Search This Blog

Thursday, March 16, 2017

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 10

“Morning, sunshine!”

Sapaan Hadi hanya dibalas dengan senyuman pendek. Bukan malas mahu melayan. Cuma, tangannya terlalu sibuk menyediakan hidangan sarapan pagi bagi buat tiga beranak itu. Si adik yang cuma menjamah hidangan berjenis roti di waktu pagi. Mama wajib dengan nasi gorengnya. Si abang? Dia masih belum pasti selera lelaki itu.

Hadi yang pertama sekali muncul pagi itu dengan beg galas di tangannya. Itupun kerana dia perlu ke lapangan terbang seawal pagi hari sebegini. Waktu ini, pasti jalan mula dipenuhi kenderaan yang berpusu-pusu ke tempat kerja masing-masing. Ada juga ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke sekolah.

“Here’s your toast. Nak aku hantarkan ke airport ke? Aku boleh bersiap.” Hadi laju menggeleng. 

Bukan dia tidak tahu kawan baiknya itu kepenatan walaupun tidak diluah Nia. Atas alasan itu jugalah dia laju menghubungi Lutfi selepas solat Subuh tadi. Terbit pula rasa bersalah. Sambil menguruskan majlis perkahwinan bagi pihaknya, sambil menguruskan keluarga atas ketiadaan Mak Timah pula.

“Tak apa. Lutfi dah nak sampai. Dia hantar aku dulu. Lepas tu, terus bawa Mak Timah ke hospital.” Nia hanya mengangguk faham. 

Terbit juga rasa lega di hati Nia kerana Hadi menolak pelawaannya. Badannya sudah mula lemah kerana tidak tidur semalaman. Nasi goreng dan roti bakar yang siap disediakan, diletakkan di tengah meja makan. Sebentar lagi pasti Puan Sri Azizah dan Haqiem turun untuk bersarapan pula. Ajak-ajak ayam. Sekadar berbahasa.

“Aku dah hantar draf design kad jemputan ke emel kau. Pilih cepat. Petang ni aku nak hantar design sekali dengan pergi tengok dewan. Aku bawa mama, tau.” Nia sekadar memaklumkan. Bukannya Hadi ada di rumah untuk turut serta dalam rancangan mereka. 

“Terima kasih banyak sebab tolong aku handle semua ni. Lagi nak kahwin, lagi banyak kerja. Besides, aku tak adalah risau sangat nak tinggal mama. Kat rumah, kau boleh tolong tengok-tengokkan. Kat office, abang ada. Adreena, PA mama pun ada.” Manis senyuman Hadi membuatkan Nia mengalihkan pandangannya ke arah dapur, berpura-pura mencari sudu. Ingat janji kau dengan Haqiem, Nia. Dugaan kecil je ni.

Bunyi hon di luar rumah menandakan Lutfi sudah tiba, tepat seperti dijanjikan. Roti yang hanya tinggal sekeping disumbat terus masuk ke dalam mulut tanpa teragak-agak. Beg galas yang tadinya diletakkan di atas meja kecil di tepi pintu dicapai. Mujur awal-awal lagi tadi dia sudah berjumpa mama di dalam bilik.

“Satu lagi. Esok, after lunch, aku nak bawak Wanie fitting baju kat butik. Kalau nak ikut, sila balik awal pagi esok. Meeting kau habis this evening, kan?” Nia menyampaikan pesan di celah tingkap kereta yang terbuka. Mak Timah yang duduk di kerusi penumpang belakang disapa dengan lambaian tangan. Lutfi yang tadinya hanya memerhati, laju menekan butang tingkap automatik.

“Instead of best friend, aku rasa macam ada kakak baru. Atau, should I just call you ‘kakak ipar’?” Mata Hadi membulat. 

