Search This Blog


[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 11

RIUH RENDAH rumah Puan Sri Azizah apabila tujuh insan itu berkongsi ruang makan. Anak-anak asyik bertelagah tentang siapa yang telah membuat keputusan lebih baik. Para ibu pula dengan pendapat mereka sendiri. Si bapa mengambil keputusan untuk hanya memerhati dan tidak melibatkan diri.

“Buat apa nak gaduh? Kita buat setakat terdaya saja. Majlis kamu berdua tinggal beberapa minggu saja lagi. Bukan senang nak dapatkan apa yang kamu semua nak dalam masa singkat ni.” Dato’ Wira yang dari tadi hanya diam akhirnya bersuara. 

Nia dan Syazwani berpandangan. Begitu juga Haqiem dan Hadi. Geng anak dara menentang geng anak teruna dikalahkan oleh keputusan juri yang tidak berpihak kepada sesiapa. Memang ada betulnya kata babah Syazwani itu. Nia akhirnya mengangguk bersetuju. Haqiem yang duduk di hadapannya mula khusyuk dengan hidangan makan malam yang terhidang.

“Ummi dengan mama berkenan betul tema warna yang Nia pilih. Sesuai dengan semua orang. Tak sabar pulak Ummi nak tengok kita semua pakai baju rekaan Nia.”

“Nasib baik senior Nia tu boleh tolong. Kalau tidak, pengantin pakai kain sarung je nanti.” Puan Sri Azizah menambah. Itulah yang mungkin terjadi jikalau Nia tidak muncul dan membantu mereka dua keluarga membuat persiapan.

Nia hanya diam. Pujian yang diberikan Datin Marlia dibalas dengan senyuman yang bersahaja. Segalanya hanya kebetulan. Kebetulan dia ada melukis beberapa rekaan baju semasa di Korea. Kebetulan ideanya untuk ahli keluarga kedua-dua pihak berpakaian sedondon diterima. Dan kebetulan juga, Kak Hidayah masih punya kekosongan untuk menerima tempahan keluarga itu.

Haqiem mencuri pandang ke arah Nia yang asyik berbual dengan Syazwani di sebelahnya. Terbit rasa kagum dalam hatinya. Mana tidaknya. Rehatnya singkat. Namun, sejak dari petang Jumaat sehinggalah ke petang ini, tiga hari berturut-turut gadis itu masih gagah menguruskan majlis adiknya. Di wajahnya, tidak pernah sekali dipamer riak penat atau mengalah, walaupun perlu menghadap setiap seorang dari mereka yang pelbagai ragam. Memang ada ciri-ciri seorang perancang perkahwinan yang berjaya. 

“Berapa kali Nia pesan? Mak Timah jangan buat kerja seorang. Panggil Nia.”

Mak Timah hanya tersenyum mendengar ‘bebelan’ Nia yang tiba-tiba muncul di ruang dapur. Disuruh duduk di ruang tamu bersama tetamu lain, gadis itu laju menolak. Katanya, dia tidak selesa. Banyak isi perbualan yang terasa asing. Malah, dia terasa seperti tunggul pula berada di antara mereka.

Begitulah kebiasaannya. Baik di rumah, baik di pejabat. Sejak Hadi memperkenalkan Syazwani di rumah ini, dua keluarga itu bagaikan sudah menjadi satu keluarga besar. Dato’ Wira dan Datin Marlia pun sudah menganggap Puan Sri Azizah seperti kakak mereka sendiri. Akrabnya mereka lebih dari berbesan.

“Nia, mari ke sini kejap.”

Nia yang sedang berbual dengan Mak Timah laju memalingkan wajah. Puan Sri Azizah dan Syazwani yang asyik melambaikan tangan kepadanya dipandang lama. Entah apalah yang dimahukan mereka. Dia yang bukan sebahagian dari dua keluarga itu juga diajak turut serta. Mak Timah sekadar mengisyaratkan dengan gerakan kepala, menyatakan perkara yang sama. Mahu tidak mahu, dia bingkas akhirnya.

