Search This Blog

Thursday, March 2, 2017

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 8

KOMPLEKS MEMBELI-BELAH yang agak sunyi dilewati Nia dan Haqiem dalam perasaan yang bercampur-baur. Nia dengan perasaan tidak selesanya hanya mahu segera melakukan pekerjaannya dan pulang. Tidak sanggup rasanya mahu berlamaan dengan Haqiem, si mamat psiko yang entah kenapa tiba-tiba baik hati melantik dirinya sendiri untuk menemani Nia membeli-belah.

Entah kenapa juga, pandangan orang-orang di kedai kain tadi juga dirasakan seperti menyembunyikan seribu makna seperti kelakuan Haqiem yang berada di sebelahnya kini. Maka, bertambahlah lagi rasa tidak selesa dalam hatinya.

“So, what should we get next?” Haqiem merapatkan sedikit dirinya, mendekati Nia yang memegang kemas senarai barang keperluan yang sudah disediakannya.

“Hei, apa ni? Encik jangan nak buat hal kat sini. Saya boleh jerit tau.” Nia meninggikan suaranya tanpa sedar. Kaget dengan perbuatan Haqiem, sebenarnya.

Beberapa pasang mata yang berada berhampiran mula menoleh ke arah mereka. Terkejut dengan suara Nia yang tiba-tiba meninggi. Haqiem menarik wajah selamba, seolah kata-kata Nia bukan tertuju kepadanya. Seketika suasana sunyi sebelum semuanya kembali normal.

“You’ve already done that. Abang cuma nak tengok senarai barang je.” Suara Haqiem separa berbisik, cuba memperbaik keadaan yang nampaknya tidak berpihak kepadanya.

“Encik tak perlu nak susahkan diri. Saya boleh buat semua.” Pandangan Nia tajam dan teguh. Seteguh perasaannya kini yang benar-benar mengharap Haqiem menjauhkan diri daripadanya. Mungkin sebaiknya Haqiem meninggalkan dia sendirian sahaja di situ.

“Habis tu, apa fungsi abang kat sini?” Soalan Haqiem kedengaran tulus. Namun dibalas dengan jelingan Nia yang jelas menyatakan isi hatinya.

“Saya tak pernah suruh pun encik ikut saya. Tadi pun saya dah beritahu encik dengan jelas. Encik boleh pergi mana saja. Saya tak akan beritahu Puan Sri yang encik tak ada dengan saya. Dahlah berabang-abang. Geli tahu tak?” Laju sahaja bibirnya menuturkan isi hati. Wajah Haqiem yang mula berubah riak langsung tidak dipedulikan. Apa yang penting, dia sudah tidak tahan! Tidak cukup lagikah dia dibuli di rumah sampaikan mahu membulinya di hadapan khalayak ramai secara terang-terangan begini? Rimas betullah dengan mamat psiko ni.

She doesn’t need you here, bro. Tapi, lagi dia tak suka, lagi aku nak buat. Balasan sebab cuba nak rosakkan hubungan adik-adik aku. Hati Haqiem ketawa kecil. Tanpa sedar, membuahkan senyuman sinis yang jelas terukir pada bibirnya.

“Satu, Nia yang cakap abang boleh pergi mana saja. Jadi, untuk mengelakkan masalah dengan mama, lebih baik abang ikut Nia. Kedua, abang cuma praktis untuk sebarang kemungkinan. Kalau kantoilah dengan mama yang Nia tak panggil abang dengan gelaran abang, kita berdua sama-sama akan merasa.”

Nada suara Haqiem serius dalam senyum sinis yang masih berbisa. Tetapi, senyum yang ini ditujukan kepada dirinya sendiri. Entah apalah alasan yang tidak munasabah keluar dari bibirnya tadi, dia tidak tahu. Yang penting, wajah Nia yang semakin berkerut dan mencuka di hadapannya kini menambah riang dalam hati. Si gadis sudah terkena!

“Encik tak perlu risau pasal saya. Saya kan pelakon terbaik. Encik pun tahu, kan? Now, please excuse me.”

Lagi lama aku dengan mamat psiko ni, boleh jadi gila aku dibuatnya. Nasib ayah tak pernah ajar aku memaki orang. Kalau tidak, segala perkataan yang wujud dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka boleh aku sebut. Itu belum masuk kamus Oxford English yang aku beli masa zaman belajar Diploma dulu. Kalau itu masih belum cukup, bahasa Korea yang digunakan selama empat tahun ini masih ada dalam kepala.