Mahu sahaja dia terus mengusik gadis itu yang tiba-tiba terus mendiamkan diri. Si abang yang baru muncul di muka pintu juga menunjukkan reaksi serupa. Lutfi dan Mak Timah berpura-pura tidak mendengar. Padahal, dalam hati sudah tidak mampu menahan dekah!

Belakang tubuh kereta yang sudah lama menghilang di sebalik pagar utama rumah agam itu diekori dengan anak mata. Nafasnya ditarik dalam. Nia sekadar berpura tidak menyedari kehadiran Haqiem yang asyik memandangnya sedari tadi. Tingkahnya terasa terbatas. Mahu mengemas meja makan untuk sarapan pagi pun terasa kekok. Usikan Hadi kembali menyapa telinga umpama gema. Wajahnya terasa panas tidak semena. Terasa lain pula nada usikan lelaki itu pagi ini. Seakan menyembunyikan makna.

“Nia.” 

Lembut suara Haqiem yang memanggil bagaikan tidak singgah di telinganya. Hendak disergah, gadis itu sedang melakukan mencuci pinggan dan cawan di sinki. Tersalah sergah, ada juga pinggan kaca yang menyembah lantai sekejap lagi. Dipanggil nama itu sekali lagi. Nia menoleh lambat. Kuapnya tidak tertahan lagi. Laju ditutup mulut dengan belakang tangan yang bersabun.

“I nak cakap terima kasih sebab masakkan late dinner untuk I semalam.” Nia hanya mengangguk. Memanglah dia ikhlas dengan masakannya malam tadi. Tetapi, itupun bersebab. Mahu memohon maaf lelaki itu dengan cara memujuk lapar. 

“Lain kali bolehlah masakkan lagi. Sedap.” Puji Haqiem, ikhlas. Namun, dengan suara yang lebih tinggi.

Nia menoleh ke kiri dan kanan. Bimbang andai Puan Sri Azizah tiba-tiba muncul dan mendengar isi perbualan mereka. Silap-silap, ia boleh mengakibatkan salah sangka. Jari telunjuknya dibawa ke hadapan mulut. Tanda meminta Haqiem untuk berhenti berbicara. Haqiem sekadar tersenyum melihat Nia yang jelas serba tidak kena.

“Morning, mama.” 

Haqiem melambai dengan wajah riang. Nia yang sedang berdiri menghadapnya terkejut dan terus berpaling. Turut ikut melambaikan tangannya tanpa teragak-agak. Namun, belum sempat dia berkata apa-apa, lambaiannya mati. Hampir sahaja dia mengepal penumbuk.

“You lambai siapa?” Perlahan suara Haqiem bertanya di hujung telinganya. Biarpun kepalanya bersarung tudung, terasa nafasnya berada dekat benar. Ketawa Haqiem bagaikan stereo yang bergema lantang tanpa dipinta. Pintu dapur yang masih bertutup rapat dipandang lama. Tiada Puan Sri Azizah. Hanya ruang kosong yang baru mula disapa cahaya mentari pagi.

Elok sangatlah perangai budak tidak cukup umur si mamat psiko ni. Sabar Nia. Dia tuan rumah, kau cuma menumpang. Nia menarik nafas panjang. Kata-kata yang sama diulang bagai mantera dalam hati berkali-kali. Tanpa sedar, membuahkan kuap yang sudah masuk kali ketiga.

“Encik mahukan apa-apa? Saya boleh tolong ambilkan. Sarapan pun saya dah sediakan di ruang makan. Bukan di dapur ni.” Senyuman manisnya dibuat-buat. 

Bahasa yang keluar dari bibir pun seakan mengikut skema Bahasa Melayu Penulisan Tahun 6 yang dipelajarinya dulu. Kalau diikutkan hati, ada yang nak kena ketukan senduk sakti Mak Timah ni. Dari muncul tadi asyik menyibuk di dapur. Kalau membantu, tidak mengapalah juga. Ini asyik mengekor saja ke sana ke mari.

