Search This Blog

Wednesday, February 1, 2017

# enovel

[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 2

JAM TANGAN direnung lama. Masih ada sedikit masa lagi sebelum waktu berkerja berakhir. Pandangan beberapa pekerja di kaunter pertanyaan yang berbisik sesama mereka meresahkan Nia. Manakan tidak. Dengan muka selamba dan beg pakaian yang penuh ditangan, sebaris soalan sahaja yang keluar dari bibirnya.

"Hadi ada tak?"

Jika dia berada di tempat mereka pun pasti akan berfikir yang tidak enak juga. Lari dari rumah ke apa perempuan ni? Jangan-jangan Encik Hadi ada wanita lain selain Cik Syazwani? Dan bermacam persoalan luar alam yang lain. Apa-apa sajalah. Masalahnya jauh lebih penting sekarang.

"Ada. Tapi, Encik Hadi tengah meeting. Ada apa-apa yang boleh kami bantu cik?"

Nia menggeleng kecil. Tanpa sebarang kata, dia menarik bagasi berodanya kembali ke tepi dinding, tempat dia menunggu sebaik turun dari teksi tadi. Apa yang perlu dilakukannya kini adalah menunggu Hadi selesai dengan kerjanya.

Riuh rendah ruang lobi itu apabila pekerja dari pelbagai bahagian mula keluar dari pejabat masing-masing. Nia menarik bagasinya rapat ke tubuh. Segan pula bila diperhatikan orang yang lalu lalang. Wajahnya ditundukkan tanpa sedar.

"Encik Hadi."

Hadi yang baru keluar dari biliknya langsung merapati meja penyambut tetamu. Dipandang Anita yang kelihatan tidak senang, bagai ada benda yang tidak kena yang mahu disampaikan.

"Tadi ada seorang wanita datang cari Encik Hadi. Dia..."

"Hadi!"

Belumpun sempat Anita menghabiskan ayatnya, tumpuan Hadi dipotong oleh suara wanita yang memanggilnya. Itulah dia orangnya, Encik Hadi. Anita sekadar menyempurnakan ayat di dalam hati.

"Eh, bila kau sampai sini? Dengan beg berbondong-bondong macam ni. Lari ke apa? Kelakarlah pulak aku tengok kau macam ni."

Hadi ketawa tanpa beragak. Begitulah keadaan bila dia dengan Nia berjumpa. Langsung tidak dipedulikan orang di sekeliling mereka yang memerhati. Nia yang menjadi bahan ketawa mula menarik wajah masam. Sakan dia gelakkan aku, ya?

"Seronok nampak?" Soalan Nia pendek namun cukup melambangkan perasaannya tika itu. Ketawa Hadi mati. Dipandang teman karibnya yang menarik muncung sedepa. Ditemukan kedua telapak tangannya, memohon maaf.

"Sorry. Tapi, seriously, what... apa sebenarnya yang dah jadi?" Suara yang sedikit meninggi, direndahkan semula. Riak wajah Nia yang masih tidak berubah membuatkan Hadi serba salah.

Nia sekadar mengisyaratkan dengan tangan sahaja bahawa mereka tidak berada di tempat yang sesuai. Dengan pandangan pekerja-pekerja Hadi di sekeliling mereka, lagilah Nia berasa tidak selesa. Hadi sekadar mengangguk.


PERLAHAN suara Hadi mengucapkan terima kasih kepada pelayan yang baru menghantarkan minuman mereka. Sengaja dipilih meja yang berada agak jauh dari orang lain. Lebih privasi. Melihat dari gaya Nia, pasti itu juga yang dimahukannya.

"Okey. Sekarang, spill."

Nia memerhatikan sekeliling kafe yang bersuasana sedikit suram. Hanya ada beberapa pelanggan selain mereka. Berbeza suasana itu dengan semasa dia di Hongdae, Korea Selatan. Pasti tika ini penuh dengan pasangan yang berjumpa sebaik selepas waktu bekerja tamat.

Fikirannya kembali dibawa ke Malaysia, di mana jasadnya berada kini. Dipandang Hadi yang sedari tadi memandangnya. Pasti lelaki itu tertunggu-tunggu ceritanya yang tiba-tiba muncul di lobi syarikat dengan beg pakaian sebegitu. Apa yang patut dikatakannnya? Kebenaran? No way!