Nia terus melangkah lebih laju. Mulutnya terkumat-kamit menyatakan perasaan sakit hati dalam suara yang tidak jelas. Sesekali, dia menoleh ke arah Haqiem yang masih setia mengekori. Dia ni pakai hoverboard ke? Aku dah separa semput berjalan macam lipas kudung nak lari dari dia, dia boleh buat muka toya?

“Aduh!”

“Cik okey tak ni? Kalau tak okey, saya boleh tolong bawakan ke klinik.” Buku nota kecil yang dipegang Nia sejak dari dalam kereta tadi, tercampak betul-betul berhampiran lelaki yang melanggarnya. Atau, mungkin dia yang melanggar, dia tidak tahu. Sedar-sedar sahaja, dia sudah jatuh terduduk dan suara insan yang memohon maaf milik seorang lelaki.

“Saya okey. Tak apa. Tak perlu susah-susah.” Nia terus memaksa tubuhnya berdiri. Malas mahu menerima bantuan dari si jejaka yang bermurah hati menghulurkan tangan. Memang hari ini, hari malang aku agaknya. Terpaksa keluar dengan si mamat psiko dah satu hal. Terlanggar orang pula.

“Kalau untuk gadis secomel cik, saya tak kisah. By the way, I’m Rafiq. You?” Nia memandang sepi huluran perkenalan yang disuakan Rafiq. Ini kes apa pula? Lari dari mamat psiko, jumpa mamat playboy ke? Ah, sudah! Mana kau kutip pepatah melayu mengarut macam tu, Nia oi?

“Haqiem.” Tangan yang dibiar tanpa balasan disambut Haqiem dengan wajah yang menggambarkan seribu makna. Rafiq yang tadinya tersenyum, jelas menunjukkan riak terkejut yang tidak bertapis. Ini betul-betul tidak pernah dijangka!

“Eh, bro. Apa kau buat kat sini?”

Soalan Rafiq tergantung tanpa jawapan. “Nia pergilah tengok barang. Abang tunggu kat kafe hujung tu.”

Pandangan dan senyuman Haqiem yang nyata penuh makna tidak bernoktah itu dipandang Nia dengan perasaan curiga penuh di dada. Ini bukan baik sebarangan. Melihat Haqiem yang tiba-tiba merapatkan diri dengannya, Nia tahu tekaannya mengena.

“Leave nicely as if we are in good terms with each other. You told me, you are a good actress. Prove it to me. Dan, jangan nak lari balik seorang diri. Or else...”

Senyuman manis diukir seikhlas mungkin. Tak habis-habis mencabar kesabaran aku dengan bahasa Inggeris slang London dia tu. Jangan sampai aku cakap bahasa Korea pulak! Nia sekadar melepaskan amuk dalam hati sebelum melangkah meninggalkan duo psiko dan playboy yang nampaknya saling mengenali.

“Last time I check, perempuan bertudung masih belum masuk senarai gadis idaman kau. Apa buat kau ubah fikiran?” Haqiem mengangkat kening kanannya double jerk. Dipandang Haqiem tepat.

“Kalau secomel itu, aku boleh buat pengecualian. Yang kau pulak, bila kahwin? Pagi tadi sebelum keluar rumah, rasanya kau masih single. Dan, rasanya itu bukan bakal adik ipar kau.”

“Still am and yes, she’s not.” Mocha berais yang baru tiba dihirup dalam. Lega tekaknya yang sudah kekeringan akibat berlawan kata dengan Nia sejak dari dalam kereta lagi. Tidak perlu dia menghidupkan radio, keretanya sudah riuh umpama ada lima orang di dalamnya.

Giliran Rafiq pula mengangkat kening double jerk. Ini bukan rancangan teka-teki teka-tekuk. Beritahu sajalah berterus-terang. Main ayat tergantung pula. Eh, tiba-tiba pula perasaan ingin tahunya membuak-buak!

“Itu anak angkat kesayangan mama aku. Kalau kau rasa kau belum cukup kena tarbiah, silakanlah.” Nyaris tersembur iced Americano di dalam mulut Rafiq mendengarnya. Memang padanlah aku tak kenal. Sebab aku dah pernah jumpa semuanya.

“Kau tak pernah cakap dengan aku pun mama kau ada anak angkat secomel tu.”