“You ni tak tidur atau woke up too early? I perasan dari tadi you asyik menguap sahaja. Risau juga I kut ada yang hangus terbakar dapur ni sekejap lagi.” Nia hanya diam. 

Dasar mamat psiko. Benda remeh macam ni pun dia boleh perasan. Aku syak dia ada belajar ilmu bukan-bukan semasa tinggal lama di luar negara. Eh, kat London wujudkah benda sebegitu? Wujudlah agaknya. Di Korea dulu pun dia pernah melihat perkara-perkara aneh sebegitu.

“Saya okey. Encik tidak perlu risau.” Matanya dibulatkan dalam paksa. Macamlah mamat psiko ni nak risaukan kau. Dia cuma nak elakkan kau dari merosakkan harta benda mama dia sahaja. 

“Your answer menandakan tekaan I mengena.” Tangan Nia berhenti menyusun gelas.

Berkerut-kerut dahi saat bibirnya terkumat-kamit memarahi diri sendiri. Apa sajalah kau ni, Nia. Selalu sangat kantoikan diri depan mamat psiko ni. Atau, kau sebenarnya perlukan mikrofon untuk beritahu semua orang yang kau tak cukup tidur? Bebelan Nia dalam hati kian berjela.

“Tak apa. Pagi ni, biar I temankan mama makan. You boleh naik atas berehat. You have done enough.” Haqiem bersuara lembut. 

“Tapi, nanti apa pula kata mama...” Diintai anak sulung Puan Sri Azizah dengan hujung mata. Melihat Haqiem memeluk tubuh dengan wajah serius yang jelas terpamer, tingkah Nia menjadi bungkam.

“Naik atas. Pergi rehat.” Haqiem mengulang. Pendek dan jelas. 

Kata-kata Nia mati. Mata Haqiem yang membulat membuatkan dia terpaksa mengalah. Hendak melawan, dia jadi tidak berani. Riak wajah Haqiem yang itu pernah dilihatnya. Sekali. Pada malam rahsianya terbongkar. Matilah kakak, dik! 



HAQIEM MELANGKAH KELUAR dari pintu lif yang terbuka. Tangannya masih ligat mencari nama seseorang di dalam senarai kenalan telefon bimbitnya. Entah berapa kali terlepas pandang, barulah dia menemui nama Mak Timah dalam log panggilannya. Langkahnya mati betul-betul di hadapan pintu pejabat.

“Mak Timah dah sampai rumah ke?” Soalan itu ditanya sebaik lafaz salamnya bersambut. Pintu pejabat dikuak lambat. Fidzreen dan gadis si penyambut tetamu memberi salam dengan suara perlahan.

“Abang cuma nak bagitahu yang abang rasa Nia tu tak cukup tidur… Abang cuma kasihan… Mak Timah, anak angkat kesayangan mama tu… Okey. Bye.” Fidzreen mengekor sahaja langkah majikannya dalam diam. Sesekali telinganya dapat menangkap isi perbualan Haqiem dengan si penerima panggilan. Mungkin Mak Timah. Tapi, siapa Nia?

“Yes, Reen. Jadual I hari ni, please.” Haqiem melabuhkan duduk di kerusi empuk miliknya. Hal rumah sudah boleh letak di tepi. Sekarang masa untuk fokus dengan hal pejabat. Fail-fail yang bersusun, dibelek satu persatu.

“Bos cuma ada satu appointment sahaja untuk hari ni. Pukul 10 pagi, dengan Cik Syazwani.” 

Haqiem menarik nafas panjang apabila teringatkan janji temunya dengan bakal adik iparnya tengah hari itu. Mesyuarat yang sepatutnya dihadiri dia, Syazwani dan Hadi. Namun, memandangkan masa kian suntuk, mesyuarat itu diteruskan walau tanpa kehadiran Hadi. 

