Search This Blog

Friday, February 17, 2017

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 6

MALAM SUDAH berganti siang, namun fikiran masih tidak berganjak dari memikirkan hal semalam. Sudahlah terkantoi segala rancangan, maggi goreng pula dimakan Haqiem. Tetapi tak mengapa. Sementelah rahsianya terbongkar di hadapan Haqiem, rasa lapar Nia hilang sekelip mata. Yang tinggal rasa cemas dan risau. Perbincangan sulit antara dia dan Haqiem masih tidak mencapai kata putus yang pasti. Akhirnya, dia ditinggalkan di dapur termangu sendiri sehingga jam mencecah tiga pagi.

Walaupun tangannya ligat membantu Mak Timah menyediakan sarapan di dapur, matanya sempat mencuri pandang ke arah Hadi dan Haqiem yang riuh bermain Nintendo di tengah ruang tamu. Nia bimbang juga kalau-kalau Haqiem ada memberitahu Hadi. Tetapi, melihat kepada cara Hadi menegurnya semasa mengambil minuman di dalam peti ais tadi, nampaknya masih belum disampaikan juga. Nia menarik nafas lega.

"Nia, tolong bawak nasi goreng ni ke meja. Mak Timah nak panggil Puan Sri kat atas." Nia mengangguk serba salah. Kalau ikutkan hati, dia nak duduk sahaja di dalam bilik dan tidak keluar. Tidak mahu dia bertentang empat mata dengan Haqiem yang bila-bila masa mahu membocorkan rahsia besarnya. Tiba-tiba, hatinya terdetik. Mungkin dia patut mula mengemas barangnya ke dalam bagasi. Bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Nia, tak siap lagi ke kemas dapur tu?" Suara Mak Timah mengembalikan Nia ke alam nyata semula. Melihat Puan Sri Azizah yang sedang berbual dengan anak-anak lelakinya di meja makan, Nia sedar, dia terlajak berangan di dapur. Soalan Mak Timah yang tadinya dibiarkan tergantung tanpa jawapan hanya dijawab dengan senyuman manis.

"Nia, mari makan sekali dengan mama." Nia yang baru sahaja mahu melarikan diri dari dapur, menghentikan langkahnya. Bibir bawahnya digigit sebelum berpaling memandang Puan Sri Azizah dengan senyuman. Baru sahaja hendak menolak, suara Haqiem perlahan bertanya.

"Siapa tu, ma? Tak nak kenalkan kat abang ke?"

Nia menahan wajahnya dari menunjukkan sebarang riak. Haqiem yang memandangnya dengan senyuman yang paling manis dan ceria dipandang lama. Nampak seperti ikhlas. Tetapi, Nia tahu makna di sebalik senyuman itu. Baiklah. Encik nak bermain, kan? Saya akan turut permainan encik tu. Sebaik mungkin.

Meja makan yang bersusun pelbagai menu di atasnya dirapati perlahan. Kerusi kosong tanpa penghuni di sebelah Hadi ditarik perlahan. Nasi goreng yang cuma separuh senduk diisi di dalam pinggan kosong dihadapannya. Jus oren juga hanya diisi separuh gelas. Dia tidak mahu berlama-lama di meja makan itu.

"Ini Nia, kawan adik masa kat uni dulu. Buat masa ni, dia akan tinggal kat rumah kita." Hadi memulakan sesi perkenalan tanpa menunggu arahan dari mamanya. Lebih baik dia yang melakukannya berbanding mama memandangkan Nia adalah kawan baiknya. Lagi pula, dia sudahpun memperkenalkan Nia secara tidak langsung kepada Haqiem semasa memperbetul salah faham abangnya petang semalam.

"Yang ini, abang aku, Haqiem. Kau pun boleh panggil abang jugak. Jarak umur dengan kita, 4 tahun. Tua dah." Ayat akhirnya sengaja disuarakan separa berbisik, namun masih jelas kedengaran oleh Haqiem yang duduk berhadapan dengannya. Haqiem berpura-pura tunduk menyuap nasi goreng ke dalam mulut sambil kakinya menendang hujung kaki Hadi yang akhirnya mengaduh kecil.

Nia me ngukir senyum manis. Hanya sebagai lakonan di hadapan Puan Sri Azizah yang nampaknya senang dengan sesi pengenalan ringkas yang diadakan Hadi. Kalaulah wanita itu tahu apa yang terjadi pada malam sebelumnya...

