Search This Blog

Friday, March 10, 2017

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 9

HAQIEM MELIHAT beg-beg kertas dan plastik yang berada di tangannya. Entah bagaimana dia boleh terjebak berada di kompleks membeli-belah itu bersama Kyra. Semuanya gara-gara gadis itu yang tiba-tiba muncul di rumahnya saat dia mahu bersiap-siap untuk keluar. Belum sempat dia mahu melarikan diri, lengannya ditarik memasuki kereta milik Kyra yang sedia menunggu untuk bergerak.

“Kan best kalau kita boleh keluar macam ni selalu. You asyik busy dengan kerja sampai tak ada masa untuk I.” Kyra yang asyik memaut lengannya dibiarkan tanpa jawapan. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menjawab. Dia sengaja berpura-pura sibuk untuk larikan diri. Tetapi, terasa kejamnya andai ayat itu terzahir.

“You tak lapar? I laparlah.” Sengaja dimaniskan wajah. Sudahlah beg-beg yang terpaksa dibawanya itu berat. Ditambah dengan perangai Kyra yang suka memaut lengannya. Terasa habis seluruh tenaganya. Risau benar Haqiem lari meninggalkan dia sendirian agaknya. Namun, rancangan yang satu itu memang ada di dalam fikirannya sejak awal tadi.

Sudahnya, ditarik juga Kyra masuk ke dalam Kenny’s Rogers yang kebetulan sudah berada berhampiran. Kalau tak dipaksa, sampai esoklah aku kena ikut dia pusing bangunan ni. Bukannya boleh nak melepak tunggu di mana-mana, jumpa semula selepas dua jam seperti Nia yang jelas tidak mahu diekori. 

“You nak makan apa?” Kyra bertanya dengan suara manja. Dia mahu mengikat Haqiem menjadi miliknya selamanya. Kacak, bergaya dan kaya. Apa lagi ciri lelaki idaman yang diperlukan? Dia tidak akan mengalah. Tengok sajalah hari ini. Usahanya menunggu di hadapan rumah lelaki itu menjadi dan kini lelaki itu bersamanya.

“You order dulu. I balik dari toilet nanti, I order sendiri di kaunter.” Haqiem memegang perutnya kejap. Duduknya juga seperti tidak menentu. Ke kiri salah. Ke kanan juga salah. Wajah yang berkerut menampakkan kegelisahannya. Beg-beg yang tadinya dipegang, dibiarkan di atas kerusi di sebelah kiri dan kanan meja makan. Kyra yang memerhati hanya mengangguk.

Laju sahaja dia mengatur langkah menuju ke tandas. Tetapi, destinasi terakhirnya bukan di situ. Yakin Kyra tidak sedar dengan tindakannya, langkahnya dibelok ke arah kanan. Mencari pintu utama dengan mata yang meliar tidak menentu. Risau juga andai gadis itu tiba-tiba bingkas mencarinya di tandas apabila sedar yang Haqiem sudah pergi lebih dari masa sepatutnya.

Diintai jam tangan dalam kekalutan langkahnya. Lebih kurang 45 minit lagi sebelum kompleks itu berhenti beroperasi. Rasanya, tidaklah terlalu kejam tindakannya meninggalkan Kyra sebegitu. Takdir juga seperti menyebelahinya. Elok sahaja teksi yang diharapkan berhenti di hadapannya saat dia melangkah keluar dari pintu utama kompleks membeli-belah itu.

Rumah mama! Dia yakin andai dia kembali ke rumah bujangnya malam ini, pasti Kyra akan mencarinya di sana. Perlakuan gadis itu boleh dijangka. Cuma, anginnya sahaja yang tidak menentu. Tidak terduga sejauh mana tekad gadis itu memahukan dirinya. 

Haqiem mengukir senyum dalam diam di kerusi penumpang belakang teksi yang masih bergerak di atas jalan raya dalam pekat malam itu. Empat tahun lalu, sebelah mata pun Kyra tidak ambil peduli kepadanya. Ringan tangannya membantu Kyra pulang ke rumah saban malam dalam keadaan mabuk kembali melintasi ingatannya. Bukanlah dia menyimpan perasaan kepada gadis itu. Sekadar rasa prihatin kepada rakan senegara yang juga jirannya. Namun, setiap kali itu juga dia diherdik Kyra kerana pemakaiannya yang selekeh. Saat sedarnya pula, Kyra menganggap dia sekadar batu di tepian jalan.