"Aku dibuang kerja. Kelmarin. Katanya, mereka dah jumpa pereka yang lebih baik dari aku. Terus aku dibuang. "

Reka sajalah apa pun. Yang penting kedengaran logik dan boleh diterima pakai. Hadi pun nampaknya dengan mudah menerima.

"Macam mana dengan Rai?" 

Rai? Raihana, ya? Aduh, dia bertanya tentang Rai pulak! Nia bermain dengan jari dibawah meja. Apa pula cerita yang nak diubahsuai ni?

"Aku seorang saja yang dibuang. Lagipun, beberapa hari sebelum kena buang, aku dengan Rai dah tak bertegur. Ada konflik sikit. Jadi, takkanlah aku nak terus tinggal kat sana."

Nia menunduk. Ini dah seratus peratus lari dari senario sebenar. Kalau tahu dek Raihana, mati kena pancunglah dia tika itu juga. Aku minta maaf, Rai. Nia berbisik sendiri.

"So, sekarang kau macam mana? Nak balik Ipoh? Kalau kau nak, aku boleh tolong hantarkan."

Riak wajah Hadi mula berubah. Mungkin berasa kasihan dengan 'kisah sedih' Nia tadi. Nia laju menggeleng. Bayangannya semasa di KLIA tadi bermain semula di ruang mata. Balik ke rumah ayah umpama menghantar diri ke lubang maut.

"Aku ingat nak stay kat KL buat sementara waktu. Itu sebab aku datang jumpa kau. Kut-kutlah kau tahu mana-mana rumah sewa yang murah. Kalau aku balik kampung, tak selamatlah jawabnya. Kau tahulah ayah aku tu macam mana. Unpredictable." Hadi mengangguk kecil. Dulu semasa masih belajar di Perak, kerap juga dia ke rumah keluarga Nia.

"Tapi, aku tahu kat mana kau nak stay untuk malam ni." Giliran Nia pula menggeleng. Berkerut dahinya cuba memahami ayat Hadi. Namun, lelaki itu masih tidak menjawab. Hanya tersenyum saat menghabiskan teh tariknya yang berbaki.


SAAT kereta memasuki simpang terakhir kawasan perumahan itu dan menyerlahkan rumah agam yang berada di penghujung jalan itu, Nia mula memeluk beg tangannya erat. Sudah empat tahun dia tidak menjejakkan kaki ke rumah ini, apatah lagi bertemu dengan pemiliknya.

"Kau yakin ke dengan cadangan kau ni? Tak apa ke aku menumpang kat sini malam ni?" Hadi berpura-pura tidak mendengar soalan yang diajukan teman baiknya. Terus dia keluar sebaik enjin keretanya dimatikan.

"Jom masuk. Barang kau nanti aku suruh anak Mak Timah angkatkan." Pintu kereta Nia dibuka Hadi dari luar. Dipandang jejaka itu tepat pada matanya. Eh, eh. Mamat ni memang pekak atau buat-buat pekak? Aku tanya dia buat dono je.

"Kau nak aku bentangkan karpet merah pulak ke? Dah bukakan pintu pun masih tak nak keluar." Laju Nia menggeleng sebelum melangkah keluar dari Audi milik Hadi itu.

Sebelum mamat ni menjadi bertambah sarkastik, baik diselamatkan telinga ini daripada terpaksa menadah ayat berbisa yang keluar dari mulut Hadi. Entah bagaimanalah dia boleh jatuh hati kepada jejaka ini, jawapannya dibiarkan di dalam hati.

Langkah Hadi yang tadinya diekori lambat, terhenti kaku. Entah kenapa jantungnya merasa begitu berdebar-debar mahu memasuki rumah agam itu. Sedangkan, ini bukanlah kali pertama walaupun jumlah kedatangannya masih boleh dibilang dengan jari. Dah macam nak jumpa dengan bakal mak mertua untuk kali pertama debarnya. Eh, kalau misi menawan hati Hadi berjaya, memang bertemu dengan emak mertualah namanya.

"Mama dah tunggu lama kat dalam tu. Jomlah." Dipandang Nia yang langsung tidak bergerak pada tempatnya. Kalau temannya ini sejantina dengannya, sudah lama ditarik masuk ke dalam rumah. Agak-agak, kalau tarik tudung, kurang ajar sangat tak?