"Mama, lepas makan ni, abang dengan adik nak keluar main tenis kat sport hall. Mama nak ikut tak?" Puan Sri Azizah laju menggeleng. Katanya, tenaganya sudah tidak sekuat mana kalau mahu dibandingkan dengan tenaga anak-anak lelakinya. Lebih baik dia berehat di rumah sahaja.

"Ala, ma. Dah lama kita tak spend time together. Banyak benda yang nak dibualkan ni." Haqiem sengaja menekan suaranya pada perkataan 'benda' sambil mencuri pandang ke arah Nia yang jelas mengelak dari memandangnya. Dia tahu, Nia pasti sedang tidak senang duduk dan bimbang kalau-kalau mamanya tiba-tiba bersetuju mahu ikut serta.

"Mama rehat kat rumah sajalah. Lagipun, mama nak kena review bahan mesyuarat dengan board nanti. Esok tak sempat nak buat. Takut meeting persatuan habis lambat. Haa, lupa mama nak beritahu Nia. Rabu nanti, mama ada important meetings. Tak boleh nak temankan Nia beli barang. Ataupun, nanti Hadilah gantikan mama. Boleh kan, Hadi?"

Hadi dipandang, meminta kepastian. Lagipun, bukan kenduri orang lain. Kenduri kahwin dia sendiri juga. Nia juga turut memandang Hadi. Kalau Hadi setuju, memang senangnyalah dalam hati. Dapat keluar dengan Hadi sekali lagi, Senyumannya ditahan hanya dalam hati. Tidak mahu jelas kelihatan pada pandangan mata.

"Tak bolehlah, ma. Hadi ada meeting dengan potential partner dari Singapura tu. Lain hari tak boleh ke?" Hadi senyum kelat. Terasa seperti dirinya tidak bertanggungjawab sekiranya menyerahkan segala persiapan majlis perkahwinannya bulat-bulat kepada kawan baiknya sahaja. Itupun sudah cukup baik apabila Nia bersetuju untuk membantu.

"Tak apa, ma. Biar abang tolong temankan Nia. Abang free hari rabu nanti. Nak delay, nanti lambat siap segala persiapan. Anak manja mama tu jugak yang marah nanti." Mendengar kata-kata anak sulungnya, Puan Sri Azizah jadi terdiam. Hadi dan Haqiem pula berlawan kaki di bawah meja. Ada betulnya kata Haqiem. Bukannya lama pun tempoh dua bulan setengah. Mahu tidak mahu, segala persiapan perlu dilakukan secepat mungkin. Lambat-lambat, Puan Sri Azizah mengangguk memberi kebenaran.

Nia menunduk. Apa pula yang mamat ni rancang? Entah-entah dia nak buli aku atau apa-apakan aku tak? Tekaknya terasa kelat untuk ditelan. Jus oren yang diteguk langsung tidak membantu. Dia perlu menyelamatkan diri dan mengelakkan diri dari berduaan dengan Haqiem. Tak kira bila dan di mana.

"Tak apalah, ma. Nia boleh pergi sendiri."

"Bahaya perempuan jalan seorang diri. Kalau jadi apa-apa, macam mana?" Haqiem laju meningkah kata-kata Nia sambil menunjukkan riak wajah bimbang. Pandangannya dialih pula kepada Hadi yang cuba melarikan pandangan. Tadi nak sangat kenakan aku, kan? Kata aku tua, kan? Ini abanglah. Daulat besar. Kalau aku beritahu mama pasal kejadian di mall semalam, agak-agak apa jadi?

Sarapan pagi itu berakhir dengan hasilnya tidak berpihak kepada Nia. Mahu tidak mahu, dia perlu bertemankan Haqiem yang 'ikhlas' mahu menemaninya. Nia melepaskan keluhan berat tanpa sedar. Mak Timah yang berada di belakangnya hanya menggeleng kecil. Ada-ada sahaja masalah yang melanda gadis itu. Tapi dia tidak mahu bertanya. Takut dikatakan busybody.

"Mak Timah, mama minta buatkan kopi dan hantar ke bilik dia." Suara Haqiem yang tiba-tiba muncul di muka pintu dapur mengembalikan Nia ke alam nyata. Lelaki psiko itu kini berdiri betul-betul dihadapannya. Hanya berjarak beberapa langkah sahaja. Sesekali dia mengerling ke arah Haqiem dengan hujung mata.