Haqiem sekadar mengukir senyum sinis. Aku sendiri pun baru tahu. Lagipun buat apa nak beritahu? Nak jadikan mainan kau? Tak sedar diri yang dia tu dah bertunang. Nasib baiklah tunang kau jenis penyabar. Tak pernah minta putus. Tapi, aku pula yang kena tahan telinga dengar keluhan masalah kau berdua.

“Ellyna?”

Riak wajah Rafiq berubah mendengar nama itu. Sebab itulah juga, mengapa dia bersendirian di kompleks itu hari ini. Temu janjinya dengan gadis itu dibatalkan dengan tiba-tiba. Namun, ianya sudah dijangka. Bukan dia tidak tahu puncanya. Sengaja buat tidak ambil peduli.

“Siapa yang cancel date kali ni?” Melihat Rafiq yang hanya diam mendengar soalannya, Haqiem menyoal lagi.

“Kantoi dengan siapa pulak kali ni?” Haqiem cuba menahan ketawa. Terasa bersalah pula jika mahu ketawa di hadapan Rafiq. Namun, hubungan dua insan yang paling rapat dengannya ini sememangnya terlalu mudah untuk dibaca.

“Meela.” Suara Rafiq mendatar.

Bayangan wajah marah Ellyna kembali menyapa fikiran. Dia mungkin liar. Selalu keluar dengan ramai gadis. Itu sikapnya yang sukar dicegah. Tetapi, hatinya ikhlas untuk Ellyna. Bukannya mudah dia mahu merebut hati Ellyna sehingga memegang status tunangan seperti yang dimiliknya hari ini. Itu pun atas bantuan si sahabat baik yang sedang duduk di hadapannya tika ini.

“Tapi, kau pun tahu, kan? Meela tu cuma kawan sepejabat aku je. Kebetulan masa nak keluar lunch, Meela minta tolong aku temankan dia cari hadiah untuk tunang dia. Dia tu lagilah. Lagi dua minggu nak nikah tu. Mana nak sangka lepas shopping boleh terserempak dengan El pulak.”

Haqiem mengangguk tanda memahami apa yang cuba diterangkan Rafiq kepadanya. Tunangan Rafiq bukan orang asing baginya. Malahan, lebih dari sekadar mengenali. Tetapi, jika ingin mengambil kira masalah hati dan perasaan seperti ini, bukan kepakarannya. Lebih baik kiranya dia berdiam diri dan sekadar mendengar.

Sesekali dia mengintai jam tangan. Sedar tidak sedar, hampir dua jam dia berada di situ. Mendengar kisah dan cerita Rafiq satu persatu. Bayang gadis yang sepatutnya menjadi temannya hari ini masih belum kelihatan. Hendak dihubungi, nombor telefon gadis itu masih belum dimilikinya.

Telefon bimbit yang bergetar di dalam poket mematikan lamunannya. Tidak mungkin Nia. Dia pasti, gadis itu tidak menyimpan nombor telefonnya. Siapa sahajalah yang mahu menyimpan nombor musuh utama dalam telefon peribadi, bukan? Melihat nama yang tertera pada skrin, Haqiem menarik nafas panjang.

“Kenapa, Mak Timah?” Lafaz salam dibuang entah ke mana. Pasti ada kecemasan yang berlaku, membuatkan Mak Timah tiba-tiba menghubunginya.

“Mak Timah cuma nak bagitahu yang Nia dah sampai rumah.” Dipandang Rafiq yang memandang tepat ke arahnya. Tindakan gadis ini memang tidak boleh diduga. Sampai begitu sekali dia mahu melarikan diri daripada aku?

“Tapi, mama dah tahu yang dia balik sendiri sebab tadi mama singgah kat rumah ambil dokumen yang tertinggal. Elok mama nak keluar, Nia baru turun dari teksi. Mak Timah takut yang mama mungkin cari abang. Abang bersedia sahajalah.” Mak Timah berterus-terang menceritakan apa yang baru sahaja terjadi. Dari agakannya, pasti Puan Sri Azizah akan mencari anak sulungnya itu, meminta penjelasan yang sebenar.

Baru sahaja panggilan telefon dari Mak Timah dimatikan, telefonnya berdering sekali lagi. Fidzreen, setiausahanya, bersuara cemas dihujung talian. Apa yang cuba disampaikan gadis itu bagai boleh diduga.

“Boss, ladyboss cari. Adreena baru call saya. Puan Sri beri masa sepuluh minit sahaja.” Haqiem mengangguk faham. Seolah-olah tingkahnya boleh dilihat dari hujung talian sana. Cemas gadis itu bisa difahami. Jika dia ingkar, yang menanggung melibatkan semua warga bahagian pentadbiran di bawahnya.