“Kenapa ma?” Lembut suara Nia bertanya. 

Duduknya dilabuhkan di sebelah Syazwani yang masih kosong. Serentak enam pasang mata di ruang tamu itu memandangnya. Membuatkan dia mula berasa tidak betah. I can sense an unidentified aura in here right now, hati kecil Nia berbisik. Dia pasti tiada salah pada wajah dan pakaiannya. Tetapi, pasti ada sesuatu yang tidak kena yang membuatkan mereka masih lagi memandangnya.

“Jadi, apa kata semua?” Haqiem mengetuai perbincangan.

Hadi dan Syazwani bertukar pandangan sebelum sama-sama menunjukkan isyarat bagus serentak. Puan Sri Azizah masih lagi tersenyum. Dato’ Wira dan isterinya juga begitu. Haqiem mengangguk kecil sebelum berdiri dan memandang wajah-wajah di hadapannya. Pandangannya terhenti pada Nia yang tampak kebingungan.

“Dengan kuasa yang telah diberi kepada saya, saya melantik cik Nia sebagai Pengarah Projek Majlis Amal bersama Anak-Anak Yatim, usahasama AH Holdings dan Wira Corporation. Sekian.” Serentak dengan itu, semuanya bertepuk tangan tanda keputusan disambut baik. Nia yang masih belum dapat menangkap apa yang disampaikan Haqiem turut sama bertepuk. 

Eh?

Nia berdiri dengan mata yang sedikit terbeliak. Tangannya tidak henti menepuk dada sambil memandang warga mesyuarat tidak rasmi itu satu persatu. Mencari kepastian di sebalik kenyataan yang baru sempat dihadamnya. Syazwani dan Hadi mengangguk dengan senyuman tidak bersalah. Haqiem pula berpura-pura memandang ke arah lain. 

“Kenapa Nia, ma?” Pendek sahaja soalan yang terzahir dari bibir Nia. 

Mendengar sebaris nama Majlis Amal bersama Anak-Anak Yatim itu sahaja sudah mampu membuatkan dia mengangkat tangan tanda menyerah. Mana mampu dia menguruskan majlis sebesar itu. Dia kurang pengalaman dan keyakinan untuk melakukannya. Namun, senang benar enam insan di hadapannya meletakkan tanggungjawab itu di bahunya.

“Sebab kami yakin Nia boleh lakukannya.”

Tapi, Nia tak yakin! Hati kecil Nia menjerit sekuatnya. Dipandang Haqiem yang hanya diam di sisi mamanya. Cuba meminta sokongan lelaki itu. Pasti mamat psiko pun tak setuju dengan cadangan ni. Mesti dia berpura-pura setuju demi menjaga hati mamanya. Tetapi, jika ada seorang yang tidak bersetuju, pasti cadangan itu boleh dirundingkan semula.

“Nia satu-satunya orang yang kami berenam yakin boleh jalankan amanah ni dengan baik. Setidaknya, boleh tak Nia buat untuk mama, ibu dan babah?” Nia melepaskan lelahnya perlahan. Dia bukan sahaja terikat dengan keluarga ibu angkatnya, malahan keluarga bakal besan mamanya juga. Akhirnya, dia mengalah sendiri.

“Baiklah. If all of you insist.”

Senyuman kembali melebar di bibir Dato’ Wira dan Puan Sri Azizah. Perbincangan mereka kembali berkisar tentang dunia perniagaan yang agak asing buat Nia. Tanpa sebarang kata, kumpulan manusia yang masih rancak berbual itu ditinggalkan. Terasa janggal duduknya di situ. 