Tidak sampai lima minit, Mak Timah sudah mula menaiki anak tangga, meninggalkan anak sulung dan anak angkat Puan Sri Azizah berdua di dapur. Nia laju melangkah keluar, tidak mahu terus berada di situ. Terasa sesak nafasnya apabila berada di dalam kawasan yang sama dengan mamat psiko yang hanya diam memandangnya.

"Rasanya patut atau tak beritahu mama?" Suara Haqiem perlahan. Namun, jelas menampar gegendang telinga Nia yang membelakanginya. Langkah berani Nia mati. Lama. Entah apa permainan yang cuba diatur Haqiem, Nia cuba memahami rentaknya.

"Maybe I should just tell mama the truth." Melihat Nia yang yang hanya berdiri kaku, Haqiem berpura-pura mengomel sendirian walaupun pada hakikatnya, jelas yang dia mahu Nia dengar setiap butir katanya.

Nia menarik nafas sedalamnya. Dasar mamat psiko memang macam ni. Tetapi, dia tidak boleh mengaku kalah begitu sahaja. Kalau Haqiem mahu menang, dia juga mahu menang dalam permainan ini. Dan berdiam diri bukanlah jalannya. Langkahnya diatur memasuki dapur semula. Berdiri betul-betul di hadapan Haqiem.

"Saya dah cakap separuh dari apa yang perlu semalam. Saya bukan orang berada macam encik yang mampu nak beri apa yang mungkin encik mahu minta dari saya. Tapi, right here right now, at this very moment, saya boleh beri jaminan kepada encik yang saya tak akan ganggu hubungan Hadi dan Wanie lagi. Bila masanya tiba, saya akan pergi dari sini, before you know it."

Mata Nia merenung tajam wajah Haqiem yang seakan tidak ambil peduli dengan kata-katanya. Pandangan Haqiem juga bukan ke arahnya. Tidak tahu apa lagi yang perlu dikatakan. Minda warasnya sudah habis berfikir sebaiknya. Mahu sahaja dia meninggalkan rumah agam ini, tapi ke mana arah tujuannya nanti. Bayangan wajah marah ayah kembali menyapa fikiran.

Haqiem masih lagi diam tanpa reaksi. Sengaja dia berbuat begitu. Mahu menguji gadis di hadapannya. Adakah berbeza atau sama dengan gadis-gadis berfikiran sempit yang sering ditemuinya? Jawapannya pasti kini. Langkahnya diatur semakin hampir dengan Nia yang mengundur. Manakan tidak. Antara mereka kini berjarak satu langkah. Namun, kabinet di belakang tubuh mematikan langkah yang cuba melarikan diri.

"Rasanya mama dah tahu tak yang semalam aku rembat buah-buah dalam peti sejuk ni bawak balik kondo? Perlu atau tidak beritahu mama?" Haqiem membuka peti sejuk, menunduk sejenak sebelum kembali berdiri dengan sebiji epal di dalam genggaman tangan kirinya. Nia yang berdiri betul-betul di tepi peti sejuk seakan tidak wujud padanya.

Rasa geram di hati Nia, hanya dia sahaja yang menanggungnya. Hidup-hidup dia dipermain oleh Haqiem. Belakang tubuh Haqiem yang mahu meninggalkan dapur dipandang dengan hati yang membara. Tak apa. Kali ni permainan berpihak kepada kau, mamat psiko. Next time, it'll be mine.

Seakan tahu apa yang dibisikkan hati kecil Nia, Haqiem menoleh dengan senyuman sinis yang masih tidak lekang dari bibir. Nia menggenggam penumbuk dalam diam. Sabar Nia, sabar. Dia tuan rumah, kau cuma menumpang. Layankan je.

"Exactly what I want to hear. Pegang janji-janji tu elok-elok." Haqiem terus melangkah ke ruang tamu tanpa menoleh. Baru sahaja Nia hendak menjawab, Hadi muncul dari tingkat atas. Sudah bersedia dengan pakaian dan beg sukannya.

"Nia, lunch nanti kau dengan mama je tau. Aku lunch dengan abang kat luar. Aku dah beritahu mama dah tadi. And, abang. Malam ni tidurlah sini lagi. Esok boleh gerak pergi office sekali."

Haqiem menggeleng kecil sambil menggigit sebahagian besar epal di tangan. Bukan dia tidak suka dengan cadangan adiknya. Di rumah mama, makan minumnya lebih terjaga. Pakaian pun ada yang tolong basuhkan. Serba-serbi seperti tuan putera di dalam istana. Cuma...

"Negative. Barang abang semua kat kondo. Maklumlah, abang lari sehelai sepinggang je semalam. Kecemasanlah katakan." Hadi dan Haqiem ketawa serentak.