Melihat Hadi yang memandang tepat kepadanya, Nia memberanikan diri melangkah menuju rumah yang kini dirasakan asing baginya. Bayangkan jika kedatangannya ke rumah itu langsung tidak dialu-alukan. Bagaimana harus dia berhadapan dengan keadaan itu? Perlukah dia melutut di kaki Puan Sri Azizah meminta izin?

"Woi, berangan!"

Jerkahan Hadi mengembalikan Nia ke alam nyata. Mahu sahaja dia membalas jerkahan Hadi. Namun, melihat wajah riang dan mesra yang berdiri di sisi Hadi, Nia ikut sama tersenyum. Langkahnya diatur merapati wanita berusia separuh abad di hadapannya. Tangan tua itu dicapai lalu dikucup mesra.

Tubuh Nia dipeluk erat Puan Sri Azizah. Dia cukup sukakan gadis itu sejak dari kali pertama pertemuan mereka lagi. Pernah juga dia berhajat untuk menjadi Nia sebagai menantu di rumahnya. Tetapi, dia tidak akan pernah memaksa anaknya dari melakukan perkara yang tidak diinginkan mereka. Apatah lagi, memaksa mereka mengahwini calon menantu pilihannya seperti di dalam drama-drama melayu era ini.

"Aunty apa khabar? Dah lama kita tak berjumpa kan?" Soalan Nia tidak berjawab. Sebaliknya, pipinya dicubit lembut. Nia yang terkejut hanya tersenyum. Hadi yang berdiri di sisi mamanya ikut sama tersenyum.

"Lama sangat ni tak berjumpa sampai dah lupa. Panggil mama, 'mama'. Tak mahulah aunty, aunty ni. Rasa distant sangat."

Nia hanya mengangguk malu. Melihat senyuman Hadi yang makin melebar, wajahnya ditundukkan tanpa sedar. Ini dah betul-betul macam melawat bakal mak mertua. Bezanya, bukan mak mertua sendiri.

Hadi mengekori Puan Sri Azizah dan Nia yang berpimpin tangan menuju ke ruang tamu. Mamanya yang jelas tampak ceria diperhati dalam diam. Jarang dia dapat melihat senyuman manis itu sejak kebelakangan ini. Jelas fikiran ibunya diganggu sesuatu yang dipendamnya sendirian.

"Hadi dah cerita semua dengan mama. Jadi, buat sementara waktu ni, Nia tinggal je kat rumah mama. Bila Nia dah betul-betul bersedia nanti baru balik kampung." Tangan Nia digenggam erat. Sedih juga hatinya mendengar 'cerita' Nia yang dikhabarkan oleh Hadi tadi.

"Sekarang ni, Nia pergi rehat. Mesti penat naik flight tadi, kan? Biar mama panggil Mak Timah tunjukkan bilik Nia." Pelawaan Puan Sri Azizah disambut anggukan lemah. Bukan kerana kepenatan. Sebaliknya, kerana takut andai mama kepada lelaki idamannya itu bertanya apa-apa. Otaknya tidak mampu 'menggoreng' jawapan yang baik jika berada di dalam keadaan terdesak.

Nia memerhati sekeliling biliknya dalam teruja. Empat tahun dia meninggalkan Malaysia, empat tahun jugalah dia tidak menziarahi rumah agam ini, dan empat tahun jugalah lamanya dia sudah tidak menggunakan bilik tetamu yang paling hampir dengan tangga itu. Namun, segala masih sama seperti yang tinggal dalam ingatannya. Yang berbeza cuma dindingnya yang dulu putih, kini berganti dengan warna pastel.

Gazebo yang berada tidak jauh dari tingkap biliknya diintai dari celahan tingkap yang sedikit terbuka. Kelihatan Puan Sri Azizah dan Hadi berbual entah apa sambil menikmati minum petang yang disediakan Mak Timah. Mak Timah pun ada sama menyertai dua beranak itu. Nia memerhati biasan dirinya di dalam cermin. Misinya perlu bermula sekarang.