Semuanya kerana seorang gadis asing yang tidak pernah dikenalinya langsung sebelum ini. Nafasnya ditarik sedalam mungkin sebelum dilepaskan dengan keluhan yang berat. Kunci kereta yang dibiarkan di atas meja dicapai laju. Rafiq yang masih dengan iced Americanonya ditinggalkan tanpa penerangan yang panjang lebar.


NIA MENGGARU kepalanya yang tidak gatal. Macam mana boleh terkantoi dengan Puan Sri pula ni? Matilah aku nampak gayanya. Haqiem mesti tak akan lepaskan aku lain kali. Si psiko tu pasti akan balas dendam dengan lebih dahsyat lagi. Wajah yang memucat diraup kasar.

“Eh, Nia. Kenapa balik dengan teksi pula ni?” Tanpa menoleh pun Nia sudah cukup mengenali suara yang menegurnya sebaik turun dari perut teksi itu. Tekaknya jadi mati dari mengeluarkan kata-kata. Tidak seperti semasa dia bersama Haqiem pagi tadi. Ada sahaja perkara yang mahu dibahaskan.

“Mama ada kat rumah? Bukankah supposedly ada meeting dengan board sekarang?” Akalnya langsung tidak mampu membentuk jawapan yang sesuai. Sudahnya, soalan Puan Sri Azizah dibalas dengan soalan.

“Mama tertinggal dokumen penting. Alang-alang meeting delay 30 minit dan mama baru balik meeting luar, mama singgah rumah ambil sendiri. Tak payah suruh Fi hantar. Nia pulak? Mana abang?” Soalan Puan Sri Azizah kembali kepada anak sulungnya yang langsung tidak kelihatan. Dia pasti arahannya jelas. Menemani Nia dari pergi sehingga balik ke rumah.

“Abang ada. Tapi, tadi dia kata ada hal sikit. Dia nak hantar. Tapi, Nia yang insist nak naik teksi. Tak mahu susahkan abang.” Riak wajah Puan Sri Azizah langsung tidak berubah. Jelas jawapan yang diberikan Nia tidak memuaskan hatinya.

Wajahnya yang terbias di dalam cermin dipandang lama. Pasti Haqiem menyangka dia sengaja berbuat begini untuk mengenakan lelaki itu. Keluhan yang dilepaskan berat. Mungkin lelaki itu akan memberitahu segala rahsianya kepada Puan Sri Azizah. Mungkin Puan Sri Azizah akan menghalaunya keluar. Mungkin...

Tok! Tok!

Ketukan di pintu mematikan monolog dalaman Nia. Suara Mak Timah yang memanggilnya dari luar membuatkan perasaan hatinya bercampur-baur. Apa sahajalah khabaran yang dibawakan Mak Timah di saat dia kebuntuan sebegini?

“Temankan Mak Timah di dapur. Sunyi pula rasanya hari ni bila semua orang tiada di rumah.” Suara Mak Timah mula menjauh, mengekori tuan tubuh yang sudah bergerak menuruni tangga tanpa menunggu Nia yang masih termangu di muka pintu.

Wajah Nia yang tidak beriak diintai dengan hujung mata. Mak Timah mula berkira-kira sendiri. Pasti ada sesuatu yang terjadi antara Haqiem dan Nia yang dirahsiakan dari pengetahuan seisi rumah itu. Dari gaya Nia yang cuba melarikan diri awal pagi tadi dan Haqiem yang cuba menghalang, jelas hubungan antara mereka lebih dari yang disangka.

Hendak bertanya, mungkin akan menyentuh soal peribadi. Namun, melihat wajah Nia yang makin mencuka, terasa gatal mulut tuanyatidak dapat ditahan. Belumpun sempat Mak Timah membuka mulut, Nia terlebih dahulu bertanya. “Enc...er... abang Haqiem tu macam mana orangnya ya, Mak Timah?”

“Abang tu nakal orangnya. Nampak serius, tapi nakal. Kuat mengusik.” Cerita Mak Timah bermula dengan senyuman. Langsung tidak lekang walau sesaat. Umpama bercerita tentang anaknya sendiri. Macam lain sangat cerita Mak Timah dengan orang yang aku jumpa malam tu dan pagi tadi, gumam Nia dalam hati. Tetapi, kepastiannya jelas dan dia yakin kini.


No comments:

Post a Comment