Pulang ke Malaysia, dia masih Azri Haqiem yang sama sebelum Puan Sri Azizah menyerahkan AH Holding sepenuhnya kepadanya. Pangkatnya sebagai CEO membuatkan dia tekad mengubah penampilan. Tubuh yang sebelum ini hanya menyarung t-shirt­ polos dan kemeja bercorak kotak yang dibelinya di jualan lelong, mula dibiasakan dengan kemeja kemas yang dihadiahkan mama.

Haqiem menggeleng kecil tanpa sedar. Cuba memadamkan memori yang sudah berlalu lebih dua tahun. Dia masih Azri Haqiem yang sama. Persekitarannya sahaja yang berubah. Dia bukan lagi pekerja sambilan sebuah kedai kecil di pinggir bandar London yang banyak mengajar dia ilmu perniagaan yang dimiliknya kini.

“Terima kasih, bang.” Si pemandu teksi berwarna merah itu hanya mengangguk saat Haqiem menghulurkan wang tambang kepadanya sebelum laju meninggalkan kawasan hadapan rumah agam di penghujung jalan itu.

Bunyi televisyen yang masih terpasang jelas menyapa gegendang telinganya walaupun hanya samar-samar kedengaran. Jam tangannya diperhati lama. Hampir jam sebelas malam. Mungkin juga mamanya masih belum masuk tidur. Apa alasan yang perlu diberi sekiranya mama bertanya? 

“Assalamualaikum.” Salam yang diberi disambut oleh suara asing yang cukup dikenali telinganya. Jelas riak terkejut pada wajah gadis itu dengan kemunculannya yang tiba-tiba. Begitu juga dia. Namun, dia masih mempamer wajah selamba. 

“Mana yang lain?” Suara Haqiem perlahan bertanya. Tanpa jawapan dari Nia sekalipun, dia sudah dapat mengagak. Mamanya bukanlah sekuat dahulu untuk berjaga sehingga lewat malam. Hadi juga mungkin sudah masuk ke biliknya. Selalunya di waktu sebegini, adiknya sedang berbual di telefon dengan buah hati tersayang.

“Mama ada meeting persatuan pagi esok. Hadi nak kena terbang ke Singapura untuk site visit awal-awal pagi lagi. Mak Timah balik rumah Abang Lutfi. Ada hal katanya.” Nia bermurah hati menerangkan. Entah kenapa dia merasakan yang Haqiem perlu tahu semua itu.

Melihat Haqiem yang hanya berdiri di muka dapur tanpa jawapan membuatkan Nia merasa semakin serba tidak kena. Pandangan Haqiem juga masih belum berganjak daripada memandangnya. Mungkinkah kejadian semalam masih bermain di fikiran lelaki itu? Terasa nafasnya turun naik tidak menentu. Janggal.

Televisyen yang terpasang dimatikan. Pedulikan si mamat psiko yang tengah pandang kau tu, Nia. Jom masuk bilik dan cuba tidur. Nampak macam angin dia pun tidak berapa baik untuk berbincang perihal semalam. Sila cuba lagi esok. Terima kasih. Monolog dalaman Nia seakan sukar berakhir. Perlahan dipanjat tangga tanpa menoleh.

Ktanggg!

Langkah Nia mati di pertengahan tangga. Ditolak tubuhnya sedikit ke belakang, cuba mengintai punca bunyi yang jelas datang dari dapur. Kosong. Eh, tadi mamat psiko tu ada kat dapur, kan? Dia berpatah semula menuruni tangga. Dapur yang hanya diterangi sedikit cahaya dari ruang tamu dijengahnya. Mencari bayang tubuh Haqiem yang sepatutnya berada di dapur. 

“Encik. Encik kat mana?” Perlahan suara Nia memanggil Haqiem yang masih tidak kelihatan. 

“Kenapa berbisik?” Suara garau yang tiba-tiba berbicara di belakang telinganya membuat nafasnya berhenti seketika. Nyaris dia mencapai pisau yang bersusun cantik pada petak sarungnya yang berada berhampiran. Jika tidak, kemungkinan ada yang tertikam pisau tanpa sengaja.

Wajah Haqiem ditenung dengan pandangan tajam. Tidak dapat mengagak sama ada lelaki itu sengaja mahu mengenakannya atau itu sekadar anggapannya sahaja. Penumbuk yang digenggam dirungkai perlahan sebelum disedari Haqiem. Ini bukan masanya dia mahu bertelagah dengan si mamat psiko.

“Encik buat apa kat dapur ni?” Berkerut muka Nia melihat periuk yang sudah berada di atas lantai. Mungkin terjatuh saat lelaki itu melintas di tepi sinki. Tetapi, untuk apa pula lobak merah dan bawang yang kini berada di dalam tangan Haqiem? Mungkinkah...

