Search This Blog


[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 5

NIA MELANGKAH perlahan-lahan menuruni tangga. Perutnya entah kenapa terasa lapar pula di tengah-tengah malam begini. Mungkin kerana tadi dia lebih banyak termenung daripada menjamah makanan. Entah kenapa suara Haqiem asyik bermain di gegendang telinganya. Eh, lagaknya sudah seperti orang angau! Yang dikejar pun masih belum dapat lagi. Berangankan yang muncul mbagai angin lalu.

Perlahan pintu peti ais dibuka, takut didengari oleh penghuni rumah agam itu. Matanya laju meneliti segala jenis sayuran yang masih berbaki. Dicapai sawi dan taugeh yang diletakkan bersebelahan. Bawang di kabinet bawah diambil sekadar perlu sahaja. Langkahnya berjengket antara dapur ke sinki. Pergerakannya dalam menyediakan bahan masakan juga perlahan saja. Nasib baik ada maggi dalam simpanannya. Bolehlah dia menjamah maggi goreng ala-kadar seperti yang selalu dimasaknya di Korea. Tetapi, rimas pula rasanya bila pergerakannya dibatasi dengan rasa berhati-hati. Dah macam pencuri pulak aku ni, bisik hati Nia.

Baru sahaja dia hendak duduk dan menjamah masakannya, telefon bimbit di dalam poket seluarnya berbunyi. Hanya beberapa orang yang ada menyimpan nombor barunya. Tetapi, siapa sajalah yang hendak menelefon di tengah malam begini? Butang hijau laju diheret, enggan bunyi berlarutan. Bimbang ada yang tersedar.

"Hello."

"Nia, aku ni. Rai." Suara di hujung talian sebelah sana kedengaran girang. Mungkin kerana taliannya bersambung seperti diharapkan.

"Rai? Raihana?" Nia cuba memastikan walaupun memang hanya seorang sahaja teman baiknya yang dipanggil Rai. Telefon dibawa jauh dari telinga. Nombor pada skrin jelas tidak dikenalinya.

"Rai mana lagi? Ke kau balik Malaysia dah dapat kawan lain nama Rai jugak?" Raihana cuba bercanda dalam nada suara yang serius. Dia tahu Nia keliru. Mana tidaknya? Sudahlah menelefon di tengah malam, dengan nombor telefon asing pula.

"Ya Allah, Rai. Kau ni buat terkejut aku je. Ni nombor siapa ni? Apa hal yang kau telefon aku tengah-tengah malam ni? Dah pukul 1 kan sekarang ni?" Nia menggeleng sendiri. Memang confirm ini Rai. Dia je yang suka buat kerja gila macam ni. Risau andai perbualannya boleh didengari, Nia menukar tempat ke bilik rehat di sebelah ruang makan.

"Aku tau kau belum tidur. Aku pulak tak boleh tidur. Alang-alang teringat, baik aku call kau. Nak bagitahu yang aku dah tukar nombor telefon je. Telefon aku yang lama hilang."

"Konon. Kalau rindu, cakap je. Aku faham. Walaupun baru beberapa hari je aku balik Malaysia ni kan?" Giliran Nia pula mengusik. memang dia gemar menyakat Rai. Rindu pula dia melihat pipi Rai yang memerah setiap kali nama teman sekerja mereka disebut. Cinta dalam hati katanya.

"Langsung tak. Eh, terlanjur bersembang. Hadi macam mana? Kau ada jumpa dia tak?" Soalan Raihana membuatkan kata-kata Nia mati. Begitu juga reaksi wajahnya. Diceritakan semula semua yang berlaku dari saat dia menjejakkan kaki di KLIA hingga ke malam ini. Cerita tentang dia yang mula rasa kurang yakin juga turut disampaikan dalam nada yang mendatar. Berpintal hujung langsir dek digulung Nia dengan hujung jari.

"Habis tu, sekarang kau nak buat apa? Balik sini balik? Okey jugak. Mr. Yoon asyik tanya je kalau-kalau kau nak masuk kerja balik. Aku tak bagitahu dia lagi pun yang kau dah balik Malaysia." Rai cuba mencuri hati Nia agar kembali semula ke Korea. Ramai yang bertanya hingga penat Rai mahu menjawab.