Dicari Mak Timah di dapur yang sudah siap dibersihkan. Pasti Mak Timah sudah kembali ke biliknya untuk beristirehat. Hendak dipanjat tangga naik ke bilik, takut dianggap tidak menghormati tetamu yang masih ada. Akhirnya dia mencuri keluar dari pintu dapur ke gazebo di halaman. Satu-satunya tempat yang dirasakan aman.

“Buat apa kat luar ni? Yang lain kan ada kat dalam?” Soalan Haqiem yang muncul tiba-tiba di gazebo dibiarkan tergantung. Perasan pula si mamat psiko ni aku ada kat luar. Betul-betul psiko ni. Mata Nia mengecil tanpa sedar.

“Kenapa buat muka macam tu? Risau? Takut abang buat apa-apa kat Nia ke?” Riak wajah Haqiem berubah. Berpura-pura tegas. Mahu mengusik Nia yang masih diam.

Nia menggeleng bersahaja. Dia yakin Haqiem bukan sebegitu. Setidaknya, itulah yang diberitahu Mak Timah. Bukan baru setahun dua Mak Timah berkhidmat untuk keluarga kecil Puan Sri Azizah. Baik buruk perangai tiga beranak itu semuanya di tangan Mak Timah. Terdetik kata di fikiran, Mak Timah sudah dapat meneka apa mahunya. Wah, berbunga-bunga bahasa aku malam ini! Nia bermonolog dalaman lagi.

“Saya macam tak percaya encik setuju dengan cadangan mereka semua tadi. Saya bukan siapa-siapa dalam dua-dua syarikat. Saya tak rasa saya mampu nak jalankan amanah tu.” Nia meluahkan kebimbangannya dengan suara perlahan. Tidak mahu perbualan mereka didengari sesiapa. Cukuplah hanya antara mereka berdua.

“I don’t think it’s a bad idea. Tak salah you tolong mama dan uncle, kan?”

“Tapi, saya tak rasa saya layak untuk jawatan Pengarah Projek tu. Saya bukannya pakar dalam hal-hal macam ni. Lagipun, boleh saja kalau saya sekadar tolong dari belakang. And, what scares me is, tinggal lebih kurang tiga minggu saja lagi. Mana sempat.” Lingkaran ubat nyamuk kecil yang dibawanya bersama dikepit dengan hujung jari. Perlahan dikibas dibawah meja dan kerusi yang didudukinya. Bunyi dengungan nyamuk kembali bermain di hujung telinga.

“You tak perlu risau. Tugas you cuma menyelia kerja orang bawahan je. I, Hadi dan Wanie akan assist you dari masa ke semasa. Segalanya dah disediakan. Cuma, kami sibuk sedikit untuk beberapa minggu ni. Sebab tu, kami perlukan bantuan daripada you.” Ayat Haqiem separa memujuk. Dia tahu Nia gementar dan takut. Tetapi, itu sahaja jalan penyelesaian yang mereka mampu fikirkan.

“Macam mana kalau majlis ni gagal disebabkan saya?” Nia kian menunduk. 

Takut pula memikirkan kemungkinan yang satu itu. Memanglah dia pernah ikut serta dalam pelbagai majlis syarikat semasa bekerja di Korea. Tetapi, keadaannya berbeza. Dia sekadar jemputan yang terlibat dengan beberapa kerja di belakang pentas. Bukanlah menguruskannya sehingga menjadi sebuah majlis seperti yang perlu dilakukannya kini.

“Tak ada apa pun. Cuma perlu bayar ganti rugi dua kali ganda je.” Riak wajah Haqiem selamba. Padahal dalam hati, sudah tak mampu menahan dekah! 

Mata Nia terbeliak tanpa kata. Gementarnya semakin tidak tertahan. Wajahnya disembam pada meja yang sejuk ditiup angin malam. Ganti rugi dua kali ganda tu, kau boleh kata ‘tak ada apa-apa’? Untunglah kaya. Nia mengeluh sendiri.

“No. I’m just kidding.”