"Haa...kenapa tak berehat je kat dalam?" Hadi yang terlebih dahulu menegur Nia yang tiba-tiba muncul menghampiri gazebo. Pakaiannya sudah ditukar kepada pakaian yang lebih selesa.

"Tak penat pulak rasanya." Nia memberi alasan. Alah, setakat penat naik flight tiga empat jam, apalah sangat kalau nak dibandingkan 'misi memikat lelaki idaman' yang sudah dirancang sejak empat hari lalu. Dah tinggal nyawa-nyawa ikan pun boleh mengaku sihat bertenaga lagi.

"Tak apalah. Mari duduk minum petang dengan kami." Puan Sri Azizah mengajak.

Nia melabuhkan duduknya di kerusi kosong berhadapan Hadi. Bukan mahu menggatal. Namun, itulah satu-satunya kerusi yang tinggal untuknya. Di kanannya, Puan Sri Azizah. Kiri, Mak Timah yang sudah lebih dua puluh tahun berkhidmat di rumah agam itu. Puan Sri Azizah pun sudah menganggap Mak Timah seperti adik kandungnya sendiri.

"Eh, Nia! Lusa kau tak buat apa-apa kan? Temankan aku shopping barang kenduri, please. Wanie ada hal pulak lusa. Takkan aku nak pergi seorang. Lagipun, kau kan pakar bab colour combination ni. Boleh kan?" Belum lama lagi dia mendarat di tanah air, peluang untuk keluar berdua dengan Hadi terhidang di depan mata. Kepalanya diangguk malas, menyembunyikan perasaan gembiranya di dasar hati.

"Tadi, Hadi ada bagitahu mama yang Nia nak cari kerja kan?" Puan Sri Azizah yang dari tadi hanya senyap tanpa kata, bertanya. Nia dan Hadi menoleh, sebelum mengangguk, serentak. Senyuman mama yang tiba-tiba menguntum, menimbulkan tanda tanya.

"Dah alang-alang Nia ada kat sini, apa kata Nia tolong mama buat persiapan kenduri si Hadi ni? Pelamin tak fikir lagi rekaannya. Bunga telur pun belum dibeli lagi. Nanti mama bagi upah macam wedding planner tu." Nia dan Hadi bertukar pandangan. Giliran Hadi pula menguntum senyum. Cadangan mamanya dirasakan bernas sungguh. Lagi pula, Nia berpengalaman mengendalikan majlis perkahwinan kakaknya sebelum ini.

Eh, bukankah biasanya butik sebegitu turut menyediakan perkhidmatan menghias pelamin dan yang lainnya? Mengapa mama pula yang perlu bersusah payah? Nia tertanya di dalam hati.

Seperti dapat mengagak apa yang berlegar di kotak fikiran Nia, Puan Sri Azizah menyambung lagi. "Si Hadi ni, tak sabar sangat nak kahwin, tak sempat mama nak tempah apa-apa. Mujur, majlis yang nak dibuat pun kecil sahaja. Nasib baiklah mama sempat cari pihak katering yang tak sibuk pada tarikh kenduri Hadi."

Nia memandang Hadi yang sudah tersengih bagai kerang busuk. Jadi, si Hadi ni sendiri yang nak cepat-cepat kahwin. Bukan mama, bukan Syazwani, bukan juga keluarga Syazwani. Nampak gayanya, misinya ini agak sukar untuk dilaksanakan. Namun, dia tidak boleh berputus asa. Jika tidak, segala pengorbanannya akan jadi sia-sia.

"Boleh je, mama. Tak perlu upahlah. Nia pun memang terniat nak tolong. Lagi pun, mama dah bagi Nia tinggal di sini. " Senyumannya diukir manis. Langsung tidak tergambar pada wajahnya niat mahu menghancurkan rancangan bahagia Hadi. Maaf Hadi! Tolong beri aku satu peluang terakhir .

“Mana boleh macam tu. Nanti Nia berpenat, tapi apa pun tak dapat. Anggap je macam mama beri duit belanja pada Nia, okey?” Nia mengangguk sambil tangannya menggenggam lembut tangan tua yang masih lagi memandangnya. Mungkin tiada salahnya. Andai kata misinya berakhir, dia masih punya wang belanja. Jadi, langkah pertama, luangkan masa dengan Hadi sebanyaknya.


No comments:

Post a Comment