“I lapar. Jadi, I ingat nak masak. Terlanggar pulak periuk tepi sinki tu.” Tekaan Nia mengena. Jam sudah menjengah sebelas malam pun belum makan ke? Atau sebenarnya mamat psiko ni ada bela saka yang lapar dua puluh empat jam? Never mind. Not my business.

“Encik nak masak apa?” Haqiem hanya menggeleng. Sememangnya dia tidak tahu apa yang mahu dimasaknya. Melihat lobak dan kekacang yang ada di dalam peti sejuk, terasa tekaknya seperti mahu menjamah nasi goreng. Namun, itu bukanlah pilihan pertamanya.

“Apa kata, encik pergi berehat tengok TV di depan, biar saya yang masak. Lagipun saya dah terima amanah dari Mak Timah untuk tengok-tengokkan seisi rumah ni kalau-kalau sesiapa perlu atau mahukan apa-apa.” Haqiem masih diam tidak berkata apa-apa. Lagaknya seperti kurang mempercayai kata-kata Nia yang secara sukarela mahu memasak untuknya. Namun, perutnya sudah tidak boleh dipujuk lagi. Haqiem mengangguk sebelum menunjukkan isyarat ‘OK’ dengan jari. Dapur yang masih gelap ditinggalkan.

Giliran Nia pula merenung dapur yang kosong. Nafasnya ditarik panjang. Apa yang patut dihidangkan kepada tuan rumah yang sedang kelaparan? Soalan yang sama berlegar di kotak fikirannya sambil tangannya menekan suis lampu dan menarik pintu bawah peti sejuk. Sayur-sayuran yang bersusun kemas menyapa pandangan. Dibuka pula pintu atas yang lebih kecil. Bebola udang dan sosej yang baru dibelinya waktu keluar ke pasaraya dengan Hadi dan Puan Sri Azizah petang tadi dibawa ke atas sinki. Kabinet tingkat atas pula dibukanya. Dia yakin dua bahan penting yang diperlukannya ada di situ. 

Periuk yang terbiar di atas lantai dibasuh lalu diisi dengan air. Bahan tumis, lobak dan saderi yang sudah siap dipotong diletakkan pula di satu sudut. Digenggam spageti sekadarnya. Rasanya cukup untuk dihidangkan kepada Haqiem seorang. Semuanya sudah sedia. Bolehlah dia mula memasak. Nia mengangguk sendirian.

Spageti tomyam! Akhirnya siap juga hidangan yang satu itu. Disusun cantik di atas talam bersama jus oren sejuk. Fuhh... dah macam nak menyediakan hidangan putera raja. Cantik dan kemas. Bagus anak dara ni. Dah boleh masuk level isteri orang pula selepas ini. Nia tersenyum bangga memuji dirinya sendiri.

“Jemput makan.” Nia berbisik walaupun jelas nada suaranya lebih tinggi dari kebiasaannya. Dia yakin dengan masakannya. Haqiem juga nampaknya tidak kisah dengan pilihan menunya. Dipintal spageti dengan hujung garfu. Namun, saat hampir sahaja spageti menyentuh bibirnya, Haqiem meletakkan garfunya semula. Lama diperhati Nia yang memandang pelik kepadanya. 

“You tak letak benda bukan-bukan dalam ni? Sure?” Mata Nia mengecil. Anggukannya malas-malas. Saya tak suka main dengan makananlah, Encik Psiko. Lagipun, kalau betullah saya ada letak apa-apa, encik ingat saya nak mengaku dengan jujur ke? Nia ketawa kuat dalam hati. 

“Saya tak buat benda pelik-pelik macam tu. Lagipun, saya sebenarnya nak minta maaf dengan encik mengenai semalam. Saya tak tahu pula Puan Sri ada di rumah semalam. Jika tidak, pasti tiada masalah.” Nia menunduk. Biarlah Haqiem hendak memarahinya bagaimana cara sekalipun. Asalkan rahsia itu kekal antara mereka. Dia belum bersedia mahu pulang ke rumah ayah. Bagai terasa amarah ayah andai rahsia itu terbongkar.

“Ingatkan tak sedar yang you ada buat salah dengan I.” Nia semakin menunduk. Dua beradik ni, kalau bab memerli orang lain, tajam tertusuk tepat ke hati. Pedihnya rasa. Tak apa, Nia. Memang salah kau pun. Jangan melawan. Sabar. Hari ini hari dia, getus Nia sendirian.

