Search This Blog

Thursday, February 9, 2017

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 3

NIA MENELITI senarai barang yang berada di dalam tangannya. Perhiasan pelamin boleh dicari di Masjid India atau Masjid Jamek. Cenderamata untuk tetamu pula kena bincang dengan mama juga. Tak boleh main beli sahaja. Jadi, tugasnya hari ini adalah mencari cenderahati yang sesuai dan menunjukkannya kepada mama untuk dipilih.

Hadi yang asyik dengan telefonnya dipandang sekilas. Ini bukan macam bukan keluar berdua. Macam keluar seorang diri dengan tiang yang berjalan. Mahu sahaja dia merampas telefon bimbit di tangan Hadi dan mencampaknya jauh-jauh. Tetapi, siapalah dia hendak berbuat begitu? Hadi berhubung pun dengan Syazwani, gadis yang akan dikahwininya. Berbincang mengenai majlis mereka juga. Nia mengeluh perlahan.

Kalaulah dia seorang pelakon, pasti dia layak dicalonkan sebagai pelakon wanita terbaik. Dengan perasaan yang disembunyikan, dia menemani lelaki idamannya memilih barang perkahwinan dengan niat mencuri hati lelaki itu. Setidaknya, membuatkan lelaki itu memandangnya lebih daripada sebagai seorang kawan, walaupun cuma sekilas. Masalahnya, ini bukan setakat menemani. Dia yang kena mengatur segalanya.

"Nia, kau tunggu kat sini kejap boleh tak? Aku ada urusan yang perlu diselesaikan ni. Sekejap je." Hadi tiba-tiba bersuara. Perut yang sakit ditekan sekuat hati. Nia hanya mengangguk. Dahlah dari keluar tadi tak cakap apa-apa. Bercakap ni pun sebab nak beritahu nak pergi tandas je? Kenapa mula rasa macam misi ni takkan berhasil?


JAM tangan berjenama terkenal itu terus disarung ke pergelangan tangan. Beberapa keping not RM100 bertukar tangan. Penjual yang kemas berkemeja itu tersenyum lebar melihat produk jualannya dibawa pergi. Entah pelanggan keberapa yang dilayannya hari ini.

Langkahnya diteruskan lagi menyelusuri laluan barangan berjenama di tingkat bawah kompleks membeli-belah itu. Mahu membeli kemeja, baru sahaja minggu lepas dia membeli dua helai kemeja dari jenama Georgio Armani. Boleh mencetuskan leteran tanpa henti mama nanti.

Dia meneruskan langkahnya menuju ke kedai paling hujung. Rasanya molek dia pekena secawan latte sebelum balik ke rumah mama. Bosan pula rasanya keluar bersendirian. Sangatlah tiada berhala-tujuan. Tetapi, dia bukannya ada teman wanita untuk diajak keluar bersama.

"Tolong!"

Jeritan itu mengembalikan Haqiem ke alam realiti. Menoleh ke kanan, kelihatan seorang lelaki sedang dikejar oleh sekumpulan lelaki berlari ke arahnya. Dapat mengagak apa yang terjadi, Haqiem mencangkung. Berpura-pura mengutip sesuatu di lantai. Haqiem menutup matanya, cuba mendengar derap langkah yang menuju laju ke arahnya.

Lima saat. Empat. Tiga. Dua. Satu.

Kuat bunyi lelaki bersinglet putih keruh itu jatuh terjelepuk, mencium lantai kompleks yang berjubin. Semua yang berada berhampiran terkejut bercampur kagum. Kaki yang dilunjurkan Haqiem ditarik kembali. Takut beg tangan yang diragutnya dirampas, peragut bersinglet itu memeluknya erat di bawah badan yang masih meniarap di atas lantai. Haqiem tersenyum sinis.

Telinga kiri peragut itu ditarik. Dijentik berkali-kali. Begitu juga sebelah kanan. Lupa dengan kepentingannya tika itu, kedua tangan dibawa ke telinga yang kesakitan. Dengan mudah, beg tangan berwarna putih susu itu dirampas Haqiem. Pengejar-pengejar yang tadinya hanya melihat akhirnya mara untuk membawa pesalah itu kepada pihak berwajib.

"Fool." Haqiem mengejek peragut itu dalam bahasa Inggeris. Beg tangan yang sudah dilepaskan, diambil lalu dipukul perlahan ke belakang kepala peragut yang sudah berdiri akibat diasak orang ramai.

"Ini beg awak."

"Te...terima kasih."