"Pasal masuk kerja or balik Korea balik tu, nantilah aku fikir-fikirkan. Aku kan pekerja kesayangan dia. Masa aku hantar resignation letter hari tu pun, muka dah pucat semacam. Tapi, pasal Hadi, aku rasa aku nak teruskan jugak niat aku tawan hati dia. Aku rasa aku masih ada can. Wanie pun cakap yang Hadi selalu sebut nama aku. Maybe ada ruang untuk aku. Siapa tahu, kan?" Nia merenung langit hitam disebalik jendela. Harapannya mungkin nampak sia-sia, tapi dia tidak akan berhenti mencuba.

Perbualan telefon dua gadis itu berterusan lagi dengan Rai berulang kali mengingatkan yang dia tidak sesekali bersetuju dengan idea tidak masuk akal Nia. Kerja gila namanya nak memutuskan tali pertunangan antara dua orang yang tengah asyik bercinta. Ingat ini drama Melayu petang-petang yang selalu adiknya ceritakan di dalam Facebook Messenger tu ke ?

"Okeylah Nia. Aku mengantuk ni. Kau pun pergilah makan. Kelaparan katanya, ya?" Ketawa Raihana bergema lagi. Pun begitu, dia kagum dengan metabolisma badan Nia yang nyata terlalu aktif. Makan banyak pun badan masih kekal begitu juga.

Panggilan jarak jauh itu dimatikan. Lega bila dia sudah meluahkan apa yang dirasanya kepada seseorang. Tidaklah hanya terbeban sendiri. Nia memasukkan semula telefon bimbitnya ke dalam poket. Waktu untuk makan!

"Apa tujuan kau sebenarnya?" Satu suara menyapa saat Nia menoleh mahu keluar dari bilik rehat itu. Langkahnya mati.


BOSAN DENGAN KARENAH Kyra yang tidak jemu menganggunya, Haqiem membawa dirinya keluar dari rumah. Kalau dah sampai datang rumah bujang yang didudukinya dengan Rafiq, itu memang melampau. Apatah pula ketika dia sedang bersendirian di rumah. Sebelum jadi benda-benda yang tak diingini, lebih baik dia keluar.

Lama dia bersendirian menghabiskan masa di mall. Hingga tamat waktu perniagaan. Entah ke mana pula hendak dituju tengah-tengah malam begini. Dia bukan jenis menjengah kelab malam atau apa-apa yang seangkatan dengannya. Dia sudah bosan ke tempat-tempat begitu sebenarnya. Walaupun cuma untuk menjemput kawan-kawan serumahnya yang hanyut dengan hasutan Syaitan untuk meneguk air haram itu.

Akhirnya, dia buat keputusan untuk pulang ke rumah Mama. Satu-satunya tempat paling selamat. Itupun kerana Kyra takutkan Puan Sri Azizah yang pernah menengkingnya kerana membuat kacau di pejabat. Rafiq pun baru sahaja menghantar mesej memberitahu yang Kyra masih belum beredar dan hanya menunggu di dalam keretanya di hadapan rumah.

Baru sahaja hendak menaiki tangga, perutnya berlagu tidak tertahan. Hendak lari dari Kyra, dia lupa hendak mengisi perutnya. Niatnya untuk terus naik ke bilik dibatalkan. Langkahnya terus ditukar mengarah ke dapur. Peti ais dibuka perlahan. Nampaknya lauk makan malam tadi tiada berbaki. Menyesal pula tidak turut serta mkan sekali. Kononnya si Rafiq ajak lepak bersama. Alih-alih, dia ditinggalkan sendirian di rumah. Ada meeting dengan klien konon. Macamlah tak kenal.

Maggi goreng? Macam sedap. Siapa punya ni? Aku tak nampak sesiapa pun. Takkanlah dihidang untuk aku? Tak cakap kat sesiapa pun yang aku nak balik malam ni. Ini memang dah macam lapar disorongkan maggi goreng ni. Rasa-rasa ada orang punya tak? Okey, kita tunggu lagi lima minit. Kalau tak ada, kira halal jelah, ya?

Dan akhirnya, maggi goreng yang tadinya berada di atas meja, selamat berada di dalam perut Haqiem. Walaupun tidak tahu siapa yang empunya, tapi hatinya tetap hendak memuji masakan yang datang tepat pada waktu dia lapar itu. Langkahnya diatur ke peti ais semula.

