi. 

Namun, percaturannya tidak mengena. Buku lalinya terlebih dahulu tersadung dek kaki meja. Serentak dia dan Nia jatuh terduduk di atas lantai. Hadi dapat merasa badan Nia lemah tidak berdaya dari pegangan pada lengan Nia yang masih belum dilepaskannya. Kalau dibiarkan, mungkin tumbang menyembah lantai.

“Nia, kau okey tak ni?” Mata Nia masih tertutup kejap. 

“Aku okey. Pening sikit je ni. Tadi bangun tiba-tiba.” Dalam penglihatan yang masih kabur, Nia memaksa dirinya berdiri. Dipaut tubuh sofa sebagai bantuan. Belumpun sempat dia melangkah, tubuhnya mula rebah semula. Kakinya ingkar mengikut arahan akal.

“Kau tak okey ni. Jom balik jelah.” Lengan kiri dan kanan Nia dipegang Hadi, erat. Risau pula melihat keadaan kawan baiknya yang sebegini. 

“Apa kau orang buat ni?” Suara Haqiem yang meninggi tiba-tiba memecah kesunyian. Serentak Hadi dan Nia berpaling memandang pintu yang masih luas terbuka. Wajah Haqiem yang memerah laju menyapa.

“Nia ni. Dia...”

“I cannot believe you could break your promise hanya sebab pentingkan perasaan sendiri. You do lie to me like how you did to mama and Hadi, all just for your own good, right?” Laju kata-kata Hadi dipotong. Pandangan Haqiem tajam kepada Nia yang masih menunduk. Dia pasti, sangkaannya tepat. Membuat Nia diam tanpa jawapan.

Lengan yang masih dipegang Hadi direntap lemah. Entah dari mana datangnya kekuatan, Nia tidak tahu. Beg tangan yang disangkut pada tombol pintu diambil tanpa sebarang kata. Dia langsung tidak memandang Haqiem yang masih memandangnya.

“Chup. Apa maksud abang?” Wajah Hadi kebingungan. Sungguh dia tidak faham walau sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut abangnya. Janji? Tipu? Nia tipu keluarganya? Dipandang pula Haqiem yang tampak berang dan kecewa.

“Ini semua salah faham, Hadi. I’ll explain to you later. Encik Haqiem, saya akan jelaskan semuanya dalam kereta.” 

Nia terus memasuki kereta yang tidak berkunci tanpa menunggu jawapan dari Haqiem. Lebih lama dia berada di situ, lebih banyak salah faham yang mungkin terjadi. Dia tahu, masanya pasti akan tiba untuk dia jelaskan semuanya kepada Hadi dan Puan Sri Azizah. Tetapi, bukan dalam keadaan sebegini.

Nia memejamkan matanya rapat. Dengan kepalanya yang terasa berat, bahu pula ditimpa beban yang datang tiba-tiba. Dia harus menyelesaikan segalanya segera. Sebelum ianya meleret lebih lama. Sebelum Puan Sri Azizah dan Syazwani pulang dari Bali lewat petang esok.

Suasana sunyi di dalam Nissan Murano itu seakan menyesakkan dadanya. Sesekali, Nia mengerling ke arah Haqiem yang hanya memandang jalan. Riak wajahnya masih tidak berubah dari tadi. Sepatutnya, aku yang marah. Sebab dia yang salah faham dan naikkan suara dengan aku. Bertambah sakit kepala aku dengar dia mengamuk tadi, getus hati Nia. Tetapi, dia sedar satu perkara yang pasti. Jika dia ikut sama berkeras hati, keadaan mungkin akan bertambah buruk. Ditarik nafas sedalamnya, sebelum memulakan kata.

“Sebenarnya, tadi tu...”

“Sebenarnya apa? You tak sengaja? You unknowingly ikut perasaan you, macam tu? Patutlah bersemangat bila Hadi ajak pagi tadi.” Senafas sahaja kata-kata Haqiem. Langsung tidak memberi peluang Nia menyambung semula ayatnya. Suasana di dalam kereta kembali sunyi. 

“Encik dah salah faham ni. Saya tak ada niat macam tu. Tadi tu, saya...” Nia cuba mengawal nada suaranya dari meninggi. Api tidak boleh dipadam dengan api. Mata Haqiem telah dibutakan dengan salah sangka.

“Salah faham macam mana lagi? I nampak dengan mata sendiri. You cuba nak kata tadi tu bukan cubaan nak rampas Hadi daripada Wanie? Macam mana kalau tadi bukan I yang datang, tapi pegawai Majlis Agama Islam?” Nia hanya diam.

Dia akui, bukan sekadar Haqiem, malah orang lain pun mungkin akan tersalah anggap dengan apa yang telah terjadi. Tetapi, semua itu bukannya disengajakan. Dia sendiri pun tidak pernah menyangka yang keadaan akan menjadi seperti itu. Ini bukanlah kali pertama dia tidak cukup tidur. Malah, tenaganya masih ada sehingga kemalangan itu berlaku.

Nia menarik nafas panjang. Angin Haqiem tidak boleh dibawa berbincang. Selepas ini, dia perlu menerangkan semuanya kepada Hadi pula. Jika masalah ini tidak selesai sehingga esok, tempatnya di rumah itu sudah tiada. Nafasnya ditarik panjang sekali lagi saat rumah agam milik keluarga Puan Sri Azizah mengisi ruang mata.

“You nak pergi mana? Kita tak habis bincang lagi.” Nada suara Haqiem masih tinggi. Nia berpura-pura tidak dengar lalu melangkah laju mahu meninggalkan garaj. Melihat Nia yang buat tidak endah, Haqiem memanggil gadis itu sekali lagi dengan suara yang agak keras. Lengan Nia ditariknya kuat. Hampir sahaja Nia tergelincir di anak tangga. Riak wajah keduanya jelas tidak puas hati. Lengan yang masih dipegang Haqiem, direntap kuat.

“Enough is enough, Encik Haqiem. Saya cuba nak jelaskan semuanya dari dalam kereta tadi. Tapi, ada encik cuba dengar? All that matter, apa yang encik nak cakap dan apa yang encik nak dengar saja. Jadi, apa lagi yang kita nak bincang?”

Nia terus masuk ke dalam rumah tanpa berpaling. Sakit kepalanya sudah hilang, sakit hati pula menyusul. Geram sungguh bila memikirkan Haqiem yang langsung tidak beri ruang kepadanya untuk menjelaskan kejadian sebenar. Sekarang, apa nak jadi, jadilah.

No comments:

Post a Comment