Ucapan terima kasih tidak sempat disampaikan. Haqiem terus berlalu pergi tanpa bertangguh. Renungan gadis bertudung biru itu tidak diendahkannya. Apatah lagi melihat teman lelaki gadis itu yang muncul dari celah keramaian. Sempat dia menjeling sebelum bergerak meninggalkan kawasan yang tadinya sesak dengan pemerhati.

"Nia! Kau okey tak?" Hadi bertanya kepada Nia yang nampaknya masih terkejut dengan kejadian yang menimpanya sebentar tadi. Baru sekejap sahaja dia meninggalkan gadis itu seorang diri untuk ke tandas, tidak semena-mena Nia menjadi mangsa ragut.

Nia mengangguk tanpa suara. Rasa terkejutnya masih ada. Tetapi, semuanya kembali reda sebaik dia mendapat semula beg tangannya. Lelaki yang membantunya tadi sudah menghilang tanpa sempat dia menyatakan penghargaannya. Nia menarik nafas panjang. Hadi yang sedang berbincang entah apa dengan pengawal keselamatan yang baru muncul dipandang.

"Jomlah balik. Nantilah kita keluar beli barang." Hadi mengajak. Risau juga kalau-kalau kawan baiknya itu mengalami trauma. Biarpun Nia berkali-kali menafikan, dia tahu gadis itu masih terkejut dan ketakutan. Semasa dipanggil memberi keterangan di bilik pengawal tadi pun dia hanya diam. Sepatah ditanya, sepatah dijawab.

Ish, takkanlah anak Pak Cik Rahim ni dah jadi bisu pulak? Jenuh aku nak menjawab dengan bapaknya nanti. Belum lagi dengan mama. Pun sama je reaksinya nanti. Atau, mungkin lebih teruk. Maklumlah, Nia ni anak angkat kesayangannya.

"Nia." Perlahan suara Hadi memanggil. Masih tiada jawapan dari gadis yang sedang tunduk di hadapannya kini. Mahu tidak mahu, bahu Nia dicuit lembut. Gadis itu mengangkat wajahnya yang sedari tadi disembam pada telapak tangan. Sedikit sebanyak kekuatan yang hilang tadi cuba dihimpun semula.

"Aku okey. Jomlah kita sambung beli barang lagi." Senyumannya diukir semanis mungkin.

"Okey apanya macam ni? Kau..." Melihat pandangan Nia yang tampak lemah, Hadi jadi berhenti berkata-kata. Dia tahu gadis itu memaksa diri. Itulah yang paling dibencinya pada Nia. Benci untuk mengaku dirinya lemah walaupun pada nyatanya begitu.

"Nia, please. Aku tak suka kau paksa diri macam ni. Benda ni kita boleh buat lain kali." Perlahan suara Hadi memujuk.

"Hadi, aku betul-betul dah okey. Tadi cuma terkejut sekejap je. Kita sambung kerja kita sampai selesai, okey?" Mata Nia dipandang tepat. Perangai Nia yang degil dan tidak suka menangguh kerja itu cukup dikenalinya. Segala tidak selesai apa yang sedang dilakukannya, dia tidak akan berhenti.

"Okey. Tapi, sebelum tu, jom kita berehat minum dekat kafe hujung tu dulu sebelum sambung balik kerja kita tadi." Nia sekadar mengangguk setuju.

"Sekarang tinggal nak tunjuk pada mama gambar doorgift yang kita tengok tadi. Biar mama yang pilih yang mana sesuai." Nia menilik semula album gambar di dalam telefon bimbitnya yang penuh dengan gambar doorgift yang pelbagai. Walaupun dia diberi autoriti untuk memilih dan menentukannya bersama Hadi, ada baiknya jika ibu angkatnya itu dimaklumkan terlebih dahulu.

Hadi mengangguk dengan senyuman tidak lekang dari wajah. Lega semuanya berjalan dengan lancar selepas kejadian tadi. Nia pun nampaknya sudah tidak dihantui peristiwa cemas itu lagi. Kerja memilih tona warna yang sesuai untuk majlis resepsi sebelah pihaknya juga sudah selesai. Senang betul rasanya berurusan dengan kawan baiknya itu berbanding mama. Bukan mahu membuat perbandingan. Namun, dia serba salah bila mahu menidakkan cadangan wanita kesayangannya itu.

Audi merah milik Hadi meluncur laju membelah jalan raya menuju ke arah utara. Melihat gambar-gambar persiapan perkahwinan yang diambilnya, Nia mula merasakan apa yang diangankan mual berjalan seperti apa yang diharapkannya. Terasa seperti mereka sedangan melakukan persiapan untuk majlis yang bakal meraikan mereka berdua sebagai pasangan mempelai.