"Pasal masuk kerja or balik Korea balik tu, nantilah aku fikir-fikirkan. Aku kan pekerja kesayangan dia. Masa aku hantar resignation letter hari tu pun, muka dah pucat semacam. Tapi, pasal Hadi, aku rasa aku nak teruskan jugak niat aku tawan hati dia. Aku rasa aku masih ada can. Wanie pun cakap yang Hadi selalu sebut nama aku. Maybe ada ruang untuk aku. Siapa tahu, kan?"

Haqiem mengintai ke dalam bilik rehat. Gadis bertudung merah jambu itu jelas tidak sedar akan kehadirannya. Mahu sahaja dia terus beredar sebelum kewujudannya disedari. Namun, mendengar nama Hadi disebut, niatnya terhenti. Perbualan tetamu misteri di telefon didengari hingga ke penghujungnya.

"Apa tujuan kau sebenarnya?" Si gadis yang baru habis berbual jelas terkejut dengan kehadirannya. Riak wajahnya cemas. Haqiem melangkah merapati Nia yang mula mengundur menjauhkan diri. Tetapi, langkahnya tersekat dek dinding yang berada di belakang tubuhnya. Walaupun tunduk, dia dapat merasa renungan Haqiem yang tajam kepadanya. Mesti mamat ni dah dengar semuanya. Matilah aku.

"We need to talk. But, not here." Perlahan suara Haqiem berbisik, keras. Arahan, bukan permintaan. Nia hanya mengangguk halus sebelum Haqiem meninggalkan dia sendirian di dalam bilik yang hanya dimasuki sejalur cahaya dari lampu dapur yang dipasangnya tadi. Langkahnya kemudian diatur mengekori Haqiem menuju ke meja makan.

"Apa tujuan awak sebenarnya?" Soalan yang sama diulang sekali lagi sebaik duduknya dilabuhkan. Suaranya masih ditahan dari didengari oleh orang lain. Terutamanya Mama dan Hadi. Biarlah dia cuba menyelesaikan masalah ini sendiri. Dari bicara Hadi, Haqiem tahu mamanya terlalu sayangkan gadis yang masih belum diketahui namanya ini.

"Saya tahu, mesti encik akan salah faham kalau encik dah dengar semua isi phone conversation saya dengan kawan saya tadi. Tapi, saya nak encik tahu satu benda. Saya ikhlas berada dalam keluarga ni. Cuma saya tak boleh tipu hati saya. Saya sayangkan Hadi lebih dari seorang kawan baik." Nia cuba menegakkan dirinya. Lebih senang jika dibiasakan memanggil dengan panggilan 'Encik'. Situasinya tika ini umpama ditangkap sedang makan gaji buta oleh bos sendiri.

"And the talk about separating Hadi and Wanie?"

"Cuma angan dan omong kosong. Saya sedar yang Hadi betul-betul cintakan Wanie. Tapi, saya perlukan masa untuk terima semua ini. Saya harap encik faham dan tolong simpan rahsia ni dari Mama dan Hadi." Harap-harap mamat depan aku ni percayalah apa yang aku cakap ni. Tapi, kalau aku sendiri pun macam susah nak percaya. Membongak je perempuan ni.

"Apa yang saya akan dapat?" Haqiem tiba-tiba berdiri. Nia menelan liurnya, kasar. Apa yang dia nak ni? Aku ni sah-sahlah tak ada apa-apa. Tapi, betul juga. Buat apa dia nak simpan rahsia aku kalau tak ada kelebihan untuk dia. Sia-sia.

"Apa awak nak bagi pada saya?" Haqiem mengulang soalannya. Wajah serba salah Nia mengundang geli hati. Tetapi, ditahan dari terpamer jelas di wajahnya. Gadis seperti Nia perlu diajar untuk menghormati hubungan orang lain. Bukan bercita-cita menghancurkan.

"Saya... saya..."

"Then, I can't promise." Haqiem terus berlalu naik ke biliknya. Perut sudah kenyang, mata sudah mengantuk, jawapan sudah ditemui. Boleh tidur dengan lena. Esok pun cuti lagi. Walaupun rasa bersalah kerana menghabiskan makanan Nia, hatinya keras mengatakan Nia melakukan kesalahan yang lebih berat. Akhirnya, Nia ditinggalkan sendirian di dapur.


0 pendapat bernas .:

Post a Comment

Copyright © 2015 Mya Farisha
| Distributed By Gooyaabi Templates