“Okey. You boleh sambung kerja. Oh, ya! Petang ni I tak masuk office. Kalau ada apa-apa, setkan ke minggu hadapan.” Fidzreen mengangguk kecil sambil mencatat pesanan Haqiem. Sejak mengandungkan anak sulungnya, penyakit lupanya semakin menjadi-jadi. Jadi, sebelum terjadi apa-apa, semua pesanan orang atasan terus ditulis ke dalam memo. 


NIA MENGGOSOK MATANYA yang berpinar terkena cahaya matahari. Tubuh yang keletihan diregang sepuasnya di atas katil. Jam dinding yang menyambar pandangan dipandang sejenak. Jarum panjang dan pendek hampir menyentuh angka dua belas. Digolek tubuhnya malas ke kiri dan kanan. Saat tubuhnya dipusing ke arah jendela yang sedikit terbuka dilambai angin, Nia tersentak. Laju tubuhnya berdiri tanpa dipaksa. Riak wajahnya berubah serta-merta.

Diintai ruang tamu yang sunyi. Pasti Puan Sri Azizah berada di dalam biliknya. Biasanya begitulah. Jika tidak ke pejabat atau perjumpaan persatuan, pasti wanita itu berehat di dalam biliknya sambal membaca rekod prestasi syarikat ataupun buku motivasi yang dibelinya di hujung minggu.

Serba salah dibuatnya. Walaupun dia dilayan dengan baik di dalam rumah itu, tidak sepatutnya dia bangun lewat dan mengambil mudah pesanan Mak Timah lewat petang semalam. Laju kaki Nia menuruni tangga, terus menuju ke dapur. Namun, langkahnya mati tiba-tiba. Susuk tubuh Mak Timah yang sedang membancuh minuman menampar pandangannya. Nia mencubit belakang telapak tangannya sendiri. Sakit.

“Bila Mak Timah balik?” Mak Timah hanya tersenyum mendengar soalan luar alam Nia kepadanya. Sudah namanya tidur mati, perang dunia ketiga meletus pun belum tentu sedar.

Lauk juadah makan tengah hari keluarga itu sudah siap dihidangnya di atas meja makan. Tunggu Haqiem saja pulang dari pejabat untuk menunaikan solat Jumaat dan makan tengah hari bersama Puan Sri Azizah. Begitulah rutin kebiasaannya.

“Mak Timah okey ke? Apa kata doktor?” 

“Mak Timah bukannya sakit. Puan Sri yang tetapkan Mak Timah untuk periksa kesihatan setiap tiga bulan. Kalau Mak Timah sakit, siapa yang akan menjaga keluarga ni, kan?” Senyum Mak Timah membawa maksud mendalam. Namun, masih belum bisa difahami Nia.

Bukannya apa. Melihat keadaan rumah yang jelas teratur ketika sampai di rumah tadi, buat dia tersedar. Nia bukannya gadis remaja yang mula-mula datang ke rumah itu enam tahun yang lalu. Dia sudah dewasa. Kebanyakkan gadis sebayanya sudah bergelar isteri. Bahkan, ada yang sudah bergelar ibu. 

“Tak kisahlah Mak Timah sakit teruk ke atau tak sakit langsung sekalipun, lain kali Mak Timah kena ajak Nia buat kerja rumah sama-sama. Bukan sikit kerja yang Mak Timah kena buat hari-hari. Kalau Nia tidur, Mak Timah kena kejut Nia sampai bangun.” Dicapai tangan Mak Timah yang sudah selesai mengemas dapur. 

Ralat rasanya bila dia tidak dapat membantu wanita sebaya ayahnya itu. Bukan kerana apa, tetapi sudah terbiasa. Dia dan adik beradik lainnya diajar sebegitu. Jika di rumah ayah, pantang liat bergerak sedikit, pasti terpaksa menahan telinga sudahnya. Nia menarik nafas panjang. Bagaimana keadaan ayah di kampung agaknya? Hati kecilnya sebak bertanya.