'Dekat-dekat disayang, 
jauh-jauh dikenang, 
begitulah hebatnya cintaku.
Entah apa kau mahu,
Kasih sudah ku beri
Aku tak faham...'

"Kau masih pakai ringtone yang sama sejak lima tahun yang lepas? Punyalah banyak lagu-lagu baru kat Malaysia ni. Lagu K-Pop pun boleh tahan berlambak jugak." Hadi ketawa kecil mendengar pilihan Nia sebagai nada dering telefon bimbitnya. Bukan dia tidak tahu yang Nia begitu menggemari Arwah Achik Spin dan lagu-lagu nyanyiannya. Sekadar mahu mengusik.

Nia menarik wajah masam. Hadi yang masih ketawa dikerling dengan hujung mata. Usiklah sebanyak mana kau mahu. Lagu ni cukup untuk melambangkan apa yang aku rasa. Andai saja kau bisa memahami... 

Pandangannya bertukar ke arah telefon bimbit yang masih berbunyi. Terpapar nama Syazwani di tengahnya. Ada hal apakah yang membuatkan musuh cintanya tiba-tiba menghubungi? Hadi pula sudah berkali-kali memandang ke sini. Pasti dia sudah tahu tunangannya yang sedang menanti panggilannya kini. Kalau tidak diangkat, mungkin akan menimbulkan syak wasangka nanti. Ibu jarinya disapu ke kanan.

"Kak Nia! Kakak okey tak? Ada cedera kat mana-mana ke? Barang kakak dalam beg cukup tak? Peragut tu sempat ambil apa-apa ke dari beg tangan kakak?" Bertalu-talu soalan gadis itu sebaik sahaja panggilan berjawab. Semuanya dalam satu nafas yang panjang. Nia pula yang terasa penatnya. Hadi di kerusi sebelah dipandang. Padanlah dua-duanya. Gelojoh.

"Assalamualaikum,Wanie." Suaranya sengaja ditenangkan dalam sinis.

"Eh! Waalaikumussalam, kak. Maaf. Wanie risau betul bila baca mesej dari Abang Hadi yang Kak Nia diragut tadi. Tu yang terus telefon Kak Nia lepas keluar dari bilik mesyuarat tadi." Dari nada suara Syazwani, Nia dapat merasakan yang bekas juniornya semasa diploma betul-betul risau dengan keadaan dirinya.

"Kak Nia okeylah, Wanie. Kak Nia cuma terkejut sikit je tadi. Ini mesti Abang Hadi hantar mesej guna ayat bombastik terlampau, sampai buat Wanie risau macam ni. Tapi, seriously, Kak Nia tak apa-apa." Dalam diam, Nia mengerling ke arah Hadi yang masih tegak memandang ke hadapan. Takut kena marah dengan akulah tu sebab gatal mulut bercerita dengan Wanie. Tapi, memang gatal pun!

Giliran Hadi pula mengerling ke arah Nia yang masih berbual di telefon dengan Syazwani, tunang kesayangannya. Tiada ura-ura kawan baiknya itu akan 'meletus' atas ketelanjurannya bercerita. Tak apalah. Paling jauh sekali pun, cerita mengenai detik cemas itu sekadar sampai ke pengetahuan Syazwani. Kalau sampai ke telinga mama, telinga dia yang bakal tidak selamat. Seram sejuk tubuh Hadi bila membayangkan.

"Nanti Kak Nia tanya Abang Hadi dulu. Dia yang drive. Kalau dia tak mahu, Wanie datanglah ke rumah mama. Kita jumpa dan berbual di sana." Isi perbualan Nia sesekali menampar gegendang. Sepertinya, Syazwani mengajak Nia ke suatu tempat. Tapi, dia tidak jelas ke mana.

"Nah, Wanie nak cakap." Telefon bimbit bertukar tangan. Entah apa bicara Syazwani, Hadi hanya mengangguk kecil. Macamlah Syazwani dapat melihat anggukkannya di hujung talian itu. "Okey, bye."

Perbualan telefon berakhir begitu sahaja. Nia memandang Hadi lama, cuba mencari kepastian. Hadi hanya diam memandang jalan. Nia tahu Hadi faham makna pandangannya. Namun, masih tiada jawapan yang diberikan. Akhirnya, Nia ikut sama memandang jalan.
"Eh, bukan rumah mama belok ke kanan ke? Kenapa kau belok ke kiri?"