"Maybe she will stop once you show that you are interested." Haqiem laju menggeleng. Tanda tidak bersetuju. Cadangan adiknya yang ini sangat tidak boleh digunapakai. Cuba bayangkan jikalau dia dan Kyra digandingkan. Boleh porak peranda rumah tangga. Itupun kalau dia mampu bertahan lama sehingga ke jinjang pelamin.

Nia yang turut berada di situ mula merasa dirinya tidak diperlukan. Perbualan dua beradik itu semakin sukar difahaminya. Pada dasarnya, ia cuma sebuah perbualan antara dua anak teruna Puan Sri Azizah mengenai seorang gadis yang kedengarannya seperti tergila-gilakan si abang. Hum, mamat psiko macam dia pun ada orang berkenan ke? Well, psiko dengan psiko. Memang sesuai sangatlah.


RAKET TENIS dihayun sekuat hati, mahu menamatkan permainan terakhir itu. Penat rasanya mahu berentap dengan adiknya yang seorang ini. Tenaga macam raksasa! Macam tidak pernah habis. Permainan tiga pusingan macam baru tiga kali hayun bagi Hadi. Langsung tiada riak penat pada wajahnya.

Tanpa menunggu lama, tubuhnya ditumbangkan di tengah gelanggang tenis. Namun, tidak sampai beberapa saat, dia bingkas semula. Terus berlari ke bawah pondok rehat. Kerja gila namanya mahu berbaring di atas gelanggang yang panas tahap mendidih di bawah terik matahari. Ini bukan rancangan Fear Factor.

"Adik dah lama kenal Nia tu?" Haqiem terus menyoal sebaik nafasnya mula reda. Hadi yang sedang meneguk air mineral yang baru dibelinya, berhenti. Masih tidak habis lagikah permasalahan semalam, walaupun dia sudah menerangkan siapa Nia itu sebenarnya? Mengapa abangnya masih lagi bertanya mengenai gadis itu?

"Sejak minggu kedua adik masuk belajar dulu. Kira-kira dah lebih tujuh tahun jugaklah. Why do you seem so concern? Takkanlah pasal semalam tu tak habis lagi. Adik dah explain semuanya, kan?" Berkerut dahi Hadi cuba mendapatkan kepastian. Kadang-kadang tindakan dan tingkah laku abangnya memang sukar difahami.

"I just want to know her. Dalam rumah tu, abanglah orang yang paling tak kenal dia. Nanti mama kata abang ni tak ada effort nak kenal anak angkat kesayangannya tu." Agak-agak alasan tu cukup kuat tak untuk yakinkan adik aku ni? Aku tahu dia mesti pelik aku tanya macam-macam pasal budak perempuan tu. Tapi, ini untuk kebaikan semua orang. Hati aku pun rasa macam tak tenteram je kalau tak ambil tahu.

Dalam mahu tidak mahu, Hadi memulakan ceritanya. Dari hari pertama dia dan Nia mula berkenalan hinggalah ke hari ini. Semuanya diceritakan tanpa ada yang tertinggal. Termasuklah cerita rekaan Nia yang didengarinya kelmarin. Haqiem di hadapannya kelihatan mendengar dengan tekun.

Nampaknya Hadi masih belum tahu perasaan sebenar Nia kepadanya. Atau mungkinkah Hadi sudah mengetahuinya namun sengaja disembunyikan demi menjaga nama kawan baiknya itu? Namun, dari apa yang dilihatnya, besar kemungkinan yang Hadi masih belum tahu. Patutkah dia bertanya? Atau sekadar membiarkan sahaja persoalannya berlalu?

"Selama berkawan ni, takkan tak ada perasaan lebih dari kawan? Maybe, rindu bila dia tak ada?" Haqiem cuba menguji dengan soalan. Melihat Hadi yang hanya diam memandang minumannya, Haqiem tahu soalannya sedikit menjerat.

"Lepas Nia kerja di Korea, timbullah jugak rasa sunyi. Tapi rasanya, perasaan tu semua sebab dia selalu ada. So, bila Nia tiada, rasa kosong sikit. Tapi, untuk pengetahuan abang, dialah orang yang bertanggungjawab menyatukan Arif Hadi dengan Syazwani." Senyuman Hadi melebar.