“Abang beritahu Mak Timah yang Nia tak cukup rehat. Sebab tu, Mak Timah berat hati nak kejut.” Nia mengukir senyuman tawar. Apa lagi yang disampaikan si mamat psiko tu? Semua benda nak mengadu dengan Mak Timah. 

“Mak Timah nak cakap terima kasih pada Nia, sebab dah ganti tugas Mak Timah dengan baik. Balik sini tadi, Mak Timah tengok semuanya dah selesai. Baju dah basuh, dapur pun dah kemas. Tinggal nak memasak sahaja lagi. Nia dah buat banyak dah. Sebab tu Mak Timah tak kejut. Nia jangan marah, ya?” 

Lambat Nia menarik senyum segaris. Dia bukannya marah. Tetapi, dia kasihankan Mak Timah yang terpaksa dari bangun pagi hingga lewat malam. Belum sampai 24 jam pun dia menggantikan tempat Mak Timah, dia sudah keletihan. Tercalar rekodnya mampu berjaga selama 59 jam hanya kerana menjaga Puan Sri Azizah sekeluarga.


TELEFON BIMBIT YANG MATI sejak sampai di Singapura awal pagi tadi dihidupkan semula. Hadi memperbetul baringnya di atas katil sementara menunggu telefon bimbitnya berjaya masuk ke sambungan wi-fi percuma yang disediakan pihak hotel. Pasti ada orang yang menghubunginya sepanjang hari ini. 

Beberapa keping gambar dihantar bersama pesanan pendek melalui aplikasi Whatsapp oleh Nia dan Wanie dimuatturun. Lebih kurang sahaja. Pasti Wanie ikut serta semasa proses melihat dan menempah dewan petang tadi. Gambar dewan, kerusi untuk pelamin dan hiasannya. Laju sahaja jarinya menyelunsur di atas skrin. Di gambar yang terakhir dihantar Wanie, isinya ditenung lama.

Entah kenapa fikirannya berpatah semula ke enam belas jam sebelumnya. Ke saat dia berjaga awal pagi itu dan mahu turun mencari minuman di dapur. Namun, langkahnya mati di balik pintu yang baru setengah kaki terbuka. Dia kembali mengintai jam di tepi katil. Dia yakin pandangannya tidak salah. Jam tika itu sememangnya baru 5.33 pagi. 

Nia yang sedang berlegar di dalam bilik tetamu kedua diintai dari celah pintu bilik yang dibuka sedikit. Risau juga andai gadis itu sedar kewujudannya di situ. Tetapi, dia benar curiga dan ingin tahu apa sebenarnya yang sedang dilakukan Nia. Tentu ada sesuatu yang sedang dicarinya.

Nia yang muncul semula dengan comforter diekori hingga ke hujung tangga. Dari berdiri, dia merangkak pula. Semuanya gara-gara mahu meneruskan misi mengintai dan mencari jawapan kepada soalan yang ada dalam fikirannya tika ini.

Takkanlah Nia mahu tidur di ruang tamu? Hati Hadi bermonolog sendirian.

Oh, Nia bawakan selimut untuk abang rupanya. Eh, Nia bawakan selimut untuk abang? Semata-mata? Ada sesuatu yang aku ketinggalankah? Perangai abang yang suka tertidur di ruang tamu bukanlah benda baru. Apatah lagi ketika musim bola sepak. Tetapi, apa yang sedang berlaku di hadapannya kini, itu perkara baru.

Hadi mengukir senyum sendiri. Jika benar sekalipun abang dan Nia menjalin hubungan, dia tidak akan melarang. Bahkan, dia akan menjadi orang pertama yang menyokong. Dia yakin Haqiem pasti akan menjaga sahabatnya yang seorang itu dengan baik. Begitu juga Nia. Benarlah seperti yang tertulis dalam Qalam Allah: wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

No comments:

Post a Comment