“Saya sedar salah saya dan saya nak minta maaf dengan encik. Kerana saya, encik dimarahi Puan Sri. Encik memang patut dan layak marahkan saya. Tapi, sekarang ni saya nak masuk bilik dulu. Jam pun sudah pukul 12.08 malam. Tak manis kita tinggal berdua macam ni. Pinggan tu encik tak perlu basuh. Tinggalkan saja di sinki. Pagi-pagi esok saya yang akan bersihkan semua.”

Haqiem hanya mengekori Nia yang meninggalkannya sendirian di dapur dengan pandangan mata. Kata-kata Nia yang laju menampar gegendang telinganya seakan gema yang mengulang semua tanpa dipinta. Dia tersenyum sendiri. Selamat malam. Esok kita akan bertemu lagi.


KYRA MENGHEMPAS TUBUHNYA dalam amarah yang tidak tertahan. Tidak sangka Haqiem akan mengenakan dirinya sebegitu rupa. Merah padam wajahnya apabila tersedar yang dia ditinggalkan sendirian. Sangkanya, dia sudah berjaya menjerat lelaki itu agar berada di bawah telunjuknya. Namun, lelaki itu lebih bijak mengatur rancangan.

Telefon bimbit yang tersimpan kemas di dalam beg tangannya dibawa keluar. Laju sahaja jarinya bermain pada skrin iPhone 6s, mencari nama Haqiem dalam log panggilannya. Ikon gagang telefon diklik sekuat hatinya. Melepaskan amarah pada objek yang tidak mengerti apa-apa.

Tidak berangkat. Ditekan ikon hijau sekali lagi. Masih tiada jawapan. Hanya suara si operator yang tidak jemu melayan panggilannya. Jelas, Haqiem cuba melarikan diri daripadanya. Rancangannya tergendala sekali lagi. 

“Awal balik malam ni?” Yana, teman serumahnya menegur dengan mug berisi Nescafe di tangannya. Sekadar bermanis mulut sementelah melihat gadis itu menggumam sendirian di ruang tamu dengan pelbagai beg kertas di atas meja.

Soalan Yana dibalas dengan jelingan tajam. Dia tahu gadis itu separa memerlinya. Memang dari awalnya lagi Yana tidak bersetujui dengan rancangannya mahu memikat Haqiem. Katanya, memalukan. Apatah lagi setelah apa yang terjadi di London. Umpama menjilat ludahnya sendiri.

“Kau tak payah nak perli aku, Yana. Aku tengah panas hati ni.” Yana terus berlalu masuk ke biliknya tanpa menjawab apa-apa. Salah engkau sendiri. Dulu kau juga yang reject mamat tu sekeras-kerasnya. Konon tak layak walaupun hanya sekadar menjadi kawan. Berapalah agaknya tebal muka kau ni sanggup terhegeh-hegeh mencari Haqiem semula hanya kerana dia sudah mengubah penampilannya dan menjadi CEO di syarikat mamanya? Aku pula yang malu.

Tetapi, hatinya kecilnya mengakui. Perubahan lelaki itu memang tidak terduga. Sewaktu terserempak di kafe selepas perjumpaan dengan klien bulan lepas, nyaris dia terpaku sendiri. Hilang sudah mamat selekeh yang tak habis-habis menyarung kemeja kotak bundle yang agaknya dibeli dari lelongan garaj yang selalu dianjurkan di kawasan-kawasan perumahan di London. Rambut panjangnya pun sudah tiada. 

Yang tinggal cuma si CEO AH Holding yang bisa menggetarkan jiwa para gadis yang memandang. Dari tepi, lagaknya seperti Izzue Islam, pelakon drama adaptasi novel Suami Sebelah Rumah dan Sebenarnya Saya Isteri Dia. Dari pandangan hadapan, masih Azri Haqiem. Namun, dalam versi yang berbeza.

Yana menggeleng sendiri. Memadam bayangan Haqiem yang tiba-tiba menjengah. Komputer riba yang menjadi sumber rezekinya dipandang. Fokus Yana, fokus. Buat masa ini, Haqiem bos dan kau pekerja. Senyuman sinisnya terukir tiba-tiba. Seandainya Kyra tahu mengenai ini, pasti saat ini juga dia mahu memohon kerja di syarikat aku, gurau Yana dalam hati sendirian.



DARI DUDUK, Nia meniarap pula. Dari meniarap, dia duduk semula. Tangannya masih tidak lepas dari melakar dengan pensil di atas helaian kertas yang sudah masuk entah keberapa. Majalah-majalah yang kian memenuhi katilnya langsung tidak diendahkan. Sekejap dia berguling ke kanan. Sekejap ke kiri pula.