"Kan tadi Wanie nak jumpa kau. Lagi mau tanya ka?" Hadi menggoyang-goyangkan kepalanya dalam senyum yang melebar. Nia tidak pasti senyuman itu kerana dia berjaya mengusik Nia atau kerana dapat berjumpa tunang tercinta sebentar lagi. Yang pasti, hatinya tidak merasa selesa dengan senyuman itu walau apapun jawapannya.

Dalam ralit dia melayan perasaannya, Nia tidak sedar kereta yang dipandu Hadi sudahpun masuk ke kawasan perumahan dua tingkat yang rata-rata masih kosong tidak berpenghuni. Warga yang ada di kawasan itu pun nampaknya seperti masih dalam proses perpindahan.

"Eh, kita nak ke mana pulak ni? Kata nak ke rumah Wanie?" Lorong sunyi di barisan perumahan paling akhir itu dilewati. Terpinga-pinga Nia melihat Hadi yang hanya senyum sumbing tanpa memandangnya. Bagai ada agenda besar yang sedang dirancangnya. Aish, takkanlah! Hadi yang aku kenal, tak buat kerja-kerja tak senonoh, tak berperikemanusiaan macam tu. Hati Nia mula diterpa rasa ragu.

"Sudah-sudahlah berangan tu! Jom." Hadi menggeleng melihat teman baiknya yang pantang diberi peluang, pasti nak berangan. Tak habis modal pula tu. Memang layaklah dia menjadi pereka fesyen. Kuat berimaginasi!

Baru sahaja Nia melangkah keluar dari kereta, tubuhnya laju dipeluk seseorang. Terkejut dengan tindakan yang tiba-tiba, Nia hanya tercengang di situ. Hadi yang berdiri di sebelah, sudah tersenyum bagai kerang busuk. Nia mengangkat kening double jerk. Apakah kau yang terlebih senyum macam kau pulak yang dipeluk, kawan?

"Kak Nia, lamanya tak jumpa." Lengan Nia digenggam Syazwani kemas. Syazwani dipandang seimbas lalu. Perawakan dan perwatakan gadis itu jelas berbeza dari empat tahun yang lalu. Lebih feminine dan anggun. Mungkin kerana pengaruh jawatannya sebagai COO di syarikat milik bapanya. Takkanlah mahu selekeh dan serabut seperti dahulu? Tanpa banyak bersoal bicara, Syazwani menarik lengan Nia menghampiri rumah kosong yang hanya dihiasi beberapa pohon bonsai berpasu. Nia yang sedari tadinya hanya diam tanpa suara akhirnya bertanya.

"Rumah siapa ni?" Syazwani dan Hadi bertukar pandangan dalam senyuman. Dalam maksud senyuman itu di mata Nia yang memandang.

"Aku beli rumah ni lepas kitorang bertunang hari tu. Lepas bincang semuanya dengan mama, condition check dengan babah Wanie, terus aku beli. Lagipun senang sikit kalau tinggal kat sini. Dekat sikit dengan dua-dua syarikat." Nia memaksa diri untuk mengukir senyum. Hatinya tidak betah dengan perkhabaran itu.

Telefon bimbit Hadi yang berbunyi menandakan panggilan masuk membuatkan lelaki itu meninggalkan Nia dan Syazwani bersendirian. Nia hanya tersenyum tanpa makna bila Syazwani meluahkan rasa terujanya bakal bergelar isteri kurang dua bulan lagi. Yalah, kalau dah bakal suami si pencerita adalah pujaan hati yang sudah lama diidamkan dalam diam. Takkanlah dia melompat gembira pula, kan?

"Kak Nia, staylah kat sini dengan Wanie. Lepas maghrib nanti Wanie hantarlah balik rumah mama. Dah lama kita tak spend masa bersama. Wanie memang nak ke sana pun. Ummi ada kirim barang untuk mama. Wanie pun dah dua minggu tak jumpa mama." Syazwani lembut memujuk apabila melihat Hadi kembali merapati mereka berdua. 

"Nice jugak idea tu. Lagipun, aku ada hal sikitlah. Nanti kau balik dengan Wanie, ya?" Mahu tidak mahu, Nia terpaksa menganguk setuju. Kalau sudah begitu kata Hadi, takkanlah dia mahu beriya-iya mahu mengikut juga. Dia bukan siapa-siapa. Dalam rasa yang berbelah bahagi, dia mengekori saja kereta Hadi meninggalkan laman rumah dengan pandangan.


No comments:

Post a Comment