"Dua tahun selepas dia pindah sana, adik ada pergi melawat dia. Kebetulan masa tu, Wanie pun melawat dia juga. Masa tu, adik belum kenal Wanie betul-betul lagi. Cuma tahu yang dia junior setahun bidang yang sama dengan adik. Bila jumpa kat majlis ulangtahun Wira Corporation setahun yang lepas, baru adik mula rapat dengan dia. Perangai dia yang lebih kurang macam Nia, buat adik selesa sangat dengan dia." Hadi menyambung apabila melihat abangnya hanya mendengar dengan tekun.

Cerita yang selama ini hanya dia dan Wanie yang tahu diceritakan kepada abangnya dengan rela hati. Bukannya rahsia besar yang perlu disimpan selamanya. Cuma, selama ini, tiada siapa yang pernah bertanya.

"Maksudnya, adik suka Wanie sebab perangainya sama dengan Nia? Bukankah maksudnya adik suka Nia?" Haqiem menyoal, cuba menjerat dalam diam. Hadi menggeleng. Riak wajahnya yakin.

"I thought exactly the same thing three months after we got together. Tapi lepas tu adik sedar, adik sukakan Wanie sebab Wanie sendiri. Bukan sebab Nia atau orang lain. Sikap mereka mungkin lebih kurang sama, tapi masing-masing ada keunikan tersendiri. Bila abang dah kenal Nia lama sikit nanti,you'll know what I mean." Haqiem hanya mengangguk kecil. Mungkin ada betulnya kata-kata Hadi. Dia masih belum betul mengenali gadis yang kini anak angkat mamanya.

"Sebenarnya, abang ada hal apa dengan Nia?" Masanya untuk dia pula menjerat Haqiem. Berkerut dahi Haqiem cuba mencerna maksud di sebalik soalan Hadi. Tadi aku, sekarang giliran dia pula yang menyoal?

"Tak ada apa pun. Kenapa tanya macam tu?" Lambat-lambat dia menyedut teh ais kegemarannya. Raut wajahnya ditahan dari menunjukkan sebarang riak.

"Adik dah perasan dari masa sarapan tadi yang abang curi-curi tengok Nia. Macam tadi tu bukan pertemuan pertama abang dengan dia." Kening kanannya diangkat tinggi. Berbual dengan abangnya yang seorang ini memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi. Kalah mahu menjawab peperiksaan lagi susahnya.

"Memanglah bukan. Dah lupa ke? The mall?" Sengaja dia menekan suaranya saat menyebut perkataan mall.

Melihat riak wajah Hadi yang berubah, Haqiem mengeluh kecil di dalam hatinya. Kenyataan yang Hadi luahkan bukanlah tekaan yang boleh dibidas tidak kena cara. Mungkin boleh mengundang kepada perkara lain yang sepatutnya menjadi rahsia. Biarpun pada dasarnya, dia masih belum betul mengenali Nia, biarlah maruah gadis itu kekal terjaga.

"Bukan itu. Maksud adik, duduk semeja, bercakap, bersembang. Ada apa-apa rahsia yang perlu adik tahu?" Tubuhnya disandarkan pada kerusi, tanda dia bersedia mendengar sebarang masalah atau rahsia yang mungkin wujud antara kawan baik dan abangnya.

"Ada satu benda yang abang belajar masa kat London. Secrets are meant to be keep, not told." Haqiem terus bangun meninggalkan Hadi yang masih terpinga-pinga. Penggera di tangan ditekan lembut. Pintu kereta dibuka perlahan.

"Serius abang tak nak tidur kat rumah malam ni? Boleh je singgah rumah abang sekejap ambil barang." Hadi bertanya dari dalam restoran. Nasib baiklah meja yang mereka duduki tadi berada betul-betul di hadapan tempat letak kereta. Tidak perlu dia memalukan berteriak sekadar mahu bertanya soalan yang sudah pasti jawapannya.

"Serius. Lagipun petang ni abang dah janji nak jumpa Farah." Haqiem berdiri di celah pintu yang sudah dibuka.

"Untuk apa?" Dahi Hadi berkerut.

"Biasalah masalah orang bercinta." Haqiem mengangkat kening double jerk. Tangan kanannya diangkat tinggi dari dalam kereta, tanda mahu mengundurkan diri. Hadi hanya mengangguk sebelum membalas dengan gerak tubuh yang sama.

"Dan aku yakin ada orang akan lebih gembira kalau aku tiada dalam rumah agam tu." Perlahan suara Haqiem bermonolog. Pedal minyak ditekan lebih dalam. Nissan Murano berwarna merah darah itu mula bergerak lebih laju dari sebelumnya.


No comments:

Post a Comment