Laju Nia mengangkat muka. Haqiem tersenyum lebar kerana usikannya menjadi. Nia menekup wajah rapat. Aku tengah serius, dia buat lawak hambar pula. Teringin merasa kena cucuh dengan ubat nyamuk gamaknya.


RAFIQ MENGGARU KEPALANYA yang tidak gatal. Dalam keadaan yang sedang genting sebegini, muncul pula bala yang lainnya. Sudahlah dia runsing memikirkan Ellyna yang masih enggan menerima panggilannya. Bukan main lama lagi merajuknya kali ini. Datang pula si Kyra yang gemar betul ‘bertenggek’ di hadapan rumahnya.

“Kan I dah cakap, Haqiem tak ada. I pun tak tahu dia pergi mana.” Rafiq sudah naik malas hendak menjawab. Apa yang penting baginya, Kyra harus segera beredar dari sini. Apa pula kata jiran-jirannya nanti?

Kyra buat muka tidak percaya. Berkali-kali dia menunjuk ke arah Nissan Murano merah milik Haqiem. Bagaimana pula tuannya boleh keluar, kalau keretanya masih ada di rumah? Nampak seperti sudah berhari tidak bergerak.

“Sepatutnya I yang tanya you Haqiem kat mana. Last time I nampak dia hari khamis. Sebelum keluar dengan you. Sampai hari ni, hari ahad, dia masih tak balik. You buat apa dengan kawan baik I? Jangan-jangan, you...” Rafiq sengaja membiarkan ayatnya tergantung.

Riak wajah Kyra berubah. Kata-kata Rafiq seakan mencabar kesabarannya. Langsung dia tidak menoleh dan terus masuk ke dalam kereta. Rafiq yang masih berdiri di sebalik pagar besi dipandang lama. Tak apa. Hari ini aku akan mengalah. Sebab aku malas nak layan mulut busuk kau tu. 

Rafiq menarik nafas lega. Sudahlah dia tinggal seorang di rumah. Bagaimana kalau Kyra tiba-tiba meluru masuk ke dalam rumah semata untuk mencari Haqiem? Lain pula jadinya nanti. Disebabkan itulah dia sengaja berdiri rapat dengan pagar besi itu. Mahu mengelakkan gadis itu dari melakukan perkara luar alam yang tidak dapat dijangka.

Telefon bimbit yang diletakkan di atas sofa dicapai. Malas-malas dia menekan ikon aplikasi Whatsapp pada telefon bimbitnya. Nama penerima yang paling atas dipilihnya. Beberapa baris ayat ditaipnya laju.

‘Kyra dah balik. Kau patut berterima kasih dengan aku sebab selalu selamatkan kau.’

Butang hantar ditekan. Pandangannya dialih ke arah televisyen yang tadinya diabaikan. Dia sudah ketinggalan lebih separuh dari filem kesukaannya itu gara-gara melayan Kyra di luar rumah.

Telefon bimbitnya berbunyi pendek, menandakan ada mesej diterima. Lambat-lambat dia membukanya. Jawapan dari Haqiem membuatkan dia tersenyum sendiri.

‘Nanti aku puji kau habis-habis depan Ellyna. Kau jangan risau.’

Entah kenapa, hatinya disapa rasa tenang, walaupun dia tahu Haqiem hanya bergurau. Idea bernasnya muncul tidak dirancang. Dia perlu berjumpa Ellyna untuk menjelaskan perkara sebenar. Dan satu-satunya orang yang boleh membantu dia tika ini hanya Haqiem.


2 comments:

  1. rajin nya Mya :)..nanti akk hadamkan semua episod ye

    ReplyDelete
  2. Kita pun suka jugak menulis. Pernah ada blog utk cerpen & novel jugak. Tapi, lama sangat dah tak update. hehe

    ReplyDelete

Copyright © 2015 Mya Farisha
| Distributed By Gooyaabi Templates