“Kalau sini letak mint, sini letak grey, okey ke tak?” Nia bertanya kepada dirinya sendiri. Ditambah pula beberapa corak pada lakarannya. Sesekali terawang-awang tangannya di udara dengan mata yang terpejam. Cuba membayang sesuatu hanya dengan khayalan. 

Lakaran demi lakaran yang siap dilukis diperhati semula. Yang mana dirasakan tidak sesuai direnyukkan sekuat hati. Memang etika kerjanya begitu. Dia pelakar, dia jugalah penilai. Dia tidak suka kerja yang dibuat secara sambil lewa. Walaupun dirinya sendiri. Kerana itu dia sangat disenangi Mr. Yoon, pemilik syarikat fesyen yang menggajikannya semasa di Korea. Hasil kerja bertaraf professional sejak mula bekerja lagi.

Perlahan dia mengatur jadual. Majlis tinggal lebih kurang sebulan setengah sahaja lagi. Tetapi, masih banyak yang belum disediakan. Nia menarik nafas panjang. Keluh yang dilepaskan juga begitu. Tugasnya masih terlalu banyak. Terbit bimbang dihati seandainya dia tidak berjaya melaksanakan semuanya.

Mug putih yang diletakkan di atas meja sisi katil dicapai. Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan membuatkan tekaknya meminta untuk dibasahi dengan air. Namun, hasratnya mati. Baru dia teringat, airnya sudah hampir sejam habis diminum. Itupun selepas bibirnya menyentuh muncung mug yang kering.

Pandangannya dialih ke arah jam dinding yang tergantung tepat dihadapannya. 5.22 pagi. Tinggal lebih kurang 30 minit sahaja lagi sebelum menjengah subuh. Nampak benar dia terlalu khusyuk dengan kerja melakar pelaminan indah buat hari bahagia Hadi dan Wanie hingga tidak sedar sudah lima jam waktu berlalu. Nafasnya dilepaskan pendek.

Nia menolak tubuh turun dari katil. Tudung sarung yang sedia tersangkut di belakang pintu bilik dicapai. Rasa mengantuk yang tiba-tiba menguasai mata perlu dijauhi. Dia masih ada beberapa tugas lain dek menggantikan Mak Timah yang perlu ke hospital untuk rutin pemeriksaan kesihatannya. 

Langkahnya diatur malas menuruni tangga. Sesekali bayangan pelamin berwarna hijau mint dan kelabu melintasi mata. Dia mengeluh perlahan. Siapa kata tugas wedding planner ini mudah? Yang merasa sahaja tahu sukarnya. Jadualnya lebih padat berbanding si pengantin sendiri yang sempat ke Singapura untuk melawat tapak bisnes. 

Televisyen yang terpasang di tengah ruang tamu mematikan khayalannya. Rasanya dia sudah menutup televisyen sebelum naik ke biliknya malam tadi. Mungkin Haqiem yang memasangnya semula dan terlupa untuk menutupnya kembali. Nia hanya berteka-teki di dalam hati. Tiada kepastian.

Namun, melihat susuk tubuh yang terbaring keletihan di atas sofa, Nia mengukir senyum tanpa sedar. Siapa pula kata kerja menjadi CEO tidak memenatkan? Melihat pada raut wajah Haqiem tika ini, pasti ramai akan tertanya-tanya pekerjaan sebenar lelaki itu. Buruhkah? Pelari marathon professionalkah? Oh, ya. Haqiem memang pelari professional. Almaklumlah, buronan cinta para gadis yang meminatinya.

Tubuh yang menggigil terkena angin sejuk dari penghawa dingin menimbulkan rasa kasihan dalam hati kecil Nia. Pasti lenanya terasa terganggu. Dengan kemeja dan seluar jeans yang masih bersarung pada tubuh pula. Jelas terpamer tidak selesa pada wajah. Hendak dikejut, terasa tidak sampai hati.

Nia kembali memanjat tangga. Pintu bilik tetamu kedua yang terletak bersebelahan biliknya dibuka. Mencari sesuatu di dalam almari besar di hujung penjuru bilik. Tanpa menutup semula lampu yang dipasang, Nia melangkah turun, terus menuju ke arah Haqiem yang masih lena. Comforter bersaiz sederhana besar itu ditebar menutupi seluruh tubuh si mamat psiko. Tanpa menoleh, Nia terus menuju ke dapur. Bimbang pula andai Haqiem tiba-tiba terjaga. Malu besar jadinya.

Tanpa disedari, ada sepasang mata yang khusyuk memerhati segala gerak-gerinya.


No comments:

Post a Comment